GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Monday, March 29, 2010

HOSPITAL AMPANG

Tak semua barangan dan perkhidmatan telah naik harga sehingga kita tak mampu memperolehinya. Dan kita masih lagi dapat membuat pilihan.

Pada hari Isnin lalu (tadi siang) saya telah menukar kanta mata kanan saya dengan harga RM803.00 sahaja. Itu pun saya pilih kanta yang paling mahal RM700.00 harganya. Menurut doktor itulah yang terbaik dan yang mudah beliau kendalikannya semasa membuat pembedahan mata menggantikan kanta yang lama kepada kanta "spare part" yang baru. Baki RM103.00 ialah kos pembedahan di Hospital Ampang.

Saya boleh memilih untuk mendapatkan kanta yang beharga RM200.00 atau RM500.00 tetapi saya memilih yang mahal kerana kos pembedahan murah sahaja. Jumlah kosnya tak sampai RM1,000.00 dan ianya sesuai dengan bajet yang saya jangka.

Kalau di tempat lain mungkin lebih mahal.

Saya dapat harga yang agak murah kerana saya membuat pembedahan mata melalui surat sokongan dari
Klinik Kesihatan Cheras Baru (Klinik Kerajaan). Jika melalui klinik swasta kos pembedahan ialah RM1,000.00. Dan kalau pembedahan dibuat di klinik swasta maka kosnya tak kurang dari RM2,000.00. Dan kalau saya gunakan Surat Jaminan Kerajaan (GL) dah tentulah percuma. Tapi malaslah, kerana ianya melibatkan kos dan masa juga.

Masa pembedahan lebih kurang satu jam. Yang lamanya ialah masa menunggu giliran. Saya mendaftar untuk pembedahan jam 7.30 pagi, masuk bilik bedah jam 12.10 tengah hari, mula mata dibedah jam 2.00 petang dan selesai pembedahan jam 3.10 petang. Balik rumah sampai pada jam 5.00 petang kerana mata perlu di cuci di klinik dan lain2 hal pentadbiran (ambil ubat, bayar bil, dll). Pada hari tersebut terdapat enam pembedahan mata dan saya yang ke lima.

Pembedahan berjalan dengan lancar dan tak sakit pun. Hanya suspense sahaja. Itulah yang membuat saya "pressure" dan darah tinggi saya naik 140/210 mulanya. Lepas diberi makan ubat turun 92/120 baru boleh masuk OT untuk buat pembedahan mata. Sungguh suspense! Suspense dibuat sendiri sebenarnya! Tapi akhirnya berjaya juga. Lebih bernasib baik lagi bila mata saya tak perlu dijahit lukanya. Alhamdulillah.

Sempat juga saya ucapkan terima kasih pada Dr Rozila yang mengendalikan pembedahan tersebut. Saya rasakan saya semacam menjadi ahli kumpulan pembedahan pula kerana saya sedar semasa pembedahan itu dan dengar (tapi tak dapat lihat!) percakapan dan kerceriaan mereka bekerja. Dr pun nampaknya puas hati kerana beliau ada berkata "patient bagus kerana matanya tak banyak bergerak Mudah saya buat kerja". Team work dan koordinasi petugas di OT, 3 kakitangan kesemuanya, pun sangat memuaskan. Yang sangat bagusnya lagi ialah mereka sentiasa ingatkan Allah dan berselawat-doa semasa pembedahan tersebut dan menyarankan saya berbuat demikian juga.

Sekarang menunggu mata kanan saya untuk pulih. Masanya dikatakan satu bulan. Terpaksalah saya bersabar dan bersedia dengan Paracatemol (Ubat hilang sakit) kalau2 ada kesakitan nanti.

* Tambahan: Mungkin saya tak perlukan Paracatamol kerana semalam tak berasa sakit pun mata saya hinggalah sekarang. Akan datang?
Bacalah: HARAPAN DAN PERSEDIAAN

_______________________________________________________________________

Sekarang Hospital Ampang menggunakan sistem tanpa kertas (paperless). Kita hanya perlu bawa kad pesakit untuk mengambil ubat dan mendapat dan membayar bil. Masa dahulu kita perlu bawa surat untuk ambil ubat dan buat bayaran. Sekarang semuanya itu sampai dulu sebelum kita sampai untuk berurusan dengan mereka kerana mereka gunakan komputer on-line, maka segalanya tercatat dalam sistem komputer mereka. Pastilah mereka menggunakan kata laluan (password) untuk melihatnya.

Mereka hanya imbas (scan - dulu mereka kena baca sendiri) kad pesakit dan tahu melalui skrin komputer apa ubat yang perlu diberikan. Atau imbas kad tersebut untuk mengeluarkan bil rawatan dan menerima bayarannya.

Atau imbas kad tersebut dan dapat tahu no telefon kita dan lain2 hal tentang diri kita. Sungguh changgih. Yang tak canggil ialah saya dan anak saya yang menemani kerana kami tak tahu apa nak buat bila sistem mereka itu "paperless". Nasib baik ada mulut boleh bertanya, ada mata boleh baca dan ada akal boleh berfikir.

Saya hanya membawa duit kecil sahaja semasa pergi membuat pembedahan tersebut. Dan tatkala saya menerima bil hospital saya katakan pada kakitangan tersebut saya tak bawak duit. Mereka kata boleh bayar kemudian tapi lebih baik bayar sekarang kerana tak payahlah datang lagi untuk membayannya di masa lain. Nasib baik ada juruwang sementara di sebelah saya (anak saya) yang membayarnya. Baliknya ke rumah baru saya kembalikan "hutang" RM103.00 tersebut.

Balik ke rumah barulah merasa lapar. Paginya hanya minum dan makan ubat biasa saya. Nampaknya bila kita ralit atau membuat sesuatu kerja kita tak perasan perut kita kosong tak makan atau minum. Serupalah bila saya bertugas audit di Bangkok dulu masa bulan puasa. Makan sahur 12 malam tahan hingga buka puasa 7 malam esoknya. Tak ingat lapar pun. Balik naik Thai Airlines (kongsi laluan dengan MAS) pramugari suruh makan kerana katanya berjalan jauh boleh makan di bulan puasa. Tapi saya tak makan kerana kalau makan, puasa saya kena ganti juga dan saya tak perlukan makan kerana tak lapar. Beliau bekalkan makanan pula untuk saya makan nanti bila berbuka puasa di Malaysia.

Walau apa2 pun diucapkan "Syabas!".

___________________________________________________

Haji Abd Halim CEM
Orang yang pertama yang mengesan saya mendapat penyakit katarak mata (kanta yang berselaput) ialah sahabat saya HAHACEM, pengelola Web http://hahacem.blogspot.com/ semasa kami mengikuti satu kursus "Pengenalan Aura" di Taman kami pada tahun 2006 kalau tak salah. Semasa latihan saya telah berpasangan dengan HAHACEM untuk membaca-imbas badan masing2. Dan beliau telah mengesan yang mata kanan saya bermasaalah, kerana tatkala beliau "bertanya" mata kanan saya, tangan kanan saya beliau dapati lemah dan tak dapat menghalangnya menolak tangan saya ke bawah.

Tatacaranya begini: Saya akan berdiri dengan kedua tangan saya diangkat separas bahu. Pasangan saya HAHACEM akan imbas badan saya secara membayangkan setiap anggota badan saya satu persatu, seolah2 bertanya (bertanya menggunakan fikiran bukan mulut) keadaannya baik atau tidak. Sambil "bertanya" HAHACEM akan menolak tangan saya ke bawah dan saya perlu halang beliau berbuat demikian supaya tangan saya tak turun mengikut tolakkan tangan HAHACEM. Semuanya dibuat tanpa berkata2.

Semasa membuat imbasan tersebut HAHACEN telah mengesan yang anggota badan saya yang lain adalah dalam keadaan baik kecuali mata kanan saya. Semasa beliau fokuskan kepada mata kanan saya untuk "bertanya keadaannya" tangan saya menjadi lemah dan mudah diturunkan bila beliau menekannya ke bawah. Kalau HAHACEM dapat menolak tangan saya kebawah dengan mudah maksudnya ada masaalah anggota badan saya yang beliau "tanya" atau bayangkan itu. Kalau tangan saya steady saja dan susah nak tolak kebawah maksudnya anggota badan tersebut dalam keadaan baik atau biasa.

Inilah kuasa yang ramai kita tak tahu. Konsentrasi fikiran orang lain dapat membaca keadaan seseorang. Bacalah
di SINI:Pemikiran Positif

Semasa itu mata saya masih normal dan saya dapat melihat dengan jelas. Setahun kemudian baru ianya menjadi kurang jelas tatkala saya terkena gigitan kucing yang berkelahi, terpaksa masuk wad enam hari bagi mengeluarkan bisanya. Selepas digigit kucing mata saya menjadi kabur tetapi pulih sedikit kemudiannya sehingga saya membuat keputusan membuat pembedahan menggantikan kanta mata saya.

Semuanya itu hanya penyebab. Yang berkuasa ialah Allah tak ke mana lain.

Badan saya boleh bercakap tanpa menggunakan mulut, hanya dengan tindakan dalamannya sahaja. Yang boleh "mendengar" atau "membacanya" sahaja yang tahu. Ianya macam "body language juga" yang dapat mengenal hati seseorang sama ada ianya berlakun atau tidak. Ramai tak percaya tetapi ini adalah kenyataan yang benar. Pembedahan yang saya buat menukar kanta mata saya ini adalah buktinya. Yang mula2 memberi tahu keadaan mata saya yang kurang baik itu ialah sahabat saya, bukannya seorang doktor pakar atau pawang besar tetapi orang biasa yang tahu dan ada ilmunya, seorang kakitangan Arab Malaysia. Hanya yang mahu belajar sahaja boleh mendapat ilmu tersebut, juga ilmu pemberian Allah yang lainnya. Kalau tiada usaha maka ke takuk yang samalah sehingga dan bersama anak-cucu.

Luasnya ilmu Allah. Yang kita tahu sedikit sangat. Itu pun dah ramai yang menjadi sombong.

Bila saya imbas badan HAHACEM semuanya OK. Kalau tak OK mungkin saya belum lagi pandai membuat imbasan badan dan kenalah belajar lagi.

Dalam internet banyak ditulis tentang ilmu AURA ini. Atau hubungi HAHACEM melalui webnya kalau berminat.

Posting Berkaitan: MENJAGA BADAN


Kesan pembedahan selepas sehari







p/s:
Memang saya terlupa tarikh pembedahan mata saya pada Isnin 29 Mac 2010 itu. Saya ingatkan pada 31 haribulan. Jadi pagi itu saya releks saja di rumah dan bersedia nak keluar membeli makanan pagi. Nasib baik anak saya ingatkan dan bila saya tengok kad janji saya sah tarikhnya 29 haribulan. Pengelabah juga saya kerana jam dah sepuluh minit ke pukul 7.00 pagi.

Terus saya pakai baju-seluar dan pergi ke Hospital Ampang dengan anak saya yang memandu. Nasib baik hospital hanya 2 kilometer dari rumah dan hanya melalui 4 lampu isyarat, dan sampai pada jam 7.30 pagi semasa petugas baru nak buka kaunternya.

Lucu pun ada kerana saya terpaksa pakai seliper ke hospital kerana bila saya cari kasut saya, saya tak terjumpa. Bolehlah juga dikatakan dharurat, agaknya.
**************************************

Kalau saya tengok mata kanan saya di cermin, saya sekarang boleh bayangkan tertera tertulis pada kanta mata kanan saya "HOYA - Buatan Jepun". . . . . Saja nak buat kelakar! sebab mood kenalah selalu baik.

Tuesday, March 23, 2010

HARAPAN DAN PERSEDIAAN

BERJAYALAH KITA

Semasa kami di sekolah menengah dulu, kami selalu menggunakan ungkapan “Hope for the Best and Prepare for the Worse”. Maksudnya “Berharaplah kepada yang Terbaik dan Bersedialah untuk yang Terburuk”. Kami gunakan ungkapan bahasa Inggeris ini bukanlah kerana kami tak ada perasaan nasionalistik tetapi kami ini orang dwi bahasa.

Dulunya pada masa mula belajar di sekolah menengah (Inggeris), kami berfikir dalam bahasa Melayu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, terpaksa minda kami menterjemah apa yang kami fikir untuk kami cakapkan. Susah juga pada mulanya. Tapi lama kelamaan bila dah “terror” barulah dapat berfikir dan bercakap dalam bahasa Inggeris. Kadangkala tatkala itu, mulalah kami mimpi pun menggunakan bahasa Inggeris. He. He.

Ungkapan “Hope for the Best and Prepare for the Worse” banyak memberi kami semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan. Ada banyak ungkapan serupa lain yang kami gunakan untuk menaikkan semangat kami. Maklumlah zaman belajar banyak cabarannya, kebanyakannya jika tak diawasi akan melencongkan.

Tapi kami tak terfikir pun menambahkan satu lagi ungkapan yaitu “Do the Best”. Kalau ditambah ungkapan ini mungkin kami akan lebih berjaya kerana kamu akan lebihkan usaha kami.

Itulah cara kami meningkatkan semangat kami untuk menghadapi cabaran semasa belajar dulu. Alhamdulullah, kami berjaya juga, agaknya.

Lama telah kami lupakan ungkapan ini. Mungkin ianya dah tak diperlukan lagi.

Tapi sekarang ini saya kena gunakan ungkapan tersebut buat masa-masa akan datang. Mungkin juga, semua orang perlu menggunakannya sekarang. Ungkapan tersebut ditambah menjadi “Do and Hope for the Best and Prepare for the Worse”.

Maksudnya kita tak boleh bersenang lenang sekarang ini, termasuklah mereka yang pencen saperti sayani.

Cabaran hidup nampaknya akan menjadi lebih merunsingkan jika kita tak bersedia untuknya. Jadi kenalah kita merancang dan bersedia.

Mana taknya:

Dulu segengam duit dapat membeli sebakul barangan. Tetapi akan datang diperlukan sebakul duit untuk membeli segenggam barangan. Sekarangni pun kalau tak ada RM100.00 dalam poket tak payahlah pergi ke pasar. Dan tak perlu bawa bakul ke pasar.

Contoh:

Dulu insuran kereta tua saya hanya RM100.00 (3rd party). Hari Isnin lepas saya kena bayar RM526.26 (tak dapat buat 3rd party, mungkin polisi nak kaya mereka). Cukai jalan kereta saya pula sekarang ialah RM696.00 dulunya hanya RM496.00. Mungkinkah inilah kesannya nak menjadi negara maju?

Nasib baik saya tak gunakan kereta ini kerana saya serahkan kepada adik saya menggunakannya. Kalau tidak minyaknya pula sudah naik and akan naik lagi. Saya guna KapCai saya tanpa cukai jalan. Masa yang lain saya pakai drebar. (Bas dan kereta api, kecuali LRT Putra yang tanpa drebar)

Itu tak termasuk harga ayam, harga ikan dan lain-lain barangan keperluan harian kita. Macam ini RM2,000 pun tak cukup untuk belanja bulanan bagi saya. Klik sini untuk Baca: Harga Untuk Hidup

Dan juga harga untuk mati yang dah pun lama meningkat, kecuali kalau di kampong tak terasalah sangat.

Kita juga perlu menukar gaya hidup kita bagi menyesuaikan diri kita dengan keadaan semasa dan yang akan dijangka. Patutlah ramai yang mengeluh sekarang ini. Tapi mengeluh tak akan menolong. Kenalah berusaha dan bertindak. Kalau dulu kita taman, sekarang kita dapat hasilnya. Tak terlambat menanam sekarang untuk mendapatkan hasilnya di masa akan datang. Maka bertanamlah dan tawakkal menunggu hasilnya.

Kenalah kurangkan joli. Kalau boleh masaklah sendiri dan tak perlu makan di kedai (tuan kedai pula akan mengeluh kurang pelanggan) untuk berjimat dan untuk menjaga kesihatan. Kalau kita sihat maka kos hidup kita pun kurang kerana kita boleh terus berusaha (menambahkan pendapatan) dan tak perlu membayar kos perubatan.

Kita tak perlu harapkan kerajaan menolong. Mereka pun nak cari untung dan modal menang pilihan raya. Polisi mereka dua mata, banyaknya bercanggah saperti melarang merokok tapi mengalakkan menanam tembakau. Kemudian naikkan cukai rokok (harganya pun naik) kerana nak galakkan rakyat kurangkan merokok konon, tapi dia pula mengaut untung dapat hasil cukainya. Dengan niat nak menolong rakyat dan negara dan mereka sendiri pun mestilah ada untungnya.

Atau suruh berjimat (satu nasihat untuk rakyat) tapi suruh juga bebelanja besar (untuk menjana ekonomi). Mereka makan dan berkata dua hala, mungkin juga tiga hala. Jadi kita kena waspada nasihat mereka untuk menilai sendiri yang mana nak pakai. Inilah yang dikatakan berdikari. merdeka! tanpa subsidi dan kita yakin diri.

Jadi kenalah kita “Do and Hope for the Best and Prepare for the Worse”.

Selamat berjaya semuanya, InshaAllah.

Muram juga posting saya kali ini.

Sunday, March 21, 2010

BANTULAH MEREKA


Masjid yang sedang dibena ini memerlukan bantuan mendapatkan peralatan dalamannya. Kesah lanjutnya di sini:
http://dermamasjid.blogspot.com/

Dan akaun banknya ialah:
Maybank 5140 6605 4194 (Wan Shohor Bani Leman)

Radio KLfm jam 6.45 pagi (Hari Kerja) berkaitan.

Thursday, March 11, 2010

RAHSIA GELANG GETAH

PAKAILAH GELANG GETAH
Justify Full
Bagi mengelak kita berkata atau berbuat perkara yang negatif.

Cara ini disarankan oleh seorang pakar dan tanpa kos. (tapi getahnya tak perlu terlalu ketat sebagai dalam rajah ini. Carilah yang selesa dipakai)

Manusia tak perlu bercakap atau membuat perkara yang negatif sebab ianya mendatangkan kesan tak baik baginya dan bagi makluk lain.

Berkata dan berbuatlah perkara yang positif kerana inilah yang dikehendaki dunia akhirat. Semua orang akan beruntung dan hidup bahagia.

Pakailah gelang getah ditangan sebagai alat menahan berkata atau berbuat perkara yang negatif. Apabila kita sedar perkataan atau perbuatan kita adalah negatif maka tariklah getah tersebut kemudian lepaskan, supaya kita merasa sakit.

InshaAllah, segala kata dan perbuatan kita di masa hadapan tidak negatif lagi (jika ianya masih ada).


Cubalah. Semoga pasti berjaya.
Lagi Tips di sini:
TUJUAN HIDUP




Cuba yang ini pula kalau larat:

Sekarang jalan raya di Malaysia banyak dah mengenakan tol. Kalau kita menggunakan jalan tersebut kita dikenakan membayar sesekian ringgit kerana melaluinya.

Zaman dulu saya ingat ada satu saja jalan bertol yaitu jalan di Tanjung Malim-Slim River. Itu pun kadang kala kena tipu sebab mereka berikan resit lama yang dibuang pemamdu sebelumnya.

Saya dah kena kerana bila saya semak selepas membayar tol saya dapati tarikhnya ialah bukan tarikh hari itu. Mereka (agaknya) pungut resit yang dibuang pemandu sebelumnya untuk diberilkan kepada pelalu tol berikutnya.

Tapi mereka tak kaya pun.

Habis. . . . ______________________________________

Buatlah begini. . . . .

Bila kena bayar tol janganlah bayar tol untuk kereta sendiri sahaja. Cuba anda bayarkan untuk kereta yang berada di belakang anda.

Cuba buat dan kajikan perasaan anda.

Kalau anda selalu buat begini anda akan merasakan satu perasaan bahagia.

Dan kalau ramai manusia yang berbuat sedemikian maka ramailah manusia yang akan berbahagia.

Fikirkanlah dan cubalah. Besar pahalanya. Kawan saya Abdullah Man, kata akan "bertambah indah kampong akhirat anda nanti".

Ini cadangan SPMTV1.

Monday, March 8, 2010

HUTANG DAN PENBIAYAAN

Di zaman ini tidak ramai manusia yang tidak pernah meminjam atau berhutang Orang miskin meminjam kerana kemiskinannya di mana pendapatannya adalah tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan yang perlukannya.

Orang kaya pula meminjam untuk menambahkan kekayaannya. Mereka meminjam untuk menghasilkan keuntungan yang dijangkanya besar berganda. Keuntungan tersebut adalah berkali jumlahnya dari kos hutang yang mereka ambil. Jadi beruntunglah jika mereka meminjam. Wang mereka sendiri boleh pula mereka gunakan untuk perkara lain atau perniagaan lain yang juga menguntungkan mereka.

Bertambah kayalah mereka kerana mereka ini bukan “niaga buluh kasap”, untungnya tak ada, modalnya lesap. Tetapi mereka “niaga atas angin”, modal sendiri tiada atau minimal tapi untungnya berganda sehingga ramai yang teringin.

Dan kalau ia "pandai" menipu pula maka apa yang dipinjamnya itu tidak perlu dibayar balik. Banyak kesah menipu sebegini dapat kita dengar. Kalau nak tahu lebih lanjut lagi tanyalah kakitangan bank kerana mereka banyak pengalaman kena tipu dan kadangkala pula ada di antara mereka yang terlibat.

Tapi berjaga2lah kerana mengikut Sunatullah segala hutang mesti dibayar balik . . . . di sini atau di sana.

Bank, syarikat kewangan dan lain2 pehak termasuk Along, Kooperasi, Chettier adalah institusi yang mengeluarkan pinjaman untuk pelanggannya. Ini adalah kerana mereka ada wang dan wang itu mereka gunakan untuk menjana lebih wang. Orang kata wang buat wang. Atau wang yang beranakkan wang.

Memang banyak untungnya memberi pinjaman ini. Mana taknya; dengan memberi hutang sebanyak RM100,000 misalnya, mereka dapat mengaut balik wang sebanyak RM165,341. Itu tak termasuk kos penyelanggaraan pinjaman yang pelanggannya kena bayar.

Kalau pinjam dari Along atau Chettier lagi banyak kena bayar balik. Silap2 kalau tak sempat bayar kena ugut dan harta yang kita ada kena lelong.

Tabiat berhutanglah yang menyebabkan ramai orang miskin menjadi lebih miskin. Dan yang kaya menjadi bertambah kaya. Orang miskin yang tak mampu terpaksa meminjan untuk meneruskan hidup. Akan tetapi tak larat hendak membayar balik hutang yang tinggi kosnya itu.

Di setengah tempat mereka yang miskin dibenarkan mengambil barangan keperluan di kedai dahulu untuk dibayar apabila ada duit atau dibayar melalui hasil tangkapan ikan di laut atau hasil padi di sawah atau jualan getah dari kebunnya. Harga barangan yang diambil dahulu itu mahal pula tapi bila terpaksa apa boleh buat.

Lihatlah rajah:

Inilah jadual bayaran balik pinjaman membeli rumah sebanyak RM100,000 pada kadar riba 8%. Tempuh masa bayaran balik 14 tahun.

Bagi bayaran balik bulan pertama, hanya RM333 daripada RM1,000 bayaran balik pinjaman digunakan untuk mengurangkan baki hutang/pinjaman tersebut. Baki RM667 adalah digunakan untuk membayar faedah pinjaman. Faedah ini merupakan keuntungan bagi pehak yang memberi pinjaman.

Pada bulan kedua RM336 dari RM1,000 bayaran balik pinjaman digunakan untuk membayar balik modal pinjaman. Baki 664 digunakan bagi membayar faedah pinjaman.

Seterusnyalah apa yang berlaku setiap bulan bayaran balik dibuat., sebahagian dari bayaran balik tersebut digunakan untuk membayar faedah pinjaman dan bakinya digunakan untuk membayar balik nilai pokok pinjaman.

Islam tidak melarang manusia unuk meminjam. Tetapi Islam melarang manusia mengamalkan riba semasa membuat pinjanam. Sistem pinjaman yang diamalkan sejak dahulu di negara ini dan di negara2 lain adalah sistem riba.

Hanya akhir2 ini sejak tahun 80an baru negara kita memperkenalkan sistem pinjaman Islam yang dinamakan Pembiayaan (buka istilah pinjaman) yang tidak melibatkan riba. Dimulakan dengan tertubuhnya Bank Islam. Kemudiannya diiringi dengan lain-lain bank dan syarikat kewangan yang turut serta mengadakan pembiayaan secara Islam.


Konsepnya penbiayaan ialah secara berikut:

Jika kita mahu membeli rumah dan perlukan pembiayaan sebanyak RM100,000 maka bank atau pehak yang membiaya pembelian tersebut akan membelikan rumah tersebut pada harga RM100,000 dan kemudian menjualnya kepada kita dengan harga RM165,341. Lebihan RM65,341 merupakan untung yang akan diperolehi oleh bank kerana menjual rumah tersebut kepada anda. Itulah untung hasil pembiayaannya.

Kemudian kita diperlukan membayar harga belian RM165,341 tersebut secara ansuran katakan selama 14 tahun dengan nilai ansuran RN1,000 sebulan.



Pembiayaan secara ini tidak melibatkan riba kerana ianya adalah berbentuk jual beli .


Pembiayaan secara "jual beli" tersebut berjaya mengelakkan kegiatan riba yang diharamkan oleh Islam. Sebagaimana yang kita tahu Islam mengharamkan riba tetapi menghalalkan jual beli.

Jumlah bayaran balik pinjaman/pembiayaan antara Islam atau cara lama (conventional) adalah lebih kurang sama. Yang bezanya ialah cara Islam tidal melibatkan riba dan berkonsepkan perniagaan jual beli.

Kalau kita beli ayam kita boleh katakan cara lama ayamnya tak disembelih secara Islam tetapi kalau gunakan cara Islam ayam tersebut disembelih secara Islam dan adalah halah dimakan. Rasa kedua2 ayam tersebut adalah sama. Bezanya ialah halal atau tidak.

Begitu pula bila kita membeli rumah atau meminjam cara Islam. Ianya halal walhal cara lama (conventional) adalah tak halal kerana melibatkan riba.

++++++++++++++++++++++++++

Ramai orang berhutang kerana ianya menguntungkan.

Ahli perniagaan banyak yang berjaya kerana mereka berhutang. Dengan berhutang mereka dapat membesar dan meluaskan perniagaan mereka dan mendapat keuntungan yang lebih besar.

Yang penting apabila berhutang ialah jangan rabun mata untuk joli apabila nampak jumlah wang yang banyak. Selain dari itu pastikan yang keuntungan yang diperolehi dari duit pinjaman itu mendatangkan untung yang lebih besar dari kos pinjaman yang kita terpaksa bayar nanti. Maksudnya jangan termakan modal.

Kalau kita membeli rumah kita juga tak akan rugi. Rumah yang kita beli dengan harga RM100,000 akan bernilai RM200,000 atau lebih selepas 14 tahun. Maksudnya bila kita dah langsai hutang kita, kita mempunyai rumah bernilai RM200,000. Jumlah kos pembelian rumah tersebut kalau ikut jadual di atas ialah RM165,41. Rumah kita punya dan sepanjang 14 tahun tersebut kita tak menyewa rumah pula.

Dan kalau kita menggunakan pembiayaan secara Islam pula kita akan dapat untung mengikut perintah Allah mengelakkan riba disamping memajukan ekonomi Islam.


Pembankan tanpa faedah


Terbaru dengar:

Dari cara sesaorang itu menjawab telefon kita boleh tahu masa depannya”.

Ini kerana percakapannya menggambarkan pemikirannya, dan pemikirannya menggambarkan emosinya, dan emosi yang baik membolehkan rahmat Allah datang kepadanya. Bila rahmat Allah datang tiada siapa yang dapat menahannya. Maka berjayalah dia.

Sifat kerohanian tinggi dapat dikesan dari percakapan yang ceria dan sentiasa tersenyum. Ibarat lebah yang sentiasa mengeluarkan madu yang manis sahaja.

Jika kita ubah perangai kita maka orang lain akan berubah juga terhadap kita. Ini adalah satu kepastian.

Untuk dihargai kita mesti menghargai dulu. Buat baik terhadap orang lain dulu barulah orang lain akan berbuat baik dengan kita. Kalau mengharap orang lain berbuat baik dahulu, mungkin ianya akan menjadi harapan sahaja kerana kita tiada kuasa mendatangkannya.

Semua manusia adalah baik dan tiada siapa yang ingin secara peribadinya, menjadi jahat.


Thursday, March 4, 2010

KAWAN LAMA

SAHABAT LAMA


Memang seronok jika kita dapat jumpa kawan lama kita, terutamanya yang dah lama betul kita tak jumpa. Mungkin ramai dari mereka yang kalau kita jumpa pun kita dah tak kenal kerana berlaku perubahan pada wajah masing2. Mereka juga mungkin tak kenal kita kerana kita pun mungkin juga dah berubah fisikalnya.

Satu cara untuk kita dapat berjumpa dengan mereka ialah dengan cara kita rajin merayau. Ada di antara kita yang tak disangka terserempak jumpa kawan lama kita ketika membuat kerja haji di Mekah atau ketika berada di Madinah, misalnya.

Saya memang suka merayau jika ada kesempatan.

Dulu semasa bekerja sebagai auditor memanglah saya kaki rayau. Merata tempat saya pergi. Seronok kerana saya dapat merayau tanpa kos kerana semua perbelanjaan ditaja oleh majikan. Ada yang mengatakan kerja auditor gajinya tak diusik, belanja wang elaun hariannya saja. Itu kata orang, sebenarnya mungkin tak sebegitu melainkanlah kalau kita memang kaki jimat.

Ada pula mereka yang buat duit lebih dengan membuat tuntutan berlebihan, asalkan ada resitnya atau munasabah nilainya.

Bos saya pernah menyarankan kami tuntut tambang teksi walhal kami pergi-balik kerja menaiki kereta api yang murah tambangnya. Nasib baik saya tak ikut katanya. Kalau ikut nahaslah kerana apakah nak jawab nanti di dunia satu lagi nanti? Tapi bak kata ustaz boleh dibuat ganti rugi dengan bersedekah dengan niat membayar balik tuntutan berlebih itu. Tapi yang terbaik ialah bayar baliklah kepada majikan kita. Barulah ianya tak akan dituntut di dunia satu lagi nanti.

Baru-baru ini saya terjumpa sahabat saya yang berpisah sejak 1968. Namanya ialah Yusuf. Binnya saya dah lupa. Tapi yang saya tahu beliau adalah anak seorang polis di Mantin dan tinggal di asrama bersama saya.

Kami dulu memang “musuh ketat” dan pernah bergaduh semasa di asrama. Gang mengombok pula ramai supaya kami bergaduh. Tapi tak jadi kerana kami tak ada mood meneruskannya.

Sejak itu kami selalu bermasam buka dan tak menegur antara satu sama lain. Maklumlah perangai budak2. Eh! Jangan kata . . . . ramai juga orang dewasa yang berperangai begitu.

Baru2ni kami tertemu di sebuah gerai berdekatan Bukit Aman. Saya tengok dia dan dia pun tengok saya buat beberapa ketika. Akhirnya kami dapat mengecam antara satu sama lain dan terus menyapa nama masing2.

Yusufni alim orangnya tidak semasa zaman sekolah dulu. Dan beliau memperkatakan tiorinya tentang keadaan manusia yang terbahagi kepada orang Islam dan orang kafir. Orang kafir beliau bahagikan kepada dua kumpulam dan orang Islam kepada enam.

Saya berminat cara beliau membuat pembahagian tersebut dan saya lakarkan dan sertakan di sini. Mungkin ada pehak yang berupaya memanjangkan kajian beliau dengan menentukan peratusannya di Malaysia atau di mana2 tempat lain pun.

Yang diperkatakannya adalah tiorinya sahaja. Tanpa angka untuk mengesahkannya. Dan tanpa kajian ilmiah. Kalau ada bagus juga.

Di masa akan datang saya berharap akan berjumpa ramai kawan2 saya saperti Yusuf ini.

Pernah saya jumpa Jalal Langkor selalu ketika saya balik kampung dulu, tapi saya tak kenal dia kerana kami berkawan semasa darjah tiga tahun 1960 dulu. Sampailah beliau pergi kerumah saya dan mak saya mengenalkannya barulah saya kenal dia. Malu juga saya kerana tak mengenalkannya. Tapi beliau faham.

Seorang lagi kawan yang saya tak kenal ketika berjumpa dengannya ialah Dolah. Ketika saya berbincang dengan Pak Yusuf (jiran kampong) mengenai keluarga Pak Kulup Zakaria saya tersebut nama anaknya, Dolah. Pak Yusuf kata inilah Dolah sambil menunjukkan saya kepada Dolah (yang ketika itu mendengar kami berborak). Malu lagi saya kerana tak kenal Dolah. Semasa saya tinggalkan kampong dulu mungkin dia berhingus lagi.

Tapi saya ada kawan yang bila kami berjumpa tahun lepas di Kubur Corner, Bukit Indah, beliau tak kenal saya tapi saya kenalnya. Saya bercakap sakan tapi macam dia tak layan sangat kerana dia tak kenal saya. Walhal saya selalu ke rumahnya di Kubur Kuda (Kota Bharu) pada tahun 1971 dulu. Pernah juga tidur di rumah kampungnya di Kuchelung, Bacuk.

Dulu pada tahun 1980an kami pernah berjumpa dalam perjalan ke Kota Bharu menaiki MAS dan ketika itu beliau masih kenal saya. Masa itu saya nak pergi buat kerja audit saya dan beliau pergi sebagai relief manager sebuah bank.

Tapi jumpa kali ini beliau tak kenal saya. Sehinggalah Hj Hashim (sabahat kami yang bersama ketika kami berjumpa di Kubur Corner itu) berceritakan tentang saya padanya kemudiannya. Barulah beliau perasan dan ingat.

(Kubur Corner adalah kawasan gerai makanan berdekatan kubur Taman Kosas, Ampang. Gang kami sahaja yang menamakan ianya Kobur Corner sebab kawasam warung itu tiada nama khas lagi. Kadang2 kami singkatkan namanya sebagai “KK”).

Semoga di masa akan datang saya dapat berjumpa kawan2 lama saya, sama ada yang saya kenal atau dah tak kenal, sama ada mereka masih kenal saya atau dah tak kenal saya. Kerana ianya adalah satu kebahagian.

Sementara itu saya akan terus berkenalan dengan kawan2 baru yang terjumpa.


Amin.


+++++++++++++++++++++++++++


Penerangan rengkas tentang rajah di atas:


Manusia dibahagikan kepada dua kumpulan yaitu yang Islam dan yang kafir.

Manusia kafir pula terdiri dari dua kumpulan yaitu kumpulan yang tidak tahu menahu langsung tentang Islam (kerana berada bersama orang kafir di mana ajaran Islam tak pernah mereka dengari) dan kumpulan yang tahu tentang ajaran Islam tetapi tidak mahu menjadi pengikut ugama Islam.

Mereka yang tahu tentang Islam kemudian belajar tentangnya dan memeluk agama Islam dikumpulkan ke dalam kumpulan Islam no. 7 atau 8 (Islam Pilihan tulin atau Islam Pilihan Ikutan).


Orang Islam pula dibahagikan kepada Islam baka kerana ibu bapa dan saudara mara mereka adalah orang Islam dan kepada orang Islam Pilihan kerana asalnya mereka bukan berugama Islam tetapi memeluk agama Islam ketika dewasa.

Orang Islam Baka terdiri daripada 4 kumpulan yaitu:

Kumpulan 3: Islam Tulin. Mereka ini adalah orang Islam yang sebenar yang menurut semua tuntutan dan kehendak Islam dan meninggalkan semua yang dilarang oleh Islam. Mereka sembahyang, berpuasa, membayar zakat, bersedekah dan jika mampu mereka menunaikan haji. Juga mereka mengerjakan lain-lain perkara yang wajib. Perkara yang sunat pun mereka lakukan. Mereka ini adalah calun ke syurga.

Kumpulan 4: Islam Ikutan. Menjadi orang Islam tapi secara ikutan tanpa ilmu yang mantap. Mereka beribadat mengikut orang.Mereka kalau rajin sembahyang mereka sembahyang kalau tidak ponteng. Ada yang tak pernah sembahyang langsung. Kebanyakan dari mereka tidak pernah atau kurang sangat belajar agama.

Kumpulan 5: Islam Adat. Mereka menjadikan Islam sebagai satu adat bukannya mereka beribadat. Mereka mengikut Islam dalam empat suasana/keadaan yaitu mereka pandai menyucap dan mengaku mereka Islam, mereka bersunat dan percaya manusia perlu bersunat, mereka bernikah secara Islam ketika mereka hendak berkahwin dan mereka menurut upacara Islam ketika mati. Yang lain tidak atau jika dibuat adalah secara ikutan adat dan minimal. Ramai daripada mereka yang tak sembahyang kecuali jika terpaksa.

Kumpulan 6: Islam Murtad. Kumpulan ini sebenarnya dah pun murtad. Secara mereta tahu atau tak tahu. Mereka ini percaya kepada kuasa lain selain daripada Allah dan memohon pertolongan kuasa ini. Akibatnya mereka syirik dan menjadi murtad. Ada juga diantara mereka tidak percaya kepada Islam dan murtad tanpa agama atau menganut agama lain.

Islam Pilihan pula terdiri dari dua kumpulan yaitu, kumpulan yang betul2 menganut agama Islam serta menurut segala kehendak agama Islam dan meninggalkan segala larangannya dan kumpulan yang menjadi Islam Ikutan atau Islam berdaftar yang tak mengikut agama Islam sepenuhnya dalam hidup mereka atau tidak mengukitnya langsung.

Pengasingan kepada kumpulan2 di atas adalah berdasarkan kepada keadaan di Malaysia dan dan sekelilingnya. Di negara lain mungkin berbeza.

Ini hanyalah tiori Yusuf, yang nampaknya ada benarnya. Tak salah kita membuat tiori, sekurang2nya kita menggunakan otak kita secara positif.


. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI