GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Monday, December 13, 2010

MENANG, MENANG, MENANG DAN MENANG

MENANG

DAN MENANG

DAN MENANG



SEMUANYA MENANG TIADA YANG KERUGIAN


Semua manusia mau menang dan tak mau kalah.

Tapi jangan salah sangka. Setengah manusia yang bijak membenarkan dirinya kalah tak menang dengan tujuan mahu kalah sekarang tapi akan menang pada masa akan datang. Ini mungkin stratejinya untuk menang dalam masa jangka panjang. Biarlah kalah pada awalnya tetapi pasti akan menang pada kesudahannya.

Inilah salah satu strateji peperangan, itulah yang saya dengar dari kawan2. Itulah juga muslihat setengah ahli perniagaan, biarlah pesaingnya menang dulu tetapi akan dikalahkan pada masa akan datang.

Manusia pada zaman dahulu, juga masih diamalkan oleh setengah kita sekarang ini ialah kita mesti menang dan pesaing kita mesti dikalahkan. Kejayaan diukur apabila kita menang dan musuh atau pesaing kita ditewaskan dan mati atau cacat fisikalnya atau jiwanya atau semangatnya. Kita mahu jadi hero dan tak mahu kalah.

Kesannya setiap kita bertarung untuk menang mengalahkan musuh atau lawan kita. Rugilah pehak yang kalah dan kalau di zaman dahulu segala harta benda mereka akan dijadikan harta rampasan. Di zaman sekarang mereka yang kalah ini tak akan dipedulikan, mungkin.

Tetapi zaman berubah dan peragai manusia pula turut berubah. Manusia mula menjadi jinak dan tidak berperasaan ganas atau tak bertimbang rasa.

Timbullah keadaan di mana kita tak mahu menang dan musuh kita kalah. Kita sekarang tukar polisi kita dengan berniat supaya kita pasti menang tetapi lawan atau musuh kita juga menang dan tiada siapa yang kalah atau rugi. Maksudnya kita tidak lagi bermusuhan menewaskan lawan kita tapi kita sekarang saling bantu membantu satu sama lain. Kesannya kita tak rugi dan lawan atau pesaing kita pun tak rugi.

Banyak perniagaan sekarang ini menggunakan strateji begini. Kita bersaing tetapi tak bunuh-membunuh pesaing kita.

Contohnya: Katakanlah Shell dan Esso dan Petronas berbuat demikian. Kesannya mereka boleh bersaing tetapi mereka juga boleh berpakat katakan, menaikan harga minyak keluaran mereka. Dengan tindakan bersama tersebut mereka semuanya mendapat untung dari kenaikan minyak tersebut.

Keadaan ini dinamakan keadaan "Menang-Menang" kerana mereka semuanya dapat untung dan tak ada yang rugi.

Dari keadaan “Menang-Kalah” dulunya tatkala mereka bersaing dan membunuh perniagaan lawannya, sekarang mereka adalah dalam keadaan “Menang-Menang” setiap pesaing mendapat untung yang berpanjangan dan yang lebih besar dari apabila mereka bersaing untuk membunuh perniagaan lawannya.

Kalaulah perniagaan warong makanan bersikap demikian, mereka semuanya bolehlah menikmati keuntungan yang berpanjangan. Jiwa pun menjadi tenang dan bahagia tanpa perasaan risau dan iri hati. Bandingkanlah jika mereka bersaing dengan menggunakan ilmu hitam (santau, sihir, dll) sapertimana diceritakan berlaku di zaman dahulu. Hidup pun tak tenang dibuatnya. Dengan bekerjasama semua mereka boleh mengaut untung.

Dari keadaan “Menang-Kalah” dahulunya, manusia telah berubah kepada suasana “Menang-Menang”, tiada siapa yang kalah atau rugi.

Nanti dulu!

Jangan kata lagi tiada siapa yang rugi.

Kalau ditelitikan betul2, pasti ada yang rugi.

Dalam contoh Shell-Esso-Petronas di atas mereka semuanya untung dan tiada yang rugi. Yang rugi ialah pengguna yang membeli minyak mereka. Persekutuan mereka membolehkan mereka menaikkan harga minyak untuk mendapatkan lebih untung. Tetapi pelanggan mereka rugi kerana terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan minyak. Kecuali jika kerajaan atau pehak berwajib saperti persatuan pengguna masuk campur.

Jadi, keadaan “Menang-Menang” ini pun ada buruknya kerana ianya menyusahkan pehak ketiga, dalam contoh di atas pehak ketiga ialah pembeli minyak mereka.

Jadi perlulah kita berubah dari keadaan “menang-Menang” kepada keadaan “Menang-Menang-Menang” yaitu pehak pertama dan kedua beruntung dan tak rugi dan pehak ketiga juga dapat faedahnya dan tak menanggung kerugian.

Ada pula mereka yang menjelajah lebih jauh lagi dengan mencadangkan keadaan “Menang-Menang-Menang-Menang” bermakna menjadikan semua makluk Allah tak rugi tetapi dapat faedah. Ini termasuklah alam sekitar, binatang dan tumbuhan. Juga jiwa kita sendiri mendapat faedahnya kerana dapat ketenteraman hidup.

Tak guna juga jika semua pehak mendapat faedah tetapi alam sekitar dan kehidupan makluk Allah diganggu gugat.

Inilah cerita perbincangan yang saya dengar di TV2 pagi tadi, dengan sedikit olahan. Ruj: 20101213@0800


Jagalah Alam Sekitar Kita

Friday, December 10, 2010

DUIT DUIT DUIT (Bhg 3)

PERDAGANGAN DUIT

DUIT MEMBELI DUIT



Bagi mereka yang mahir tentang perangai duit mereka dapat menggunakan perangai duit ini menghasilkan untung. Duit bagi mereka adalah barangan sama seperti durian atau kereta yang boleh dijual beli bagi mendapatkan untung. Sambil itu mereka bersedia untuk menghadapi risko rugi.

Tetapi kalau dah mahir mereka dapat menghidu bau kemungkinan mereka akan rugi dan bertindak lari dari bakal-rugi tersebut atau sekurangnya bertahan dari menghadapi kerugian yang lebih besar. Istilah yang mereka gunakan ialah “Cut loss” atau mengurangkan kerugian. Sekurangnya kerugian yang bakal berlaku dapat mereka kawal supaya tidak melebihi jumlah untung yang pernah mereka kumpulkan terdahulu.

Biasanya institusi yang menjalankan perdagangan duit ini ialah bank yang mempunyai banyak duit terbiar. Disebut terbiar kerana duit ini adalah duit lebihan yang tak digunakan dalam urusan biasa bank yang mana kalau duit ini tak diguna atau difaedahkan, ianya akan terbiar tanpa mendatangkan untung. Itulah teorinya pada masa dahulu. Duit terbiar perlu digunakan bagi menghasilkan untung.

Tetapi oleh kerana kegiatan menjual beli duit ini sangat menguntungkan, maka bank sekarang ini telah menyediakan dana tertentu untuk kegiatan jual beli duit ini. Sehingga mereka telah menubuhkan jabatan yang dinamakan Jabatan Forex (tukaran wang asing) khas untuk mengendalikan aktiviti jual beli duit ini. Kepakaran kakitangannya Jabatan ini mengendalikan kegiatan jual beli duit ini biasanya menghasilkan untung yang banyak.

Tapi kadangkala rugi juga saperti mana yang berlaku kepada kegiatan jual beli duit (Forex) Bank Negara pada tahun 90an dahulu. Sebelum itu BanK Negara banyak menghasilkan untung dari kegiatan Forex mereka.

Polisi mereka yang menjalankan perniagaan duit ini ialah membeli duit dengan harga yang rendah dan menjualkannya pada harga yang tinggi. Sesiapa yang boleh berbuat demikian bolehlah bekerja dengan Jabatan ini.

Akibatnya hanya mereka yang betul2 pakar dan “risk taker” yang berpengalaman berani atau yang selalunya bernasib baik, menjalankan tugas ini.

Tugas harian mereka ialah memerhatikan pergerakan harga jual beli setiap matawang dunia dan memilih-beli mata wang tertentu pada harga yang rendah untuk dijual pada harga yang melebihi harga belian tersebut. Dari situlah datangnya untung Forex (foreign exchange).

Perlulah diingat bahawa harga satu2 matawang itu dikawal oleh pasaran bebas dan tiada siapa lain yang dapat mempengaruhinya. Ini adalah kerana pasaran matawang ini adalah terbuka dan mereka yang terlibat sangatlah ramai sehingga tiada sesiapa yang dapat mempengaruhi harga jual belinya. Pasarannya adalah terlalu bebas untuk dapat dipengaruhi oleh mana2 pehak.

Keadaan pasarannya: Jika permintaan sesuatu matawang itu meningkat harganya akan naik. Jika permintaannya menurun maka harganya akan turun.

Juga, jika penawarannya naik harganya akan turun dan jika penawaran matawang tersebut turun, harga akan naik.

Dengan dana yang disediakan, pakar Forex ini akan mengawasi pergerakan turun naik satu2 matawang dan bertindak membelinya apabila harga matawang tersebut "rendah" untuk dijual apabila harganya "tinggi". Atau menjual stok matawangnya jika harga matawang tersebut adalah munasabah bagi mendapatkan untung. Mereka akan membeli matawang tersebut jika ianya dijangka akan menguntungkan mereka apabila menjualnya pada masa akan datang. Maksudnya, mereka menjangkakan harga matawang tersebut akan naik.

Kami semasa menjadi juruaudit dahulu ada juga menjalankan kegiatan menjual beli matawang ini. Pada satu ketika apabila menjalankan audit di London kami membeli matawang USD untuk digunakan semasa di London. Tatkala membelinya harga USD rendah. Sampai ke London harganya naik dan apabila kami tukarkan kepada British Pound kami mendapat untung Forex. Kalaulah kami beli British Pound kami tak akan memperolihi untung tersebut. Itulah permainan Forex yang menguntungkan.

Tapi kalau harga USD ketika kami berada di London itu turun, kami akan rugi. Tapi taklah rugi sangat kerana duitnya adalah wang pendahuluan yang kami terima dari majikan kami, bukannya duit gaji kami. Lagi pun elaun harian kami mungkin dapat menyerap kerugian tersebut.

Itulah. Duit membuat duit. Tetapi kita perlulah ada ilmu mengenai duit.

Kalau tidak kita akan melaburkan duit kita dengan Pak Man Telor saperti dalam cerita berikut:


http://www.radiniz.com/blog/?p=472

http://jurublog.blogspot.com/2008/12/americas-own-pak-man-telo-to-cost.html

http://rm1juta.wordpress.com/2008/12/25/pelaburan-haram-terbesar-di-dunia-skim-cepat-kaya-ala-pak-man-telo/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Pak_Man_Telo




TUNTUTLAH ILMU KERANA ILMU DAPAT MENOLONG
Awasilah pelaburan anda supaya ianya sentiasa Halal

Tuesday, December 7, 2010

DUIT DUIT DUIT (2)



DUIT DUIT DUIT
(Bhg 2)

KAMI SUKA BUAT DUIT


Kalau kita ada duit kita bolih buat duit, dengan cara memberanak-pinakkan duit yang kita ada menjadikan jumlahnya bertambah banyak saban hari.

Cara yang paling mudah kita membuat duit ialah dengan mendepositkan duit kita di Tabung Haji bagi mendapatkan dividennya. Atau di instutusi lain yang membayar dividen. Atau kalau nak yang haram kita boleh depositkan ke akaun simpanan bank yang membayar faedah atau bunga atau riba. Atau kalau nak yang halal boleh kita simpan di bank atau institusi yang menggunakan kaedah Islam yang membayar dividen berdasarkan perkongsian untung-ruginya atau memberi apa yang mereka namakan “hibah”.

Cara ini tidaklah banyak hasilnya tetapi sangat selamat.

Kalau nak cepat hasil dan banyak jumlahnya gunakan duit kita itu untuk berjudi. Tapi riskonya sangat tinggi kerana kita mungkin jadi muflis kerana rugi kalah judi. Di akhirat pula kita sudah tentu muflis kerana kerja main judi ini adalah haram dan berdosa, kecuali sempat taubat dengan betul cara taubatnya.

Bagi mereka yang lebih bijak, mereka menjalankan kerja membeli duit dengan duit. Yang ini tak ramai membuatnya kerana perlu menggunakan duit dalam jumlah yang besar, yang hanya mampu dibuat oleh institusi kewangan. Individu yang terlibat hanya mampu menjalankan urusannya sahaja bagi pehak institusi tersebut dengan mendapat upah atau gaji.

Kita sebagai individu hanya mampu membeli duit apabila kita nak pergi ke Mekah atau hendak keluar negeri. Ini adalah kerana duit ringgit kita tak laku di sana, dan perlulah kita membeli duit mereka untuk berurusan di sana nanti. Untuk itu kita beli duit dari mengurup wang atau bank perdagangan.

Bila balik dari Mekah atau luar negeri kita mungkin ada baki duit luar negeri itu yang mana kita boleh jualkan duit tersebut kepada pengurup wang atau bank.

Hanya institusi yang banyak modal tunainya boleh menjalankan urusan jual beli duit. Dan mereka pula perlu mandapatkan lesen untuk menjalankan urusan tersebut. Mereka juga memerlukan individu yang pakar menjalankan urusan jual beli yang sangat besar riskonya ini.

Duit membeli duit.

Dulu kita boleh beli 100 Rial Saudi dengan harga RM72.00. Sekarang ini harga 100 Rial mungkin RM124.00 kerana nilai RM kita dah turun. Dulu kita boleh beli HK$100 dengan harga RM30.00. Sekarang mana boleh kerana nilai RM kita dah turun. Turun naik harga duit bergantung kepada jumlah permintaan dan penawaran duit tersebut. Kalau ramai nakkan duit tersebut harganya akan naik dan jika kurang yang mahu membelinya harganya akan turun. Ini sama dengan tabiat turun naiknya harga barangan lain saperti durian atau cili.

Kenapa kita beli duit?

Kebiasaannya kita membeli duit kerana kita perlu menggunakannya. Tetapi kenapa kita memerlukannya pula? Sebab kita nak beli barangan dari luar negeri untuk diimpot atau hendak membeli barangan atau perkhidmatan mereka semasa kita berada di luar negeri.

Kalau membeli barang di Mekah atau Madinah kenalah kita ada duit Rial. Oleh itu kita kena bawa ke sana duit Rial yang kita beli di Malaysia. Pergilah kita ke bank atau pengurup wang untuk membelinya. Lainlah kalau kita ada Kad Kredit yang mana kita boleh gunakan tanpa mengunakan duit. Atau kita beli Cek Pengembara bernilai duit mereka.

Kalau kita mengimpot barangan dari luar negeri kita perlu membeli duit mereka dulu sebelum dapat membayar harga barangan tersebut. Ini kerana bayaran perlu dibuat dalam nilai duit mereka. Barangan dari Amerika mesti dibayar dengan USD (duit US). Barangan British pula dengan Euro. Kecuali jika penjual dan pembeli bersetuju berurusan dengan menggunakan duit tertentu, misalnya menggunakan RM atau USD.

Satu cara membuat bayarannya ialah dengan kita pergi ke bank untuk membayar harga barangan tersebut, sebelum barangan itu dapat kita miliki. Bank akan membayar harga barangan tersebut kepada pembekal di luar negara pada harga duit mereka dan meminta kita bayar dengan nilai duit RM.

Secara tak langsung kita beli duit mereka dulu dan membayar harga barangan yang kita import melalui bank yang menguruskan bayarannya. Bank pula menjual duit asing tersebut kepada kita tapi tak memberi wangnya kepada kita, sebaliknya membayar terus harga barangan yang kita impot itu.

Kita boleh juga beli duit asing tersebut dari bank dengan bank tersebut menjual duit asing yang kita ingini kepada kita dalam bentuk bank draf. Bank draft tersebut kita boleh gunakan untuk membayar belian import kita.

Terdapat banyak cara lain kita membeli duit asing, termasuklah Cek Pengembara dan beberapa jenis bil atau dokumen perdagangan.

Kegiatan menjual beli duit ini di istilahkan sebagai FOREX (Foreign Exchange) atau Pertukaran Wang Asing.


bersambung . . . (bhg 3)



Sunday, December 5, 2010

DUIT


DUIT DUIT DUIT (Bhg 1)

KAMI TAK PERLUKAN DUIT





Siapa yang tak suka duit? Siapa yang tak perlukan duit?

Kami. Kami tak perlukan duit

Kami semasa di kampong dulu tak perlukan duit. Kerana kami cukup segalanya untuk terus hidup. Mana taknya. Beras kami tanam sendiri padinya. Ayam itik kami pelihara sendiri. Ikan kami dapat dari sawah, parit atau sungai berdekatan. Sayur dan ulam kutip sahaja dikawasan keliling rumah. Buah2an melana (banyak) di waktu musimnya.

Panggillah saudara yang ada berok jika nakkan buah kelapa supaya beroknya dapat memanjat pokok kelapa kita bagi menambah stok buah kelapa di bawah rumah. Bapa saudara saya kalau nak makan daging kijang atau pelanduk atau landak perlu hanya ke hutan berhampiran “memungut”nya.

Kalau pun perlukan duit juallah itik ayam yang ada. Atau kerbau peliharaan.

Apa nak lagi. Kami tak perlukan duit. Kami hidup bebas dan bahagia tanpa duit. Seronoknya.

Tapi itu dahulu.

Sekarang kami juga perlukan duit.

Kerana suasana menukarkan keadaan dan keperluan. Tanah kebun dan bendang yang dahulunya luas dan banyak terpaksa kami anak cucu cicit berkongsi beratus2 orang, dapatlah mungkin satu ekar seorang dan tak lama lagi mungkin sekangkang kera seorang bila zuriat semakin bertambah.

Bukannya ini kerana salah sistem faraid, tetapi kami yang tak pandai. Menurut seorang pakar Mr P Balan, beliau pernah menulis yang sistem faraid adalah terbaik.

Terpaksalah kami merantau mencari rezeki. Dan rezekinya ialah dengan cara mencari duit. Kenalah cari duit. Terhapuslah cara hidup kami yang tak memerlukan duit.

Mana yang bersedia awal dengan pelajaran dan ilmu untuk anak cucunya nampaknya berjaya dengan mudah mendapat duit. Yang menjadi askar atau polis juga demikian nasib mereka.

Dan yang merantau keluar ramai juga berjaya dapat banyak duit. Mereka melabur memajukan pelajaran anak2 mereka dan berjaya menghasilkan ahli professional yang banyak mendapat duit. Dan sekarang mereka melihat duit mengalir memasuki kocek mereka setiap bulan hasil pelaburan ke atas anak2 mereka itu. Alhamdulillah.

Walau bagaimana pun, yang tinggal di kampong masih ramai lagi yang tak perlu adanya duit. Kerana mereka boleh sekarang terus berusaha saperti dahulu. Padi tanam sendiri (kecuali jika kocek mereka tak pernah kosong sekarang kerana dipenuhkan oleh anak cucu yang bekerja diperantauan), itik ayam boleh mereka bela sendiri, dan lain aktiviti nenek moyang mereka terdahulu boleh mereka teruskan jika mahu. Tanah terbiar sangat banyak jika mereka mahu usahakan. Rajin atau tidak sahaja. Sejak harga getah meningkat naik harganyani ramai pula yang jadi pengurus kebun getah saudara mara yang berada di bandar. Pasti ada perjanjian gaji dan elaunnya.

Mereka masih boleh tidak memerlukan duit tetapi bila duit datang menjalar ke riba mereka kenapa pula tidak diambil faedahnya.

Mereka tak perlukan duit tetapi mereka dihujani oleh duit. Alhamdulillah.

Eloklah banyak menderma dan banyak bersedekah. Itulah yang akan menjadi duit di akhirat nanti.

Dan bersyukurlah dan tunjukkan kesyukuran tersebut dengan taat kepadaNya dan menjauhi segala laranganNYa.










Bersambung. . . . (Bhg 2 nanti)



Friday, December 3, 2010

KLASIFIKASI SAHABAT

MEMILIH SAHABAT

atau

BERSAHABAT DENGAN SEMUA



Semasa kami di bangku sekolah dahulu kami telah dinasihatkan untuk memilih kawan atau sahabat kami.

Orang tua (Penasihat) kami membahagikan manusia kepada tiga kumpulan, yaitu kumpulan pertama, mereka yang kita perlukan dan banyak memberi faedah apabila kita berkawan dengan mereka, dan kumpulan inilah yang sepatutnya kita bersahabat dengannya.

Kumpulan kedua ialah mereka yang tak menguntungkan kita, juga tak merugikan kita bersahabah dengannya, dan kumpulan ini kita boleh juga menjadikan mereka sahabat kita.

Kumpulan ketiga ialah mereka yang akan merosakkan dan membawa pengaruh tak baik kepada kita, dan kumpulan ini perlu kita elak dari berkawan dengannya.

Nasihat ini amatlah baik.

Kita perlu bersahabat dengan mereka yang menguntungkan kita dalam perjalanan kita merancang dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan selesa ketika dewasa nanti. Ini adalah kerana sahabat yang kita berkawan dengannya sangat besar pengaruhnya kepada kita.

Kalau kita bersahabat dengan penjual minyak wangi misalnya, maka wangilah bau kita ke mana sahaja kita pergi. Kalau berkawan dengan tukang besi pula maka bau besilah kita sepanjang hari. Inilah perbandingannya.

Kami dinasihatkan untuk memilih sahabat yang perlu kami berkawan dengannya kerana mengikut penasihat kami, kuasa memilih adalah kami sendiri. Dan risko membuat pilihan tersebut adalah juga kami.


_____________________


Tetapi terdapat satu cara yang lebih baik bagi kita mengkelafikasikan sahabat yang kita berkawan dengannya.

Caranya ialah:

Kita bahagikan mereka kepada tiga kumpulah, yaitu kumpulan yang lebih baik dari kita, kumpulan yang sama baik dengan kita dan kumpulan yang kurang baik dari kita. Dan ketiga2 kumpulan ini boleh mendatangkan faedah kepada kita jika kita tahu cara mengendalikan kumpulan tersebut. Dengan membahagikan mereka secara ini kita menjadi makluk yang proaktif (membuka jalan) dan bukan makluk yang reaktif (mengikut jalan).

Dengan kumpulan yang lebih baik dari kita dari segi ilmunya atau sebagainya itu, kita bersahabat dengannya dan belajarlah darinya. Banyak ilmu kita boleh pelajari darinya. Dengan demikian kita akan menjadi makluk yang lebih baik keadaannya.

Bagi mereka yang setaraf (ilmu dan sebagainya) dengan kita, bersahabatlah kita dengannya supaya apabila kita lupa atau leka ia dapat memperingatkan kita. Kita bolehlah saling bantu membantu.

Dan bagi mereka yang kurang baik daripada kita, bersahabatlah dengannya dan bimbinglah dia setakat kemampuan kita supaya ia menjadi manusia yang lebih berguna.

Jika kita bersifat sedemikian, maka bertambah ramailah sahabat kita dan bertambah majulah masyarakat kita. Yang berilmu membantu yang kurang berilmu dan yang kurang berilmu dapat menambahkan ilmu mereka. Insha Allah, aman bahagialah masyarakat. Dan Insha Allah, akan hilanglah perasaan hasad dengki antara kita kerana semua manusia adalah sahabat kita yang saling bantu membantu.

Inilah mungkin cara kaum Yahudi hidup dan tak salah kita mengikutnya walau pun ramai yang getik kepada kaum tersebut.

-----------------------------------------------


Seorang sahabat tak mungkin menjadi ahli dalam semua bidang. Ini adalah cara anugrah Allah kepada makluknya. Inilah asas rezeki, dengannya kita memperolihi rezeki kita. Dan usaha kitalah yang akan menentukan kuantiti dan kualitinya.

Yang pandai dalam bidang kedoktoran tak tahu atau kurang tahu tentang pertanian. Atau pakar ekonomi mungkin tak pandai bertukang dan sebagainya.

Masing2 diberikan kepandaian masing2. Kerana itu kita perlu bekerjasama membantu antara satu sama lain dalam bidang yang kita pakar. Dan kita sepatutnya menjadi pakar dalam sekurang2nya satu bidang bagi membantu orang lain dalam bidang yang mereka kurang tahu.

Masyarakat yang ramai ahlinya mempunyai kepakaran dalam berbagai bidang akan menjadi masyarakat yang maju. Yang kurang ahlinya dalam berbagai bidang adalah masyarakat yang mundur dan mudah diperbudakkan dan dijajah.

Semoga kita semua menghasilkan zuriat yang menjadi pakar supaya masyarakat kita maju berdikari. Segalanya adalah hasil usaha kita, Insha Allah.


Sahabat sumber ilmu dan bantuan bekerjasama.

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI