GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Monday, July 26, 2010

MENYESAL KERANA RISAU

JANGAN RISAU


Manusia suka sangat risaukan sesuatu.

Salah seorang yang selalu merasa risau ialah arwah ibu saya. Mungkin ini adalah tabiatnya. Orang lain saya tak tahulah kerana saya tak tahu isi hati mereka tapi kalau ibu saya, saya tahulah kerana beliau selalu menyatakan kerisauannya kepada anak2nya.

Ada beberapa ketika di mana diceritanya kepada kami peristiwa yang menyebabkan beliau risau.

Diceritanya kepada kami, bahawa pada satu ketika sebuah kereta pacuan empat roda datang menghampiri rumah kami. Tatkala itu ibu saya seorang diri di rumah. Mulalah hatinya berdebar takut2 mereka yang datang adalah orang jahat atau pehak berkuasa nak menyamannya atau sebagainya. Bermacam benda yang tak baik mulalah difikirkannya. Dulunya ada orang datang minta upah sembor ubat nyamuk penghapus denggi, tetapi sebenarnya mereka itu penipu.

Alih2 pemandu kereta tersebut datang kepadanya bertanya tentang sama ada rumah kami itu ialah rumah adik saya, Osman. Pemandu tersebut sabenarnya ialah kawan sekolah adik saya semasa mereka sama2 belajar di Sekolah Menengah, Pasir Pekan pada tahu 1973 dahulu. Sekarang beliau bekerja di Jabatan Penerangan Ipoh.

Barulah ibu saya merasa lega dan mampu melayan percakapan kawan adik saya tersebut. Kawan adik saya itu sedang dalam perjalanan untuk balik ke kampungnya di Pasir Pekan, singgah apabila melalui kawasan kampong kami di Lubuk (Merbau).

Satu ketika lagi ialah apabila anak saya, saya tinggalkan di kampong bersama ibu saya selepas anak saya tamat peperiksaan SRPnya.

Anak saya ini nampaknya suka mengembara. Dulu pernah pergi bermalam di Morib dengan menaiki basikal. Dan apabila mereka merancang untuk menaiki basikal ke Kuantan, emak kawannya melarang dan tak jadilah mereka pergi. Sayani tak melarang mereka pergi asalkan ianya berfaedah kepada mereka.

Pada hari tersebut anak saya menyatakan yang ia nak ke Taiping untuk merayau (seorang diri). Sampai petang beliau tak pulang2. Mulailah ibu saya merasa risau dan bermacam2 perkara tak baik difikirkannya.

Di zaman itu maka ada handphone lagi jadi tak adalah apa2 berita yang datang dari anak saya kepadanya. Kalau ada handphone mungkin bolehlah ibu saya menelefonnya atau anak saya menghantar “laporan berkalanya”.

Ibu saya sangatlah risau walhal pada masa yang sama, anak saya seronok merayau, menjelajah pekan Taiping dan sempat ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar pula ketika balik dari Taiping. Lewat petang barulah anak saya balik. Barulah lega ibu saya.

Banyak lagi peristiwa yang menyebabkan ibu saya risau yang diceritanya kepada kami. Yang anihnya ibu kami akan merasa seronok menceritakan peristiwa yang menyebabkan beliau risau. Mungkin ada kepuasan apabila segala kerisauannya berakhir dengan keadaan yang memuaskan hatinya dan tidak berlaku apa2 perkara yang tak baik.

Sebenarnya perasaan risau boleh menyebabkan emosi kita terganggu, dan boleh mengakibatkan darah tinggi.

Yang paling tak bagusnya kita risau ialah kesan kesudahannya. Ramai orang yang akan menyesal kerana risaukan sesuatu, padahal kalaulah beliau tak risau hidupnya akan menjadi lebih selesa dan bahagia. Dan “pressure” tekanan darahnya pun tak naik. Banyak kesan sampingannya jika pressure naik, ini semua kita dah tahu!

Saya pernah menyesal kerana merasa risau dahulu. Ketika itu boss (yang dikatakan orang sangat garang) memanggil saya ke biliknya. Selalunya kalau masuk biliknya tentu kena basuh. Saya mulalah merasa risau kerana memikirkan kemungkinan perkara yang tak saya sukai.

Alih2 boss saya suruh saya menjadi saksi tandatangan surat perjanjian biasiswa.

Menyesal aku risau tadi”. Kalau tak risau tadi bukankah lebih baik.

Sejak peristiwa itu saya mula pendirian baru yaitu janganlah risau kerana kalau risau kamu akan menyesal.

===========================================================

Jadi janganlah risau. Inilah satu pesanan yang akan membuat kita hidup selesa tanpa tekanan yang membebankan.

Jika diadakan kajian mungkin hanya 5% sahaja dari apa yang kita risaukan itu akan berlaku. 95% daripadanya tak akan berlaku. Jadi kenapa harus kita risau? Dan jika berlaku pun tak akan memudaratan kita sangat. Kita tentu akan dapat mengatasinya atau mengelaknya dengan baik.


Tapi kita perlulah bersedia menghadapi segalanya dengan fikiran terbuka dan tindakan yang matang. Bersedialah tanpa kita merasa risau, kerana Tuhan kita bersama kita dan Tuhan lah yang menguji kita.



Jangan sangka kamu tidak akan diujiNya”. UjianNya menambahkan pahala dan menghapuskan dosa, dengan ada syarat2nya. Semua manusia kenalah diuji, barulah tahu boleh lulus atau akan gagal

Saturday, July 17, 2010

BERSEDIALAH

SUDAHKAH KITA BERSEDIA?


Harga gula dah naik, harga minyak dah naik, harga gas dah naik, apa lagi yang harganya akan naik? Sudah tentu kita semua boleh agak barangan yang harganya akan naik.

Bagi mereka yang dah bersedia memang tak ada masaalah jika harga barangan naik. Tetapi bagi mereka yang belum bersedia pening juga memikirkannya. Tapi masih ada masa untuk kita bersedia untuknya.

Ikutlah pepatah orang tua kita yang menyatakan: sedia payung sebelum hujan atau sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tak berguna atau berakit2 ke hulu berenang ke ketepian (sakit dulu, senang kemudian).

Sangat perlu kita bersedia untuk segala kemungkinan. Dulu semasa kami budak sekolah kami gunakan istilah “Hope for the best and prepare for the worse” yaitu berharapkan yang terbaik dan bersedia untuk yang terburuk. Nampak gayanya istilah tersebut tak reput dek hujan dan tak lekang dek panas. Masih evergreen istilah tersebut. Tapi kena tambah “Do the best” di hadapannya, menjadi Do the best and hope for the best and prepare for the worse. Sekarang kita perlu buat yang terbaik dalam segala hal.

Kenapa kita nak risau sangat. Kita tak akan susah kerana rezeki dijamin Allah. Kalau tidak masakan ramai mereka datang ke sini diantaranya, dari Indonesia, India, Bangladesh, Pakistan, Vietnam, Burma dan Africa untuk kehidupan yang lebih mewah. Kebanyakannya apabila datang ke sini hanya sehelai sepinggang. Tetapi ramai sekarang ini yang berjaya dan kaya raya atau sekurang2nya kenyang makan.

Yang penting ialah usaha dan usaha dan usaha. Tak cukup lagi tambahkan usaha. Mereka ke sini adalah sama saperti mereka yang datang terdahulu, merempat ketika sampai tetapi sekarang menjadi kaya raya.

Yang penting ialah kita merancang masa depan kita dan anak cucu kita kerana perancangan akan menghasilkan kejayaan. Tanpa perancangan mungkin hasilnya kurang atau kita tak akan berjaya atau proses jayanya lambat mendatangkan hasilnya atau orang lain akan memintas kejayaan kita.

Kemudahan masih ada untuk kita gunakan sepenuhnya. Selagi kita pergunakan kemudahan yang ada sepenuhnya maka kita akan berjaya dan segalanya tak akan menyusahkan kita.

Jadi tak kesahlah harga barangan akan naik kalau kita dah bersedia. Dan kalau kita bijak kita pula boleh mendapat untung apabila harga barangan naik, cuba fikirkanlah caranya.

Bertindaklah sekarang untuk bersedia kepada kenaikan harga barangan di masa akan datang kerana harga barangan tak akan turun kerana kita mahu menjadi negara maju atau negara pendapatan tinggi dan sebagainya.

Kalau tak bersedia kita akan ketinggalan merempat di tanah air sendiri.

Dan beri semangat dan kemudahan untuk anak cucu kita berjaya dalam hidup mereka kerana kejayaan mereka akan memudahkan kita bernafas sebelum kita masuk ke liang lahat. Dan bantulah mereka yang memerlukan bantuan kerana mengikut kiraan kadar ghaibnya: "kita beri satu, kita akan dapat pulangan sepuluh" atau berganda lebih dari sepuluh sehingga 700.

Dan bersedialah juga untuk kita memasukinya (liang lahat). Yang ini kena "Do and prepare the best" dan kenalah "Hope for the best". InshaAllah!

wwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwww

Wednesday, July 14, 2010

RAYAN


RAYAN atau MERAYAN


Menurut kamus Dewan Bahasa “rayan” bermaksud mengigau atau meracau.pada siang hari. Biasanya disebabkan oleh demam panas.

Kami semasa kanak2 dulu rajin juga rayan. Di dalam keluarga saya, menurut cerita orang tua saya, sayalah yang banyak merayan berbanding dengan ahli keluarga saya yang lain. Kebanyakannya semasa rayan kami tak sedar apa yang berlaku.

Tetapi yang saya ingat sampai sekarang ini hanya dua ketika sahaja.

Yang pertamanya kira2 tatkala saya berumur tiga atau empat tahun. Tatkala itu saya dan saudara saya berada di tepi parit taliair bendang Yan (Mak saudara saya yang rumahnya seberang bendang kami). Di zaman itu saya selalu pergi ke rumah Yan untuk bermain2.

Pada hari peristiwa tersebut ramai keluarga saya berada di rumah Yan, lepak2.

Ketika bermain saya tak sedarkan diri dan jatuh ke dalam parit, sambil meronta2 rayan. Sebelum saya kena rayan tersebut dan tatkala jatuh parit saya sedar tetapi saya tak sedar selepas itu.

Nasib baik ada Madin (sepupu saya) yang cuba menolong memanggil saudara lain yang berada di kawasan rumah Yan. Kalau tidak mati lemaslah saya ketika itu.

Di kawasan yang samalah abang sepupu saya Yop Yahya, jatuh dan meninggal mati lemas pada tahun 80an dahulu.

Kali kedua yang saya teringat ialah ketika saya berada di Darjah Empat sekolah Kebangsaan. Pada hari itu saya kurang sihat setelah keluarga saya mengadakan khenduri perkahwinan kakak sulung saya di rumah Opah saya (di Lubuk).

Kerana kepenatan saya terbangun lewat untuk ke sekolah. Tapi walaupun kurang sihat saya pergi ke sekolah di Tanah Merah, tak mahu ponteng sekolah.

Semasa waktu rehat saya tak keluar kelas tetapi tidor di atas kerusi. Saya susun tiga kerusi dan tidor di situ. Tatkala itulah saya tak sedarkan diri dan merayan. Menurut ceritanya kelamkabut juga cikgu dan murid2 yang lain.

Bila saya sedar saya telah berada di bangunan surau sekolah dengan ayah saya berada di sisi. Hari itu hari Ahad dan ayah saya cuti hujung minggu. Barulah saya tahu saya rayan. Dan kami pun balik setelah saya sedar sepenuhnya.

Sekarangni dah tak banyak berlaku merayan tersebut. Yang ada ialah apa yang dinamakan histeria.

Semasa saya tinggal di asrama sekolah dulu ada juga kawan saya yang merayan. Seorang daripadanya ialah jiran sebelah katil saya yang baru kematian ayahnya. Beliau meracau nak balik ke rumahnya di pokok besar sebelah bangunan asrama. Nasib baik ada jaga sekolah yang tahu sedikit jampi serapah dan beliau pulih. Ini tatkala saya di Tingkatan Empat.

Satu peristiwa lagi ialah ketika saya berada di Tingkatan Lima. Kawan kami yang baru keluar dari bilik air kira2 jam 10 malam mula meracau. Sekali lagi jaga sekolah datang dan beliau berkata: “Ini perkara kecil sahaja”. Tak tahulah apa maksudnya.

Setelah sedar kawan kamini menyatakan yang dia bertemu dengan makluk besar berbulu ketika nak keluar bilik air tersebut.

Kami pun mula takut nak ke bilik air tersebut kemudiannya. Dahulunya saya walaupun seorang diri berani masuk ke situ di waktu malam.

Dan mulalah kami hafal ayat Kursi dan membacanya setiap malam sebelum tidor. Dahulunya kami baca tapi bila dah lama lupa pula atau kami buat tak kesah membacanya.

Dan selepas itu timbullah cerita tatkala zaman Jepun di mana sekolah kami menjadi markas Jepun menyiksa mereka yang dikurung.


Tuesday, July 13, 2010

PETUA DARI INTERNET


PETUA MELEGAKAN CERET BERIT

Rendam empat sudu makan daun teh di dalam segelas air panas sehingga teh itu kembang. Setelah itu minum air teh tersebut dua kali sehari sehingga cirit-birit sembuh.


**************************************


PETUA MENGHILANGKAN BAU BADAN

Menggunakan Hampas teh

Gosok hampas teh yang telah digunakan pada keseluruhan badan terutamanya bahagian yang kuat berpeluh seperti ketiak dan tengkuk. Biarkan selama 15 minit dan kemudian mandi. Amalkan 3 kali seminggu.

Menggunakan Hampas Helapa

Gosok hampas kelapa yang telah digunakan pada keseluruhan badan terutama pada bahagian yang kuat berpeluh seperti ketiak dan tengkuk. Biarkan selama 45 minit dan kemudian bilas. Amalkan 3 kali seminggu.

Menggunakan Beras

Ambil segenggam beras dan goreng tanpa minyak sehingga hangus. Ramas hingga hancur dan campurkan dengan sedikit air asam jawa. Gosokkan pada bahagian mudah berpeluh dan biarkan selama 10 minit. Kemudian bilas atau mandi.

`
Menggunakan Tawas

Ambil seketul tawas dan gosokkan pada bahagian badan yang mudah berpeluh setiap kali lepas mandi. Amalkan setiap hari, atau

Campurkan tawas yang telah dijadikan serbuk dengan sedikit beras dan gaulkan. Gosokkan pada bahagian mudah berpeluh dan biarkan semalaman. Kemudian bilas atau mandi. Amalkan setiap hari sehingga berpuas hati.


Menggunakan Daun Sirih dan Daun Nanas Muda

Rebus sama banyak daun sirih dan daun nanas muda bersama dengan sedikit garam sehingga air rebusan menjadi separuh. Minum air rebusan ini setiap hari selama seminggu dan rasailah hasilnya.

Menggunakan Timun Muda

Kupas kulit sebiji timun muda dan basuh bersih. Gosokkan pada bahagian badan yang mudah berpeluh setiap kali lepas mandi. Amalkan setiap hari.


Menggunakan Serai Wangi, Daun Jambu, Daun Lengkuas dan Daun Pandan

Ambil secekak serai wangi, daun jambu, daun lengkuas dan daun pandan dan masukkan ke dalam periuk bersama dengan air sehingga terendam sepenuhnya. Rebus sehingga mendidih. Campurkan air rebusan dengan sebaldi air bersih. Jadikan air ini sebagai bilasan akhir ketika mandi. Amalkan tiga kali seminggu.

Menggunakan Batang Pokok Kantan

Potong batang pokok kantan pendek dan tumbuk hingga lumat. Rebus hingga mendidih. Gunakan air rebusan sebagai air mandian. Bilas akhir mandian dengan air bersih biasa.








Cubalah. Diperolehi dari Internet.

Friday, July 9, 2010

PELBAGAI MAKSUD


MELEPAS BATUK DI TANGGA

Baru pada pagi Selasa lepas saya mendapat tahu yang istilah “Melepas Batuk Di Tangga” mempunyai tiga maksud. Rupa2nya ilmu saya masih cetek lagi walaupun dah tua dewasa dan “banyak makan garam”.

Patutlah ada orang yang menyuruh kita: “belajarlah dari buaian hingga ke liang lahad”, kerana ilmu itu sangat luas dan kalau tidak kita pelajari akan membuat kita ketingalan.

Atau kata mereka: “tuntutlah ilmu hingga ke Negeri China”. Atau: “Jika semua pokok menjadi penanya dan segala lautan menjadi dakwatnya”, ilmu Allah tak akan tertulis semuanya walau pun ditambah lautannya lagi.

Ini bermakna ilmu yang kita perlu pelajari tak akan berkurangan malah selagi banyak kita belajar selagi itu kita rasa yang bertambah banyak pula yang kita tak tahu. Semakin banyak kita belajar maka semakin kita rasa kita bodoh. Jadi janganlah kita rasa kita tahu semua.

Dan kalaulah kita berhenti dari belajar untuk menambah ilmu kita maka kita akan kerugian. Kalau kita tak kejar ilmu maka ianya akan lari meninggalkan kita.

Contoh di atas menjadi buktinya.

Dulu saya ingat “melepas batuk di tangga ada dua maksud sahaja yaitu “membuat kerja secara tak sempurna”. Dan “sakit tekak dan terbatuk di atas tangga”.
Tapi hari selasa lepas baru saya tahu maksud yang lebih tepat. Kena bersyukurlah saya walau pun terlambat mengetahuinya.

Maksudnya yang lebih tepat ialah: “Membaling batuk (tempurung) tatkala berada di tangga” selepas membasuh kaki untuk naik ke rumah.

Di zaman dahulu bila kita naik ke rumah kita kena naik melalui tangga dan sebelum melangkah naik, kita perlu basuh kaki dulu. Sepatutnya, selepas membasuh kaki kita perlu meletakkan batuk (tempurung penceduk air) pada tempayan bekas air tersebut.

Tetapi ada mereka yang tidak berbuat demikian tetapi hanya membaling (melepaskannya) ke arah tempayan air tersebut. Inilah perbuatan yang tak kemas atau tak senonoh. Maka timbullah istilah “melepas batuk di tangga”.

Saya malu sendiri kerana saya tersalah faham mengenainya.

Maksud yang tepat hanya saya faham tatkala mendengar radio pagi Selasa tersebut. Penceramah di radio tersebut telah menyebut perkataan “melepas batuk di tangga” sambil beliau main2 batuk. Sambil menyatakan: “bukan (batuk perbuatanya) tersebut yang beliau maksudkan tetapi batuk alat menceduk air”. Dan menerangkan apa yang beliau maksudkan. Malu saya. Tapi nasib baik orang lain tak tahu. Nah, sekarang mungkin ada orang (pembaca) yang tahu tetapi mereka kalau tahu pun, mereka tak kenal saya. Tak apalah. Taklah malu sangat.

Dulunya saya ingat “batuk” ialah sejenis penyakit di kerongkong, tapi dalam kes ini bukan itu maksudnya. Maksudnya ialah tempurung penceduk air. Dalam Kamus Dewan pun ada tertulis maksudnya.

Saya cuba bertanya beberapa sahabat saya. Rupa2nya mereka pun serupa saya tak tahu “batuk” itu ialah tempurung penceduk air. Yang tahu tentangnya ialah Hj Hashim 69 (saya tambahkan 69 kerana kereta lamanya bernombor 69. Kereta barunya bernombor lima dua enam – 566).

Banyak lagi kes serupa ini. Maksudnya, banyak benda yang saya tak tahu atau tak tahu secara sepenuhnya. Di antaranya: dulu saya tak tahu ada sembayang dhuha kerana ustaz sekolah rendah saya berkata lepas sembahyang subuh kita tak boleh sembahyang hinggalah sampai waktu sembahyang zuhur. Dah besar panjang baru saya tahu yang sembahyang dhuha itu diutamakan sunatnya dan elok kita buat setiap hari.

Juga semasa kecil, saya ingat air batu perlu kita impot dari kutub utara atau selatan. Ini kerana di kampong saya tiada letrik tatkala itu dan mana ada peti ais untuk membuat ketul ais. Yang saya tahu tatkala itu ais banyak di Khutub Utara dan Selatan. Lojik otak saya ialah kita kenalah impot ais dari situ. Masa itu ingat saya dah pandai tetapi sebenarnya bodoh? Atau tak cukup umur lagi agaknya. Masuk sekolah menengah baru tahu yang saya tak tahu yang ais kita boleh buat sendiri.

Itulah ilmu. Perlu kita cari dan dapatkan. Kalau tidak kita akan ketingalan. Lebih merugikan ialah kita mudah ditipu kerana kita tak tahu. Tapi kalau kita tahu kita pula boleh menipu orang lain yang tak tahu. Tapi kenalah tanggung dosanya sendiri . . . . .

_______________________________________________


Satu lagi. Yang berilmu membuat tetapi yang tak berilmu menggunakannya. Yang membuat jadi kaya raya. Yang menggunanyalah menjadikan mereka itu kaya raya.
Dulunya habis bijih dan getah diangkutnya kerana mereka tahu dan kita tak tahu.

Alhandulillah, sekarang ini jika kita pergi ke sana mereka boleh kita jadikan drebar atau orang suruhan kita. Sebabnya, kita ada ilmu.

Tempayan sebegini digunakan untuk
menakung air dan diletakkan dekat
tangga rumah.

Sekarang sangat jarang kelihatan
kerana banyak rumah dah tak ada
tangga dan penghuninya dah pakai
kasut, jadi kaki tak kotor lagi.




Klik untuk baca:

Melepaskan batuk di tangga…



66666666666666666666666666666666666666666666666

Tuesday, July 6, 2010

GELARAN

NAMA GELARAN


Yusuf Kelambu, Yusuf Mentol, Yusuf Pandak, Daud Kaloi, Daud Ahmad A, Daud Ahmad B, Mat Sumbi, Mat Bosnia, Mat Sangkut, Mat Tridi, Mat Lidi, Mat Pisang, Brahim Tikus, Brahim PakMatDi, Pandak Berok, Pandak 69, Pandak Kongkang, Alang Saja, Alang tergusi, Alang Sator, Alang Bena, Kulup Kok, Kulup Durian, dll. Abdullah di sebut Khalid, Ahmad disebut Saha, dll.

Begitulah nama2 gelaran yang larat saya tulis di sini. Banyak lagi, termasuklah yang sensatif dan mendatangkan dosa agaknya kalau saya catatkan di sini.

Dimana sahaja di merata dunia ini kita akan dapat nama gelaran. Sahabat Nabi Muhammad SAW pun ada nama gelaran mereka, salah seorang yang popular ialah “Bapak Kucing” yaitu Abu Hurairah (Abu = bapa, Hurairah = kucing). Ini adalah kerana Abu Hurairah sukakan kucing dan banyak memelihara kucing.

Kawan saya pun ada yang bernama Abu Hurairah tetapi kami panggil atau gelar dia “Abu Huru Hara”, sebabnya saya tak tahu sangat. Nak tahu kenalah tanya Razif Kadir kerana Abu Huruhara ialah kawan baiknya. Abu yang “huruhara” ini dah pun menjadi orang kuat koperat negara kita.

Menurut agama memberi nama gelaran adalah harus dan kalau kita ikut sunah Nabi mungkin dapat pahala, InshaAllah. Tetapi kalau nama gelaran itu memalukan atau tak disukai oleh penama asalnya maka ialah akan mendatangkan dosa pula. Inilah kata ustaz yang saya dengar.

Saya pernah mengelarkan kawan saya Hj Daud sebagai “Hj Daud Kaloi” sebab beliau tinggal di Jalan Ikan Kaloi. Bila saya tanya beliau, beliau tak marah, malah senyum sahaja. Sampai sekarang kami gelar beliau Hj Daud Kaloi. Ada pula kawan saya yang lain mengelarkannya Ben Daud sempena tokey pasaraya besar di Mekah dan Madinah. Gelaran ini pun Hj Daud suka mendengarnya. Kadang kala kami gelar beliau Hj Daud LLN (langut2 naik) kerana beliau dulu kakitangan Lembaga Letrik Negara (LLN).

Ini menunjukkan beliau popular dikalangan kawan2nya. Kalau tidak takkanlah beliau banyak sangat nama gelarannya.

Saudara saya yang baru meninggal kerana kemalangan kena langgar motorsikal pun ada nama gelarannya tetapi tak sedap sangat didengari, jadi saya dalam tulisan saya terdahulu tak menyebut nama gelaran tersebut. Mulanya nak tulis tapi tak jadi.

Saya pun, yang saya tahu, ada nama gelaran tapi bukan nama gelaran sebenar saya. Nama gelaran tersebut ialah nama gelaran abang saya yang diperturunkan kepada saya tatkala saya mula tinggal di asrama sekolah dulu. Abang saya tinggal di asrama tersebut setahun sebelumnya dan kawan2nya terus menurunkan nama gelaran tersebut kepada saya apabila mengetahui yang saya adalah adiknya. Nama gelaran tersebut dah pun pupus setelah saya tamat sekolah dan setahu saya, saya sekarang tak ada nama gelaran lagi. Yang saya tak tahu? Itu saya tak tahu.

Ini mungkin kerana nama saya unik dan tak perlukan nama gelaran. Kalaulah nama saya Mat atau Yusuf (nama yang popular) mungkin saya akan dapat nama gelaran. Tujuan utama memberi nama gelaran ialah untuk kita dapat mengenal seseorang itu dengan tepat apabila kita berbicara tentangnya.

Misalnya, kalau di dalam satu kampong itu ada 5 orang yang bernama Mat maka setiapnya perlu ada nama gelaran untuk mengenal pasti siapa orangnya. Kalau tidak orang akan bertanya2 Mat yang mana.

Di asrama kami dulu ada 2 pelajar yang mempunyai namanya dan nama bapanya yang sama. Jadi kami gelar mereka Daud Ahmad A dan Daud Ahmad B. Ini nama gelaran yang digunaka semasa “Roll Call”. Di masa lain, kami gelar mereka berdua Daud Bekor (kerana kampongnya Bekor, Manong) dan Daud H? (sesitif - kenalah saya tapis).

Pisang pun ada nama gelaran misalnya pisang embun, pisang rastali, pisang nangka, pisang mas, pisang tanduk dsbnya. Ini pula manusia yang berkongsi nama itu.

Jadi teruskan memberi nama gelaran kepada kawan kenalan kita asalkan nama gelaran tersebut bukan yang tak disukainya atau yang akan mengaibnya. Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya banyak memberi nama gelaran kepada kenalan mereka. Alim ulama terdahulu juga banyak dikenali dengan nama gelaran mereka dan bukan dengan nama asal mereka.

Pemimpin kita pun banyak nama gelaran mereka yang kebanyakannya diberikan oleh “musuh” politik mereka dan nama gelaran tersebut menjadi nama yang kurang sedap didengari. Itu semua adalah mainan politik atau mainan orang-orang atas yang berlandaskan apa niat masing2.

___________________________________________


Kami semasa menjadi juru audit dahulu masing masing ada nama gelaran yang kami berikan sendiri pada kawan2 kami. Misalnya: Mat Ibrahim kami gelar beliau Forex expert dan Daud kami gelar dia Report expert. Ada juga gelaran yang tak sedap didengar saperti Ampu expert (kuat mengampu) atau Lesap expert (selalu hilang).

Yang mendapat nama gelaran yang baik memang berbaloi kerana mereka memang expert atau jika tidak expert pun mereka merasa mereka dihormati kerana lebih expert dari rakan2nya dan mereka adalah sumber rujukan rakan2 lainnya. Yang lebih seronokkan mereka ialah orang luar (yang tak tahu keadaan sebenarnya) akan betul2 yakin yang mereka adalah expert dan menghormatinya. Sebenarnya, kebanyak mereka ini hanyalah separuh expert (belum expert sepenuhnya) dalam erti yang sebenarnya.

Nama gelaran tersebut dapat menaikkan semangat bekerja. Ianya merupakan pujian yang memberansangkan untuk kita lebih berusaha dan ianya mendatangkan tindak balas positif.

Tamat ______________________________________

Saturday, July 3, 2010

KAMU DAN COW

O O O O O O O OO O O O O O O OO O O O O O O OO O O O O O O OO O O O

MENDUGA AKAL


Inilah yang dikemukakan oleh kawan saya yang telah lama saya tak bertemu, lebih kurang 30 tahun. Kami sama bersekolah dahulu tetapi lepas habis darjah sembilan (tekalah apa maksudnya darjah 9 itu. Kalau nak tahu juga, tanyalah mereka yang berumur melebihi 70 tahun. Itu pun kalau mereka masih ingat. Saya, semasa balik kampong bercuti dari asrama sekolah dulu, mereka ini selalu bertanya sama ada saya belum tamat darjah 9).

Kawan saya ni bertanya saya:

Apakah persamaan dan perbezaan perkataan “kau” dan “kamu”?

Saya jawab:

Kau adalah kamu dan kamu adalah kau. Maksudnya sama hanya istilahnya yang berbeza. Bezanya, saya kata ialah “kau” adalah lembu (cow) dan kamu adalah manusia.

Betul” katanya.

Tapi ada berpuluh2, malah beratus lagi perbezaan perkataan “kau” dan “kamu” itu. Di antaranya “kau” tiada “m” tapi kamu ada “m”. Tengoklah ejaannya.

Yang lainnya kenalah you cari sendiri. Kalau you seorang guru suruhlah anak murid you buatkan senarai persamaan dan perbezaan dua perkataan ini. Tentu banyak mereka akan dapat kerana otak mereka masih segar dan cair bukan macam orang dewasa macam kita yang otaknya dah beku agaknya. Tapi ada juga malangnya bila ada di antara kita dengan tak sengaja (atau sengaja) membantutkan pemikiran mereka yang muda ini dengan tindak tanduk kita membuat halangan.

Cubalah lagi” katanya lagi.

Manusia memang banyak ilhamnya. Kecuali mereka yang tak mahu berfikir dan ingin menjadi dungu. Dan akan ditipu.











Gambar hiasan.

Namanya tak tahu.

Kami namakan buah Halwi

kerana Haji Alwi yang menamannya

Saya hanya tangkap gambarnya.


Thursday, July 1, 2010

YANG SAYA KENAL II

. . . . . . . . . . . . . . . . .

BETEMAS – Perubatan Melayu


Betemas adalah sejenis perubatan trasional bagi mengubati sakit demam dan kurang sihat badan, terutamanya bagi kanak2.

Cara kami dahulu kala, menghilangkan deman atau rasa kurang sihat ialah dengan betemas, menggunakan bawang merah yang dibelah dua. Dengan membaca jampi/doa tertentu bawang tersebut diletakkan dibelakang tapak tangan pembaca doa tersebut. Kemudian tangan diterbalikkan supaya bawang tersebut jatuh ke lantai.

Bentuk keadaan jatuhnya bawang tersebut menjadi alamat atau tanda kepada pembaca doa. Alamat atau tanda ini hanya difahami oleh orang yang membaca doa tersebut.

Selepas itu, doa selanjutnya dibaca dan pesakit diberi air untuk diminumnya.

Pembaca doa setelah memahami alamat atau tanda dari keadaan bawang tersebut, mungkin akan menyatakan kepada pesakit asal usul sebab demamnya atau kurang sihatnya.

Saya, semasa kecil dulu pernah demam merasa kurang sihat dan berjumpa Pan Zenab (Guru mengaji Al Quran kami) untuk betemas. Setelah selesai upacara betemas tersebut, Pan Zenab menyatakan yang saya “kena tegur” (maksudnya dimarahi makluk halus – mungkin saya telah mengganggu mereka semasa di dusun kami atau di kawasan kampong kami). Menyebabkan saya kena demam.

Alhamdulillah, selepas meminum air doanya, saya mula sembuh. Ini adalah usaha manusia, Allah lah yang menyembuhkan. Itulah kata Pan Jenab.

Kami orang kampong terutamanya kanak2 bila demam atau kurang sihat selalu dibawa keluarga kami berjumpa Pan Jenab untuk betemas. Bagi keluarga kami, kami jemputnya ke rumah, agaknya kerana beliau berkawan rapat dengan ibu saya dan selalu juga bertandang ke rumah kami.

Mungkin malang juga, kerana ilmu betemas Pan Jenab ini tak diperturunkan kepada orang lain dan terus pupus. Arwah ibu saya pernah berkata bahawa ini adalah satu kerugian kepada warisan Melayu. Beliau menambah bahawa beliau pun tak sempat nak belajarnya dari Pan Jenab.

_________________________________________________________________

Yang saya tahu Pan Zenab berasal dari Pasir Mas Kelantan dan dah lama tinggal di kampong kami dan mempunyai beberapa keping tanah di kampong tersebut. Semasa saya bertugas di Kota Bharu dulu, beliau ada menyatakan mempunyai saudara yang menjadi peraih di pasar Pasir Mas.

Pada masa itu saya tak begitu minat mencari saudara Pan Zenab, mungkin sebab Pan Zenab tak memberi maklumat terperinci mengenai saudaranya itu. Lagi pun semasa itu saya berada di Kota Bharu.

Tanah Pan Zenab di kampong saya pernah tersalah jual. Yang hendak dijual adalah tanah yang lain tetapi yang didaftar di Pejabat Tanah ialah tanah yang berbeza pula. Semasa membuat pendaftaran sipembeli pernah menyatakan agaknya tersalah geran tanah tetapi pendaftaran diteruskan. Beberapa tahun kemudian baru mereka perasan

Nasib baik jugalah anak pembeli yang mewarisi tanah tersebut telah memulang balik tanah tersebut, Alhamdulillah. Perkara ini baru saya ketahui tatkala balik kampong baru2ni.

Bertuahlah Kak Jaamah, anak Pan Zenab hasil keiklasan Ni Pak Mat Siran.




+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sambungan . . . . .


Likun

Likun juga merupakan orang dari Jawa yang datang merantau mencari rezeki di Malaya. Beliau dan keluarganya tinggal menumpang di tanah Pak Abu berhampiran dengan rumah saya di Changkat Petai.

Likun sangat suka berborak dan melawak, dan kehadirannya menceriakan orang lain. Ada je modal untuknya bercerita dan orang kampong saya sangat suka berborak2 dengannya.

Keluarganya juga berpindah ke Trong Taiping pada tahun lima puluhan. Tetapi kadang kala beliau ada juga datang ke kampong kami terutamanya jika ada perlawanan Sepak Takraw kerana ini adalah sukan yang diminatinya.



Wak Karto dan Wak Yam

Wak Karto dan isterinya Wak Yam juga tinggal di Changkat Petai di tanah kepunyaan Pan Jenab (berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan guru Al Quran kami juga beliau pandai bertemas (menyembuh penyakit deman)).

Semasa kecil dulu, kami suka pergi ke rumah Wak Karto kerana selalu kami akan jumpa duit siling di bawah rumahnya. Bila jumpa kami tak akan berikan kepadanya tetapi kami akan ambilnya untuk membeli barangan di kedai, tak kesah ianya duit haram. Dulu masa kecil dulu mana tau halal haramnya. Tapi kalau beritahu Wak Karto pun beliau akan suruh kami ambil.

Wak Karto ada memelihara itik serati yang selalu terbang di kawasan kampong kami. Dulu kami seronok tengoknya terbang.

Wak Karto dan Wak Yam juga berpindah keluar dari kampong kami tak lama kemudian, tak tahulah ke mana, saya tak ingat.



Wak Adi dan Mak Iti

Mereka tinggal di kawasan Silor kampong sebelah Changkat Petai. Mereka juga berasal dari Jawa.

Mak Iti adalah pembekal coli buatan orang kampongnya di tanah Jawa kepada wanita2 di kampong kami. Juga beliau mempunyai sejenis objek yang boleh menyedut bisa binatang yang menyengat kami. Kalau kami kena gigit tebuan misalnya, kami akan berjumpa Mak Iti untuk mengeluarkan bisa gigitan tebuan tersebut. Sangat mujarap dan ini saya telah melihatnya sendiri.

Mak Iti juga adalah mak angkat kepada adik saya Saha (Ahmad). Ahmad semasa kecilnya selalu kurang sihat dan menjadi kebiasaan kami orang kampong akan menjadikan kanak2 yang selalu sakit sebagai anak angkat.

Mak Iti lah yang menamakan adik saya Ahmad sebagai Saha (Sahariman – nama orang Jawa) dan nama "Saha" tersebut kekal sampai sekarang walaupun nama di surat beranak adik saya ialah Ahmad.

Saha juga mempunyai dua lagi mak angkat yaitu Wan Tun dan Wan Tijah (Wan adalah gelaran untuk mak cik).

Wak Adi dan Mak Iti tiada anak dan mereka mengambil anak angkat bernama Pian yang selalu berkawan dengan saya semasa kami kecil.

Bersambung . . . .

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



KUASANYA

KEAJAIBANNYA
Ini kerja potong dan tampal. Cara baru (malas) belajar. Dan tak satu pun yang ori, semuanya hasil milik orang lain (cetak rompak?) Mungkin inilah caranya orang sekarang belajar.


http://quran.al-islam.com/










. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI