GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Saturday, April 17, 2010

BAIK BENAR

BENAR DAN YANG BAIK

Percakapan manusia banyak jenisnya. Di antaranya ialah percakapan yang benar atau sebaliknya, percakapan yang berlemah lembut juga sebaliknya, percakapan yang merendah diri juga sebaliknya, percakapan yang memberi semangat dan selanjutnya.

Boleh bercakap adalah kurniaan Allah yang sangat bernilai dan perlu digunakan sebaiknya. Dan ramai dari kita yang berbuat demikian.

Semua manusia suka mendengar percakapan yang benar. Kita tak suka mendengar percakapan yang bohong dan tak benar. Tetapi ramai juga manusia yang suka berbohong, biasanya untuk kepentingan diri sendiri walau pun mereka tahu ianya adalah satu dosa yang perlu diminta ampun dari mereka yang dibohonginya. Kalau tidak nanti dia kena bayar juga kos bohongannya (ini kata orang alim Agama).

Jadi perlulah kita hanya bercakap yang benar atau diam, jangan bercakap langsung (Ini juga kata-kata orang alim Agama). Kata mereka biarlah bercakap yang benar dan berfaedah. Kalau tidak baik diam, kata mereka. Kalau tidak besar kemungkinan kita akan hanya menambahkan dosa sahaja.

Tapi ada pehak yang tak begitu setuju dengan bercakap benar ini. Katanya ianya tak begitu betul atau tak lengkap. Menurut kajian mereka janganlah kita hanya bercakap benar sahaja. Pada pendapat mereka kita mestilah bercakap yang benar dan yang BAIK sahaja. Kerana bercakap benar ada yang baik dan ada yang tak baik dengan kesannya masing-masing.

Kalau benar tapi ianya tak baik janganlah cakap, kata mereka.

Pada mereka percakapan yang baik adalah pencetus semangat jaya. Percakapan yang tak baik didengar akan melemahkan semangat jaya.

Tiorinya ialah begini:

Kalaulah kita mendengar perkataan yang tak baik kita akan merasa keciwa secara emosinya. Kalau dengar yang baik kita akan “happy”. Bandingkan perkataan “buang bayi” (tak baik) dengan “meninggalkan bayi” (sikit baik bunyinya). Mungkin perbuatannya adalah seakan sama tetapi kesannya kepada emosi kita berlainan. Buang bayi kita marah keciwa. Meninggalkan bayi kita rasa kesihan pada mereka yang malang itu. Keduanya membawa kesan jiwa yang berlainan.

Atau perkataan “kamuni bodoh” (tak baik bunyinya) dengan perkataan “kamuni kurang bijak” (baik bunyinya). Kesan emosinya banyak berbeza. Tindak balas pun akan berbeza, yang satu agak negatif sementara yang satu lagi agak positif.

Itulah mungkin sebabnya pemimpin kita dahulu menyerahkan negeri kepada penjajah Inggeris. Kerana kata-kata mereka berbunyi baik dan manis didengar, walaupun mungkin niat mereka lain.

Itulah juga sebabnya boss ramai yang suka kepada yang bijak mengampu, kadangkala bercakap yang tak benar tapi “baik” didengar sehingga boss ingat ianya perkara yang baik.

Orang muda dan kanak-kanak perlu kita sogokkan dengan perkataan yang baik dan benar ini. Janganlah jika boleh benarkan mereka mendengar perkataan yang walaupun benar, tetapi yang tak baik bunyinya, kecualilah jika terpaksa untuk kebaikan mereka atau sebagai pemberi cabaran dan galakkan untuk berjaya.

Jika kita berkata hanya yang baik kepada mereka maka segala yang tak baik akan menjadi perkara yang asing bagi mereka dan tak mudahlah mereka dipengaruhi oleh perkara yang tak baik itu.

Tetapi kebanyakan mass media kita suka membesarkan perkara yang tak baik demi untuk tujuan pemasaran mereka. Sehingga manusia yang muda ini menganggap perkara yang tak baik ini adalah norma kehidupan dan mudah melakukan perkara yang tak baik ini jika terpengaruh.

Jika semua perkara yang manusia dengar adalah baik dan benar maka manusia akan menjadi baik dan bercakap benar. Sebaliknya juga boleh berlaku . . . .. . . . .

Jika semua perkara yang satu bangsa itu dengar adalah baik dan benar maka bangsa tersebut akan menjadi baik dan bercakap benar. Sebaliknya boleh juga berlaku. . . . . Kerana kita adalah apa yang kita dengar. Manusia dibena atas pengalamannya termasuk apa yang didengarinya. Pengalaman yang baik akan membena insan yang baik.

_________________________________________________

Saya pernah menghadiri satu kursus di mana kami di sarankan untuk menyenaraikan kebaikan/kekuatan seseorang (katakan Si A) dan keburukan/kelemahannya. Kemudian kami disarankan supaya dalam kehidupan harian kami, kami hanya menyatakan kepadanya kebaikan dan kekuatannya dan jangan sebutkan keburukan dan kelemahannya. Menurutnya, jika kita berbuat demikian Si A tadi akan menjadi manusia yang lebih yakin, bersikap positif dan bersemangat tinggi. Sebaliknya jika kita selalu menyatakan kelamahannya dan keburukannya ia akan menjadi manusia yang sensitif dan kurang keyakinan diri.

Saya cuba berbuat demikian (hanya menyatakan kebaikan dan kekuatannya dan tidak sebutkan kelemahan dan kekurangan) pada anak saya dan saya dapati memang ianya berkesan menjadikan anak saya lebih ceria dan bersemangat. Saya pun naik seronok melihatnya. Dan saya juga cuba kepada beberapa kawan saya. Ianya mendatangkan kesan yang sama. Juga saya cuba sebaliknya pada kawan saya (bolayan dia, katakan keburukannya, dsbnya). Juga mendatangkan kesan tetapi yang negatif. Kemudian saya cakapkan hanya yang baik tentangnya. Berubah perawakannya menjadi ramah dan bersikap baik kepada saya. Itulah kesan percakapan baik yang didengar. Sori. Percakapan yang "betul dan baik", bukan yang tak betul tapi baik didengar.

Kita pun begitu juga. Jika hanya yang baik disebutkan tentang diri kita dan itulah yang kita dengar sudah tentu kita bersemangat untuk hidup. Kalaulah kita selalu disogokkan dengan perkara kelemahan dan kekurangan kita (walaupun ianya adalah benar) lemah semangat kita jadinya. Bila lemah semangat banyaklah yang negatif akan timbul.

Kecualilah jika kita yang menerima komen yang buruk itu dapat menganggapkan ianya satu cabaran. Macam kami dulu yang masuk kelas Sains di Tingkatan 4. Banyak komen negatif yang kami dengar termasuklah dari guru dan saudara mara. Tapi kami tekat dan Alhamdulillah berjaya juga. Sekarang ini bertimbun pelajar Melayu masuk belajar di aliran Sains. Dulu ada mereka yang berkata orang Melayu tak boleh belajar Sains kerana susah. Konon!

Menurut ahlinya, bila kita dengar perkara yang baik otak kita akan mengarahkan badan kita mengeluarkan enzaim yang memberi semangat. Jiwa kita pula akan mengeluarkan daya yang berpotensi untuk berjaya.

Jadi cakaplah yang benar dan yang baik. Yang tak baik simpankan dalam hati. Kecualilah kalau kita nak jahanamkan pehak yang kita berkata-kata dengannya. Itu pun dinasihati jangan kita buat.

Atau kecuali kita nak gunakan yang tak baik itu sebagai alat ransangan dan cabaran bagi seseorang untuk menaikkan semangat jayanya. Gunakanlah sebijaknya.

Apa-apa pun buatlah yang mendatangkan faedah terbaik.

* Membuat masaalah kecil bagi mengatasi masaalah yang besar ada juga faedahnya dan ramai juga yang berbuat demikian.

____________________________________________________________________

Itukah sebabnya orang Yahudi ganas? Kita kata dan dalam doa kita, kita katakan yang mereka itu ganas.

Tuesday, April 13, 2010

KAD PENGENALAN BARU

CARTA ALIRAN

Semasa saya menuntut dahulu, salah satu subjek yang saya minati ialah Carta Aliran yang menunjukkan aliran dan salingkait antara satu-satu operasi atau gerak kerja. Mungkin kerana ianya sangat berguna dalam menolong saya memahami satu-satu kegiatan atau operasi.

Satu lagi subjek ialah PERT (Programme Evaluation Review Technique) yang menunjukkan perancangan sesuatu projek yang besar yang dimudahkan dengan memecahkan projek tersebut kepada kerka-kerja yang kecil dan mudah dikerjakan. dengan susunan kordinasinya yang sangat baik. Bukankah Yang Mudah itu kuat?

Sekarang kita boleh melihat Carta Aliran ini digunakan merata-rata. Dan saya ni jenis tak boleh nampak ada Carta Aliran. Asal nampak sahaja saya akan “mengkajinya”. Bukan apa ianya adalah sangat berfaedah bagi saya/kita untuk memahami satu-satu operasi yang dilakukan oleh organisasi yang penyediakan Carta tersebut.

Pagi tadi saya pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Maju Junction (KL) untuk membuat kad pengenalan (KP) baru bagi menggantikan KP saya yang telah tersalah gunting oleh seorang pegawai bank tak lama dulu.

Pertama yang saya cari ialah Carta Aliran operasi Jabatan tersebut. Ada tersedia dekat Kaunter 1 (kaunter nombor giliran dan borang).

Dengan meneliti Carta tersebut tahulah saya tatacara untuk membuat KP baru saya. Bertambah yakinlah saya apa yang perlu saya buat. Carta tersebut menyatakan: Ambil nombor giliran (Kaunter 1) dan isi borang (jika perlu). Kemudian tunggu nombor giliran dipanggil untuk proses berikutnya, termasuk membuat bayaran dan mengambil/menyemak cap jari. Kemudian tunggu untuk mengambil gambar KP sampai di panggil untuk "bergambar". Lepas ambil gambar akan diserahkan Dokumen KP Sementara. Selesai.

Mudah sangat prosesnya. Tetapi jika Carta Aliran tidak disediakan atau saya tak faham membacanya maka susahlah saya. Terpaksa bertanya atau mengunggu dengan “suspensenya”.

Bila saya yakin apa proses yang saya akan lalui, saya bolehlah relax. Apa saya buat (pagi tadi) ialah saya merayau (memang sayani kaki rayau) di kawasan pejabat tersebut sampailah bila nombor saya akan hampir dipanggil. Kalaulah saya ada kawan mungkin saya pergi minum di kantin mengikut masa yang terluang.

Sebenarnya membaca Carta Aliran mudah sahaja. Tetapi kesannya kepada jiwa kita sangat baik, sebab ianya akan membuat kita yakin apa yang akan berlaku seterusnya. Mat salleh kata kita tahu “what is expected” (apa yang kita jangka akan berlaku selanjutnya). Taklah kita suspense sangat. Dan pressure juga taklah naik!

Saya tak dibenarkan mengambil gambar di pejabat tersebut. Jika boleh sudah tentu saya ambik gambar Carta Aliran bagi proses membuat KP. Tapi saya sertakan Carta tersebut mengikut olahan saya di sini.

Carta Aliran ini sangatlah mudah difahami. Kalau mahu ditambah penerangan boleh dimuatkan di sebelah kanan carta. Ini bagi membolehkan pembaca memahami aliran operasi yang mahu diterangan sepenuhnya. Tak lengkap satu-satu Carta itu jika pembacanya tak faham dengan sepenuhnya.

Carta di atas saya gunakan tiga simbul sahaja saperti disebelah ini. Kadangkala diperlukan menunjukkan pilihan saperti ya atau tidak. Kalau “ya” apakah operasi berikutnya dan jika “tidak” apakah operasinya. Untuk ini digunalan simbol segi empat bujur.

Banyak lagi simbol yang digunakan oleh ahlinya. Bagi kita yang tiga simbol ini pun dah mencukupi bagi ilmu asas kita memahami Carta Aliran yang semakin popular sekarang ini. Ianya adalah bahan penerangan yang sangat berguna dan baik untuk mereka yang suka layan diri tanpa perlu menggangu bertanya makluk lain.

Semasa saya pergi ke Hospital Ampang minggu lepas saya ada ambil gambar Carta Aliran Jabatan Oftalmolojinya. tempat saya tukar kanta mata saya bulan lepas. Juga semasa saya ke Klinik Kesihatan Cheras Baru saya ada juga melihat Carta Aliran operasinya. Semasa saya melawat arwah ibu saya di hospital Ipoh tahun 2000 dulu pun ada Carta Aliran operasinya. Tempat lain pun ada menyediakan Carta Aliran bagi kemudahan pelanggan atau orang awan.

Carta Aliran (operasi kerja) menjadi satu benda yang penting untuk kita tahu dan perlu kita boleh membacanya, bagi meningkatkan keyakinan kita dan juga menambahkan ilmu kita.

___________________________

Proses menukar KP saya yang rosak cipsnya kena gunting, memakan masa lebih kurang satu jam sahaja kerana pelanggan Jabatan pada masa itu tak ramai, kira2 30 orang. Saya sampai pukul pada jam 11 pagi dan siap dapat KP sementara jam 12 tengah hari. KP baru saya dijangka siap dalam masa 10 hari lagi. Untuk kepastian saya boleh layari Web Jabatan Pendaftaran dan bertanya. Kakitangannya pun peramah dan ceria. Kosnya RM10.00 sahaja.

Lepas itu saya pergi Ke Cawangan Tabung Haji di kawasan yang sama untuk mengeluarkan wang, selesai jam 12.30 tengah hari. Kemudian ke Bank untuk bayar sewa "safe deposit box" saya yang tertunggak 2 bulan. Kemudian ke Bank sebelahnya untuk deposit wang yang saya keluarkan tadi ke dalam akaun semasa saya yang dah nipis bakinya. Kemudian balik rumah naik LRT Rapid KL ke stesen Cempaka. Hujan lebat tapi sampai Chempaka bas dah ada menunggu (Alhamdulillah, inilah rezeki kerana saya tak perlu menunggu bas. Mulanya saya bercadang naik LRT sampai Ampang dan naik bas dari situ kerana di situ bas ke kawasan rumah saya basnya banyak. Teksi pun ada. Tapi kerana saya "risk taker" dan saya ada masa, saya buat pilihan turun di Chempaka. Kalau cuaca baik saya bercadang nak jalan kaki sampai ke rumah, kira2 5 kilometer jauhnya). Sampai rumah masih hujan rengai, tetapi nasib saya baik kerana bas tersebut berhenti depan rumah, taklah basah sangat.

Motor saya, saya tinggalkan di Warong Pak Mid pagi tadi. Pergi tadi naik motor sampai Warong Pak Mid (500 meter saja), kemudian naik bas ke stesen LRT Ampang (5 km) untuk naik LRT sampai Stesen Sultan Ismail (15 minit), untuk ke Maju Junction (Pejabat Pendaftaran Negara) sejauh 500 meter agaknya.

Perjalanan sayani hari ini pun saya boleh buatkan satu Carta Aliran kerana Carta Aliran digunakan untuk menerangkan aliran proses sesuatu operasi. Saya boleh namakan operasi tersebut "Operasi Tukar Kad Pengenalan".

Tapi oleh kerana tak siapa yang akan gunakannya, termasuklah saya sendiri, maka tak perlulah saya buatkan. Lebih baik saya pergi ambik motor saya di Warong Pak Mid. Hari pun dah jam 11 malam. Tamat.

[Sebelum ambil motor saya, saya beli mee goreng Mamak di warong Man. Paginya ialah Warong Pak Mid, malamnya Warong Man kerana mereka kongsi tempat yang sama tetapi berlainan masa dan berlainan dapor. Warong tersebut mereka sewa dari Surau Al Nuriah Taman Putra]

_____________________

Di Cawangan Tabung Haji pula sistem nombor gilirannya rosak, mungkin printernya nyanyuk kerana yang tercetak hanya tanda-tanda hitam bukan tulisan nombor giliran. Tetapi mereka ada sistem manual, yaitu pengawal (keselamatn) bertugas telah menggantikan tugas memanggil nombor giliran yang perlu dilayan oleh mereka. Satu tugas yang mulia dan berpahala, kerana ini adalah tugas sukarela untuk kebajikan semua. Syabas! Kerana itu bukan tugas pengawal tetapi dibuatnya. Saya dapat nombor 1117 yang ditulis oleh pegawai kaunter mereka juga untuk menggantikan sistem angka giliran yang rosak itu.

Bagus juga sistem gantian ini kerana ianya lebih bersifat peribadi dan ada "emosinya" dan ada perasaan kemanusiaannya. Pelanggan mereka pula nampaknya memberi kerjasama yang baik.

___________________________________

Pesara macam saya ini perlu ada banyak aktiviti. Itulah sebabnya saya banyakkan aktiviti semasa menukar KP saya.

Mulanya saya naik motor, kemudian naik bas, kemudian kereta api LRT, kemudian jalan kaki, baliknya saya naik LRT dan akhirnya naik bas. Banyak aktiviti akan meluaskan pandangan dan menambahkan ilmu. Kalau saya naik kereta (kalau ada) ianya sangat mudah tetapi menyusahkan saya kerana saya kena pandu sendiri, kesesakan jalan raya, mencari tempat letak kereta, bayar parking, dll.

Itu semua dibuat kerana saya ada masa. Kalau tak ada masa kenalah saya buat macam orang muda sekarang, sebuk semacam!

Tetapi malangnya, dalam banyak activiti tersebut dan jauhnya perjalanan saya, tak seorangpun manusia yang saya jumpa saya kenal mereka, semuanya muka2 baru dari generasi baru kebanyakannya. Semuanya saya tak kenal. Tetapi kalaulah saya mahu saya boleh jadikan di antara mereka itu kenalan baru saya kerana rakyat Malaysia adalah ramah sifatnya dan bijak berbicara.

=================================================================

Saturday, April 3, 2010

MATA KANANKU

Hari ini genap lima hari selepas mata kanan saya dibedah untuk menggantikan kantanya kepada yang jenis plastik.

Nampak gayanya proses pemulihan mata saya sangat memuaskan. Alhamdulillah.

Ini mungkin oleh kerana beberapa sebab termasuklah kerana pembedahan tersebut dibuat secara teliti oleh doktor terlibat. Juga luka pada mata saya tidak dijahit. Kalau dijahit proses penyembuhan akan memakan masa lebih lama. Lagi pun saya telah mengikut cara penjagaan mata selepas dibedah dengan agak baik. Sebenarnya penjagaannya taklah rumit sangat hanyalah saya perlu menitiskan ubat cecair pada mata saya setiap dua jam sekali.

Ini berjaya saya membuatnya dengan pertolongan handset saya yang saya setkan supaya ianya berbunyi setiap dua jam (kecuali selepas 12 malam bila saya tidor. Jam 4.30 pagi ia berbunyi untuk saya bangun). Tanpa pertolongan bunyi handset tersebut mungkin susah saya nak mengawal masa bagi menitiskan ubat tersebut setiap dua jam sekali itu.

Inilah penggunaan teknoloji yang orang lain buat dan kita hanya gunakan. Mungkin satu masa nanti negara kita akan ada warga negaranya yang berjaya membuat dan orang lain menggunakannya. Galakkanlah dan berikan kemudahan kepada anak cucu kita supaya mereka dapat berbuat demikian. Kita sendiri pun jika ada kemampuan dan peluang boleh juga berbuat demikian. Tak salah menjadi orang yang lewat, "late starter", dalam hal-hal kebajikan.

Negara Jepun dan Korea telah berjaya berbuat demikian. Dulu mereka hanya meniru "copy cat" tapi sekarang mereka menerajui. Sehingga jam tangan yang dulunya mahal sekarang boleh dibeli dengan harga RM5 sebuah. Mampu kita beralih fesyennya dan pakai buang pulatu. Serupalah juga dengan kamera, alat letrik dsbnya.

"Malaysia Boleh" kan?

Handset saya bukan sahaja boleh digunakan sebagai handfon tetapi juga sebagai jam penggera (alarm) dan juga sebagai radio. Juga untuk merakam suara, sebagai kamera digital dan perakam vedio. Itu pun saya dapat free, orang bagi sebagai hadiah.

Saya pada mulanya tak begitu percaya pembedahan mata boleh dibuat secara mudah dan murah di hospital kita. Dulu banyak saya dengar ianya komplicated dan menyakitkan. Inilah yang membuat saya risau juga. Tapi saya tawakkal dan bersetuju membuat pembedahan tersebut. Alih2 ianya sangat berjaya dan saya tak merasa sakit langsung.

Saya menjadi lebih yakin dengan pembedahan tersebut apabila “Selamat Pagi Malaysia” di TV1 menunjukkan proses pembedahan mata (katarak) pada bulan Mac lalu bersama temuramah dengan doktor pakar mata. Vedio wawancara tersebut juga saya rakamkan dengan kamera digital saya untuk kenangan. Gambar dari vedio tersebut saya 'potong dan tampalkan' (lihat gambar).

Hari Isnin nanti (5 April) saya akan kembali ke Hospital Ampang untuk membuat pemeriksaan susulan. Harap segalanya berjalan lancar dan mata saya akan pulih saperti biasa dengan cepatnya.





========================================

ISNIN 5 APRIL 2010




Keadaan mata dan ubat titis yang dibekalkan untuk sebulan.

Pemeriksaan susulan selanjutnya pada 5 Mei 2010.



Carta Aliran operasi pemeriksaan pelanggan di Hospital Ampang.

Ubat titis; Minggu pertama - 4 kali sehari. Minggu kedua - 3 kali sehari Minggu ketiga - 2 kali sehari Minggu keempat - sekali sehari

Minggu kelima: Pemeriksaan susulan (5/5/10)

Bayaran pendaftaran ialah RM5.00.



#############################################

Nikmat dapat melihat

Dapat melihat adalah satu nikmat yang tidak dapat dinilaikan.

Dahulu semasa saya kecil saya selalu membantu ibu saya memasukkan benang ke dalam jarum supaya ibu saya dapat menjahit. Ini adalah kerana beliau tak dapat melihat dengan jelas lubang jarum dan semasa itu mana ada orang memakai cermin mata. Di Kuala (Kangsar) kedai cermin mata pun tak ujud. Kalau nak buat cermin mata kena pergi ke Taiping (22 batu jauhnya) atau Ipoh (30 batu). Pun tak boleh siap pada hari yang sama.

Puas juga ibu saya cuba memasukkan benang dalam lubang jarum tetapi hanya kadangkala berjaya. Sayalah yang selalu menolongnya bila diminta. Kemudian apabila beliau ada cermin mata tugas saya berbuat demikian berkurangan.

Saya mula memakai cermin mata pada tahun 1981. Tatkala itu saya menjalankan tugas audit Felda Keratung di Ibu Pejabat Felda. Sungguh nikmat dapat melihat dengan jelas menggunakan cermin mata. Berkali2 saya akan melihat dari atas bangunan pejabat ke arah rumput di bawah. Sangat jelas melihat serinya cahaya yang keluar dari setiap helaian rumput ketika memakai cermin mata. Dapatlah saya bandingkan perbezaan nikmat pemandangan alam menggunakan cermin mata dan tanpa cermin mata. Sungguh nikmat dapat melihat dengan jelas. Serinya sangat mempersonakan.

Mata saya tatkala itu rabun jauh bermaksud, benda yang jauh saya kurang nampak jelas tetapi benda yang dekat sangat jelas. Kalau saya nak makan atau membaca maka saya perlu buka cermin mata. Kalau tidak tak puas makan kerana kurang jelas nampak bahan yang saya makan itu. Tanpa cermin mata lebih jelas penglitan dekat saya. Bagitu juga membaca, saya kena buka cermin mata.

Masaalah juga kerana bila saya buka cermin mata biasanya saya akan letakkannya di atas meja atau sebagainya dan kemudian terlupa mengambilnya semula. Bila nak pakai cermin mata kena fikir pula di masa saya tinggalkan. Ini berlaku banyak kali sampai saya naik bosan juga. Akhirnya saya buat keputusan tak memakai cermin mata kerana asyik tertinggal dan ada yang hilang pula tak tahu di mana saya letakkan.

Sampailah sekarang ini saya tak pakai cermin mata. Sebabnya: rabunnya bukan kuat sangat. Saya masih boleh memandu tanpa cermin mata. Lagi pun saya malas nak beli cermin mata baru menggantikan yang hilang.

Kawan2 saya pun hairan kenapa saya boleh membaca tulisan yang kecil yang mana mereka tak nampak dengan jelas. Ini adalah kerana saya "short sighted" atau rabun jauh. (Short sighted bukan saya maksudkan memandang singkat tapi itulah istilah bagi rabun jauh).

Dapat melihat adalah satu nikmat. Samalah dengan nikmat mendengar, merasa dan sebagainya. Disebabkan oleh nikmat tersebut saya telah membuat pembedahan memulihkan penglihatan mata saya.

Alhamdulillah.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tempat Letak Kereta

Pernahkah anda melatakkan kereta anda di tempat letak kereta dan masa nak baliknya terlupa di petak mana anda letakkan kereta anda? Saya pernah dan banyak kali pula berbuat demikian.

Semasa saya bekerja pejabat dulu kami ada ruangan tempat letak kereta banyak tingkat, berlapis2. Banyak kali saya letakkan kereta dan terus pergi ke pejabat menjalankan tugas saya. Bila nak balik petangnya saya cari kereta tapi tak jumpa. Bukannya kereta tak ada tapi saya lupa di paras mana saya letakkan kereta saya itu. Malu juga kena cari kereta tersebut di setiap aras. Kalau orang tanya buat apa apakah kita nak jawab? Sehinggalah saya mendapat lot yang tetap.(masa itu naik pangkat).

Isteri saya pula pernah terlupa sedemikian di tempat letak kereta Shangrila Hotel.. Jenuh mencarinya hingga meminta bantuan kakitangan di situ.

Ramai juga kawan2 saya yang mengalami perkara yang sama. Adakah itu menunjukkan kita dah tua? Ya.

----------------------------------------

Dan ramai juga manusia yang bila keluar dari masjid terpaksa mencari kasut atau seliparnya kerana lupa di mana ia meletakkannya semasa mula memasuki masjid. Ini berlaku saban hari Jumaat yang saya perhatikan. Ini tak termasuk yang kena kebas atau tersalah pakai oleh orang lain atau yang dipinjam dan salah letak semasa memulangkannya.

Saya mudah mengatasinya dengan meletakkan selipar saya dalam raga motor saya. Tapi kadangkala saya lupa pula di mana saya letakkan motor saya pula, Maklumlah dah berumur katakan. Juga adalah sifat insan adalah pelupa. Jangan nyanyuk cukuplah!!.

........................................................

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI