GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Friday, June 25, 2010

TERBACA DAN TERUS SAYA SIMPANKAN





Saya terbacanya di sebuah majalah dan terus masukkan ke sini. Sangat berfaedah isi kandungannya.

Dulu manusia simpan ilmu dalam kepala tetapi saya pula simpannya dalam alam maya. Mungkinkah ini ciri manusia yang malas?

Dan ramai pula manusia lain yang tak lagi mahu menyimpan ilmunya di kepala tetapi d
i dalam buku dsbnya.


a



















































Majalah ini bagus sebagai sumber ilmu di Khutub Khanah Keluarga.







Saturday, June 19, 2010

YANG KU KENAL


Akan ku senaraikan mereka yang ku kenali sehingga kini. Kerana mereka telah berjasa dan mempengaruhi kehidupanku. Inilah kenanganku.

___________________________________________
Changkat Petai:

Tumin

Pertama yang saya ingat ialah Tumin. Nama penuhnya saya tak ingat. Isterinya bernama Munah dan mempunyai dua orang anak, seorang bernama Ibrahim dan seorang lagi perempuan saya tak ingat namanya. Tumin mempunyai seorang anak angkat yang tinggal bersamanya, juga bernana Ibrahim.

Rumah mereka berhampiran dengan rumah saya, menumpang di tanah pusaka nenek saya yang diturunkan kepada ibu saya.

Rumah mereka sangat simple dibuat dari kayu dan buluh berdindingkan bertam berbumbungkan atap rumbia. Semuanya Tumin dirikan sendiri.

Tumin dan isterinya berasal dari tanah Jawa tetapi anaknya dilahirkan di sini. Kerja mereka ialah menoreh getah kepunyaan orang kampong dan lain2 kerja kampong.

Yang istimewa tentang Tumin ialah di telinganya sentiasa ada wang siling 10 sen diletakkan dilubang telinganya untuk digunakan membeli rokok daun jika ke kedai.

Walaupun bekerja menoreh getah dan kerja kampong kehidupan mereka senang juga kerana makanan di kampong adalah mewah. Sayur dan ikan tak perlu dibeli, mereka perlu menanam atau mencarinya sahaja. Beras pun ketika itu murah harganya, tetapi kebanyakan orang kampong menanam padi sendiri. Hanya mereka yang merantau dan tinggal di kampong perlu membeli beras, itu pun kalau mereka tiada tanah untuk dipajak memanan padi.

Setahu saya Tumin tidak bekerja keras untuk kehidupannya dan dengan itu beliau taklah begitu mewah dan berusaha menambahkan hartanya.

Keluarga Tumin berpindah dari kampong saya pada tahun lima puluhan. Sebab dan di mana mereka berpindah saya pun tak tahu kerana semasa itu saya budak2 lagi.

Kesan yang tinggal ialah pokok durian kami yang merengkeh (terbantut hidupnya) kerana berada di halaman rumah Tumin dan anaknya selalu menakuk batangnya dengan golok atau candung untuk bermain2. Mak saya pula tak pandai nak marahkan mereka, hanya berkata2 kepada kami anak2nya.

Tapi kami tak kesah sangat kerana banyak pokok durian lain di kampong tersebut. Tak larat nak makan pun banyaknya buahnya tatkala musim durian. Kalau dijual lima puluh sen sebiji kepada peraih durian Pak Usup, yang datang mengambil-belinya.


Wak Etok

Wak Etok juga tinggal menumpang di kawasan kampong saya. Beliau mempunyai seorang anak bujang Salleh namanya. Mereka juga berasal dari Jawa dan merantau mencari rezeki di kampong saya bekerja menoreh getah orang kampong dan menjalankan kerja kampong.

Mereka tinggal di belakang rumah kami di rumah yang dibena oleh ibu kami. Rumah tersebut adalah rumah kayu berlantaikan dan berdindingkan papan dan beratapkan rumbia.

Wak Etok rapat juga dengan ibu saya dan kalau ibu saya pergi ke pekan atau meninggalkan rumah lama sedikit (balik ke rumah di hari yang sama) ibu saya akan meninggalkan kakak sulung saya untuk tinggal bersama Wak Etok.

Kesannya, kakak saya kemudiannya tak boleh makan ikan keli. Sebabnya? Tatkala di rumah Wak Etok kakak saya telah melihat Wak Etok membunuh ikan keli untuk dijadikan lauk. Mungkin sebab kesihan atau takut melihat ikan tersebut dipukul bunuh kakak saya sejak itu terus menolak untuk memakan ikan keli.

Kehidupan Wak Etok tidaklah mewah kerana beliau sebatang kara bersama anaknya Salleh dan mungkin kederatnya dah kurang kerana beliau bukan muda lagi.

Tapi mereka tak kebuluran kerana makanan banyak di kampong kami. Hasil menoreh beliau dapat membeli beras dan untuk lauk beliau saban setiap petang akan mengail di kawasan berhampiran sawah kami. Berbagai ikan, terutamanya puyu dan berocat dan keli banyak di sawah tersebut. Berbagai jenis pucuk pula banyak di keliling kawasan rumah dan paya berhampiran. Kadang2 beliau mengail di telaga ikan orang kampong.

Keistemewaan Wak Etok ialah ia sangat ramah. Oleh sebab beliau juga pelatah maka ramai orang suka mencuitnya supaya beliau melatah.

Kehadirannya akan membuat mereka yang bersamanya ketawa berdekah2 melihat telatahnya bila beliau “diganggu”.

Di belakang rumah kediaman Wak Etok ada sebuah busut yang kami gunakan untuk bermain meriam tanah. Salleh lah hero bagi bermain meriam tanah bersama abang saya. Mereka berlawan main meriam dengan orang kampong lain sahut menyahut sehingga dekat masa untuk berbuka puasa (mereka bermain di bulan puasa sahaja).

Wak Etok dan Salleh juga berpindah keluar dari kampong kami pada tahun lima puluhan, dengar katanya ke kawasan Trong, Taiping.


Wak Kassan

Wak Kassan juga adalah dari kumpulan orang Jawa yang merantau meninggalkan Tanah Jawa untuk mencari rezeki di Malaya.

Wak Kassan tinggal bersama isteri dan anak perempuannya Mi, di tanah kebun getah Pak Imam Din, bersempadankan tanah kampong kami di Changkat Petai.

Wak Kassan tak boleh bekerja kerana matanya buta. Jadi isterinya yang bekerja menoreh di tanah orang kampong. Anaknya Mi, pernah berkahwin dengan Kassim yang tinggal di Kampong Langkor, tetapi berpisah kemudiannya.

Walau pun Wak Kassan buta beliau boleh pergi ke telaga kamii untuk mandi bersendirian. Tetapi ada kalanya beliau sesat dan apabila beliau sesat beliau akan berteriak memanggil nama saya atau saudara saya yang berada di rumah kami.

Selalunya beliau pergi mandi di perigi kami pada kira2 jam 3 petang. Jadi sejak itu kami stand-by untuk menolongnya jika ia sesat lagi. Entah kenapa mungkin kami kesihan dengannya dan tak mahu beliau sesat lagi. Jarak di antara rumahnya dan telaga kami ialah lebih kurang suku kilometer.

Walau pun Wak Kassim buta beliau saya rasa boleh melihat (walau pun kabur) warna. Saya berkata demikian kerana pada satu hari beliau telah bertanya kepada saya, tatkala berada di kawasan telaga kami, samaada saya memakai baju baru warna merah. Dan memang betul saya tatkala itu memakai baju warna merah.

Pak Kassan dan keluarganya juga berpindah ke Trong pada tahun lima puluhan.

Tetapi isterinya pernah bertandang ke rumah kami di Changkat Petai beberapa tahun selepas itu berjumpa dengan ibu saya. Ibu saya dan isterinya juga Mi anaknya memang berkawan rapat.

Selepas mereka berpindah, rumah yang mereka tinggalkan telah menjadi kem tempat saya dan abang saya menjaga kerbau.

Semasa padi sedang ditanam, kami terpaksa menambat kerbau supaya tak masuk ke sawah. Masa inilah kami akan membawa kerbau kami ke kebun Pak Imam Din untuk membiarnya makan rumput di sekitai rumah Pak Kassan. Sambil menjaga kerbau saya dan abang saya akan bermain batu seremban di atas rumah yang ditinggaklan oleh keluarga Pak Kassan.

Bersambung . . . . Likun.


Wednesday, June 16, 2010

KUASA MEMILIH


KITA YANG MEMILIH

g

(Perbincangan TV2 pagi Jun 14 2010)

Manusia punyai kuasa dan keupayaan untuk memilih. Tetapi perlu awas kerana setiap apa yang dipilih itu ada kesan dan pengaruhnya, ianya boleh membawa faedah atau mendatangkan bencana atau masaalah.

Jadi perlulah manusia membuat pilihan yang mendatangkan faedah dan yang bukan yang mendatangkan memudaratkan atau masaalah.

Misalnya, kita manusia, boleh memilih untuk memuji dan berkata baik serta yang sedap didengar. Sapertimana yang dicakapkan oleh tetamu di TV2 pagi tadi. Tetamu tersebut Dr Muhaiya Muhammad, telah memilih untuk memuji dan menggunakan kata penggalak kepada pengacara TV2 Yasmin, yang kelihatan ceria dan indah ketika kembali bertugas di TV2 selepas cuti bersalin. Kata awalnya ialah: “You look great today after your confinement”.

Ditambahnya lagi (maksudnya dalam bahasa Malaysia): “Ini kerana anda menjaga makanan dan anda membuat senaman”. Seorang lagi pengacara TV2, Steven, mencelah dan turut memberi pujian yang serupa.

Pilihan kata sebegitu menjadi peransang membawa kepada suasana pagi itu ceria dan selesa.

Mereka membuat pilihan untuk berkata yang sedap didengari oleh Yasmin yang baru kembali bekerja selepas cuti bersalin. Kata2 peransang ini membahagiakan semua orang dan ianya berjaya mengeluarkan “aura” yang menyeronokkan semua orang termasuk penonton TV pada pagi itu. Dan tentunya apa yang terkeluar dari mulut mereka perlulah iklas.

Pilihan kata yang baik adalah kuasa yang perkasa dan yang dapat mempengaruhi suasana persekitaran menjadi ianya selesa dan menyeronokkan. Ianya adalah pembuka jalan bagi kejayaan bersama.

Dengan lain perkataan kata2 yang indah dan sedap didengar mempengaruhi suasana menjadikannya indah dan seronok selesa.

Suasana sebeginilah yang perlu kita timbulkan setiap pagi sebaik sahaja kita bangun dari matinya kita. (Tidur itu diibaratkan sebagai mati kerana roh kita tatkala itu diangkat Allah dari badan kita. Jika roh tersebut dikembalikan ke badan kita kemudiannya maka terus hiduplah kita tatkala kita terjaga dan bangun. Jika tidak dikembalikan, maka teruslah kita tidur dan akan hanya terjaga ketika berada di alam kubur dan alam akhirat. Itulah sebabnya orang Islam disarankan berdoa sebelum tidur dan ketika bangun dari tidur. Yang belum berbuat perlulah mula berbuat demikian).

Adalah penting kita membuat pilihan kita sebaik sahaja kita terjaga dan bangun dari tidur kita saban hari. Pilihan pertama ialah memilih untuk bersyukur kerana masih mampu hidup dan mempunyai kesihatan yang baik. Jika kurang sihat maka berusahalah berjumpa doktor, misalnya. Bersyukurlah juga kerana seisi rumah masih hidup dan segalanya selamat (kereta tak hilang, tiada mala petaka berlaku semasa tidor dan sebagainya).

Saban hari jaga kita, kita juga perlu terus membuat pilihan. Pilih nak makan apa, misalnya. Tentulah memilih makanan yang halal dan berkhasiat dan tidak mendatangkan mudharat kepada badan kita. Ramai juga diantara kita yang memilih makan racun atau makanan yang tidak diperlukan oleh badan kita, akibatnya kita akan merana di masa akan datang apabila kita sempat untuk tua.

Kemudian kita pilih untuk merancang kegiatan harian kita seterusnya, dan bertindak melaksanakan apa yang dirancangkan itu. Semua pilihan tersebut perlulah pilihan yang mendatangkan manafaat bukan mudharat.

Janganlah pula kita memilih untuk memikirkan perkara yang merunsingkan kita atau bertindak untuk untuk mendatangkan suasana yang muram dan tak tenteram. Misalnya janganlah kita mula berfikir tentang masaalah yang akan kita hadapi. Belum tentu ianya adalah suatu masaalah. Mungkin ianya adalah satu cabaran atau ransangan jika kita berubah cara kita berfikir. Sebenarnya masaalah ialah ransangan dan cabaran untuk kita membaiki diri kita, bukannya satu tekanan yang akan memusnahkan kita. Al Quran juga menyakatan demikian kerana katanya: "Jangan sangka manusia tidak akan diuji."

Memikirkan ianya adalah satu masaalah mungkin akan membuat kita murung. Tetapi berfikir ianya adalah satu cabaran dan ujian akan meningkatkan semangat kita. Memilih berfikir secara demikian (bersikap dan bertindak positif) akan mendatangkan semangat kepada kita. Dan semangat mempunyai kuasa yang tidak terbatas.

Segala pilihan yang kita buat mempengaruhi keadaan fisikal kita, keadaan mental kita, keadaan kerohanian kita dan keadaan kewangan kita. Ianya juga akan mempengaruhi manusia lain dan alam sekitar kita. Jadi perlulah kita membuat pilihan yang menguntungkan.

Ada kalanya pilihan yang kita buat mendatangkan sesalan di hari kemudian. Sesalan mungkin akan hanya dirasai misalnya, apabila orang yang kita sayangi meninggalkan kita. Tatkala itu mungkin kita akan menyesal tidak melakukan perkara yang baik untuknya semasa ianya hidup. Mungkin kita selalu mendatangkan masaalah atau bergaduh dengannya dan tak bertegur sapa. Tetapi sesalan sebegitu tak dapat diperbaiki lagi.

Dengan itu perlulah kita membuat pilihan yang baik supaya kita tak akan menyesal tidak berbuat demikian. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terimalah padahnya. Terlajak perbuatan? Menyesal tidak berguna. Pendek kata kalau kita berbuat baik kemungkinan kita menyesal di masa akan datang sangatlah tipis.

Maka buatlah pilihan yang membawa faedah, bukan untuk kita seorang, tetapi untuk semua makluk sedunia (Sekarang kena fikir secara "global", walaupun kita dah tertinggal ianya masih tidaklah terlambat sangat lagi).

Membuat pilihan yang baik medatangkan kegembiraan, semangat jaya serta menjanakan perasan emosi yang meriangkan. Juga menghasilkan keyakinan diri.

Memilih teman hidup juga adalah suatu cabaran kerana kalau salah pilih akan menyebabkan masaalah emosi. Tapi kadangkala permata di hadapan kita kita tak nampak kerana ianya dikaburi oleh nafsu dan prejudis. Kadangkala pula kita salah anggap dan mahukan orang lain berperangai sapertimana yang kita mahukan sahaja, walhal perbagaian itu adalah suatu nikmat yang tak ternilai. Selalu juga kita nampak kesalahan yang kecil dan membesarkannya, walhal kebaikan yang banyak yang kita perolihi tak kita fikirkan. Ini namanya tamak dan ianya adalah kuman kehidupan. Tetapi memilih untuk tidak memperbaiki keadaan kita dan mengikut emosi nafsu mungkin akan mengundang masaalah bukan membaiki masaalah. Ikut hati mati, ikut nafsu lesu. Jadi buatlah pilihan yang tepat faedahnya.

Perasaan manusia adalah seakan orang yang rabun dan keciwa kerana rabunnya. Walhal sepatutnya walau pun rabun sekali pun, ia perlu bersyukur kerana sekurangnya ia dapat melihat. Sepatutnya ia perlu bertindak membaiki keadaan rabunnya. Tak perlu ia bersedih merana kerana rabunnya tetapi perlu bertindak membaiki keadaannya. Kerana Allah hanya menolong mereka yang berusaha menolong dirinya sendiri. Kesedihan akan menganggu emosi dan mendatang berbagai penyakit, yang ada kalanya tak dapat dikesan oleh doktor.

Pilihlah untuk berbelanja. Ianya membantu manusia lain memperolihi rezeki:

1. Tatkala di LRT atau stesen bas tak perlu suruh keluarga di rumah kita datang menjemput kita untuk kita pulang ke rumah. Naiklah teksi atau bas kerana wang tambang yang kita bayar menaikinya akan digunakan untuk menyara kehidupan pemandu teksi atau bas tersebut.

2. Tatkala membeli barangan janganlah terlalu sangat tawar menawar. Bayarlah sahaja apa yang patut kerana keuntungan penjual akan digunakannya menyara kehidupannya, termasuk untuk ahli keluarganya. Jika mereka mendapat untung walaupun sedikit, mereka akan berbelanja dan masyarakat termasuk kita akan akan mendapat faedah darinya juga.

Kita akan dapat balik apa yang kita beri dan kita belanjakan, tetapi dalam bentuk lain yang kita tak sedari. Jika lebih ramai yang dapat menyara kehidupan mereka dengan agak selesa maka masyarakat akan menjadi aman bahagia dan keadaan jenayah mungkin akan berkurangan.

Konsep sebegini ada dalam amalan memberi zakat dan sedekah di mana manusia berada menolong mereka yang miskin kekurangan harta benda dan yang susah.

Tamat _______________________________________________

Monday, June 14, 2010

KESEIMBANGAN MANUSIA

TUBUH AKAL HATI dan SEMANGAT

(Petikan perbincangan TV2 Pagi Isnin Jun 14, 2010)


Kebanyakan manusia berusaha untuk memperolehi perkembangan dan keseimbangan tubuh badan dan akal fikiran mereka. Mereka mahukan badan yang sihat dan kuat serta yang berfungsi dengan sebaiknya. Mereka juga mahukan akal pemikiran mereka berada di dalam keadaan waras dan berguna menghadapi kehidupan harian.

Tubuh badan yang seimbang dan perkasa dapat diperolihi dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang diperlukan bagi menghalang ianya dihinggapi penyakit dan menjadikannya kurang upaya.

Akal pemikiran yang sihat dan berguna diperolihi secara mengharungi pengalaman dan menimba ilmu pelajaran, dan menggunakannya setanding dan serasi dengan keadaan sekeliling.

Tubuh badan tidak dapat bertindak secara bersendirian kerana ianya merupakan “hardware” atau mesin yang memerlukan panduan dan arahan atau galakkan untuknya melakukan sesuatu. Ia diibaratkan sebagai jana kuasa yang boleh bekerja tetapi memerlukan arahan atau suasana keadaan yang membolehkannya melakukan sesuatu kerja. Akal fikiranlah yang berupaya berbuat sedemikian.

Jika manusia nak makan nasi bariani misalnya, badan akan bertindak mencari bariani tersebut secara pergi ke kedai bariani dan membelinya. Atau memesannya dan memakannya di kedai tersebut jika itulah yang dihajati oleh akal fikiran. Segala yang dihajati oleh akal fikiran akan diusahakan dan ditunaikan oleh anggota badan dengan motonya: “saya yang menurut perentah” atau “sebagai diarahkan . . . . . . .” (bunyi macam surat resmi pagawai kerajaan pulak).

Tanpa akal fikiran, tubuh badan tak dapat melakukan sesuatu kegiatan yang rasional, ibaratkan sebagai orang kurang waras yang melakukan sesuatu tanpa berfikir.

Akal fikiran pula perlu dikawal oleh sesuatu supaya ianya tidak melakukan perkara yang tidak berfaedah atau yang akan merosakkan. Misalnya, kalau dibiarkan akal fikiran melakukan sesuatu tanpa had, maka ia akan bertindak diluar sempadan tamadun manusia. Misalnya, dengan kebijaksanaannya ia akan melakukan perkara yang tidak baik saperti merancang untuk merompak, menipu dan sebagainya.

Akan jadilah ianya saperti Qarun atau Firaun atau kaum Thamud atau Aad yang akhirnya dimusnahkan kerana sikap mereka sendiri.

Yang dapat mengawal akal fikiran supaya bertindak secara yang baik ialah hati. Hati berupaya membuat pertimbangan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Seorang yang melakukan jenayah tahu yang perkara yang dilakukannya adalah salah tetapi terus akan melakukannya akibat rasional fikirannya. “Kalau tak dilakukan aku tak akan dapat makan”.

Rengkasnya: Akal fikiran mengawal tubuh badan dan hati mengawal akal fikiran (kecuali jika akal fikiran memberontak nak lakukan sebaliknya).

Terdapat satu lagi kuasa yang sangat penting dalam hubung kait tubuh badan, akal fikiran dan hati ini. Ianya ialah semangat.

Tanpa semangat segalanya akan menjadi lemah dan tak bermaya. Banyak cerita kita dengar tentang manusia yang dapat melakukan sesuatu diluar kederat atau kekuasaan fisikalnya hanya dengan kehadiran semangat yang datang serta merta. dan tanpa diduga. Contohnya: Semasa Tsunami di Acheh dulu seorang ibu dapat mengangkat konkret yang menimpa anaknya bagi menyelamatkan anaknya dari mati. Ia pun tak tahu bagaimana ia dapat berbuat demikian tatkala itu, kerana konkret tersebut hanyalah boleh diangkat oleh tiga atau empat orang yang gagah kuat. Kuasanya mengangkat konkret tersebut datangannya dari semangat.

Rengkasnya, terdapatlah gabungan empat unsur yaitu tubuh badan, akal fikiran, hati dan semangat yang menjadikan manusia seimbang. Tanpa keempat2nya mungkin manusia akan pincang.


Tubuh badan boleh menggambarkan keadaan mental seseorang itu. Kita akan tahu dengan melihat wajahnya sama ada dia stress atau bahagia atau dukacita. Cubalah lihat perawakan mereka yang menaiki bas, LRT atau yang berada di tempat awam dan perhatikan jiwa mereka. Melalui pemerhatian dan pengalaman kita boleh tahu keadaan jiwa mereka.

Tubuh badan hanya menurut kehendak akal fikiran. Kalau akal fikiran bersikap positif maka tubuh badan akan melakukan perkara yang positif.

Akal fikiran mengawal tubuh badan untuk bertindak. Akal fikiran belajar melalui pengalaman. Ianya perlu dikawal supaya sentiasa berfikir yang positif dan yang mendatangkan faedah. Jika tidak ia berupaya menyalah gunakan pengalaman dan ilmu yang dipelajarinya dengan melalukan penipuan, merancang perkara yang tak baik dan seterusnya. Hanya mereka yang pandai berjaya melakukan penipuan dan kerosakan tanpa dikesan.

Akal fikiran boleh mengalihkan fokus. Seorang yang sedih dapat meninggalkan suasana sedihnya dengan memfokus dan/atau merancang perkara tindakan yang positif bagi mengatasi masaalah yang menimpanya. Kesedihannya dapat dilupakannya dan digantikan dengan kebahagian. Ini adalah salah satu peranan akal fikiran.

Memikirkan kesedihan atau apa2 perkara yang negatif jika teruskan akan membawa kepada kerosakan dan akal fikiran dapat berusaha mengatasinya dan hasilnya akan membawa kepada kebahagiaan.

Akal fikiran juga dapat menolong kita melupakan perkara yang lepas yang tak dapat diperbaiki keadaannya itu (dah terlambat nak patah balik). Akal fikiran juga yang dapat menghalang manusia dari terlalu memikirkan rintangan masa depan dan menjadi lemah semangat dan takut menghadapt masa depan. Dan akal fikiran jugalah yang dapat merancang dan bertindak memperbaiki diri semasa (live). Jadi tak perlu ungkitkan yang lepas, tak perlu takutkan keadaan akan datang, tetapi bertindaklah sekarang kerana sekarang dalam kekuasaan dan genggaman kita untuk bertindak sewajarnya.

Hati adalah perasaan dan emosi. Hati yang baik akan menjana akal fikiran yang baik dan tindakan tubuh badan yang mendatangkan kebaikan. Hati mengetahui apa yang baik dan apa yang tak baik.

Semangat pula adalah kuasa yang luar biasa kuatnya. Tanpa semangat segalanya akan menjadi lemah dan pudar. Dengan semangat segalanya akan menjadi ceria dan bertenaga.


+++++++++++++++++++++++++++++++

Tukar topik. Menukar topik atau menukar fikiran banyak kebaikannya. Berusahalah menukar segala yang negatif kepada perkara yang positif. Ini pernah saya buat pada (arwah) bos saya yang selalu marah2. Bila dapat ditukarkan topik perbincangan maka kemarahannya akan hilang dan beliau seronok membincangkan topik yang baru diperkenalkan. Masaalahnya ialah supaya topik baru perlu menimbulkan minatnya. Saya pernah suruh kawan saya Nuruddin Aali, cuba berbuat demikian dan dikatakannya ia juga pernah berjaya mengalihkan pandangan bos yang sama dan melupakan kemarahannya. Walaupun demikian kami hormat dan sayangkannya kerana beliau berprinsip orangnya dan banyak menolong kami.

Perkara yang negatif jika difikirkan secara berpanjangan akan merosakkan jiwa dan mengkusutkan fikiran dan boleh menyebabkan gangguan mental. Perubahan ini (negatif ke positif) dapat dilakukan secara sendiri atau dengan pertolongan sahabat handai atau saudara mara yang prihatin.

Kawan keliling. Ada yang mendatangkan kerosakan dan ada yang membaiki diri kita. Jauhilah mereka yang berfikiran negatif dan dampingilah mereka yang bersemangat dan bersikap positif. Jika mampu bantulah mereka supaya mereka mempunyai sikap positif.

Berusahalah ke arah yang terbaik dan bertawakkal. Tuliskanlah segala kejayaan dan niat kehendak kita supaya kita dapat membaca dan menikirkannya selalu. Dan bertindaklah supaya ianya menjadi kenyataan di masa hadapan, InshaAllah.

Nafsu? - Kuasanya tidak diperbincangkan.

TAMAT (diubahsuaikan untuk blog ini)

0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 00 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0 0

Wednesday, June 9, 2010

MERAYAU


MERAYAU TANPA PESAN

MELESAP


Salah satu hobi saya sejak kecil lagi ialah merayau. Tugas saya sebagai seorang juru audit satu ketika dahulu pula telah membantu saya untuk lebih banyak merayau dengan kos yang sangat minimal. Mana taknya; kos makan, tempat tinggal dan pengangkutan dibayar oleh majikan saya.

Di waktu membuat tugas audit saya bertugas saperti biasa. Tetapi di waktu cuti hujung minggu saya merayau kalau pun tak jauh mengembara, saya berjalan kaki di sekitar bandar yang saya tinggal itu. Puas juga saya merayau di Sibu, K. Kinabalu, J. Baru, Singapore, Pontian, Kuantan, Kota Bharu, Keratong, Segamat, Muar, Sungai Petani dan lain2 bandar di negara kita. Negeri yang saya tak pergi hanyalah Indra Kayangan.

Juga di Bangkok, Hong Kong, Paris, London, Washington, Richmond dan San Francisco. Dan nyaris saya tak merayau di Tehran kerana pada saat akhir bos saya menghantar orang lain.

Sayani memang kaki rayau sejak kecil lagi.

Semasa kecil dahulu kadang2 saya merayau pergi ke rumah Pah saya dan tidor di rumahnya tanpa memberitahu keluarga saya.

Pada ketika itu kawan saya Ali mengajak saya pergi ke rumah Pah saya di Kampong Geliong. Ali nak pergi ke rumah toknya (Maarof) di kampong sebelahnya (Teratai) tapi kami bercadang tidor di rumah Pah saya.

Saya pun ikut Ali pergi tanpa balik ke rumah memberi tahu keluarga saya.

Mengalabah juga keluarga saya bila saya tak balik pada malamnya. Tetapi mereka ada sistem untuk mengesan ke mana saya pergi. Mereka hanya bertanya saudara mara di kampung saya dan rahsia pemergian saya dengan Ali ke Geliong dapat mereka kesan dalam sekejap masa sahaja. Sistem jaringan (networking) kampong saya tatkala itu sangatlah bagus.

Mereka hanya tanya orang kampong samaada mereka nampak saya pada siang hari tadi dan saya bersama siapa? Dengan bertanya sedemikian, orang kampung akan memberi tahu saya berada di mana dan dengan siapa. Terbongkarlah pemergian saya ke Geliong tanpa kelulusan keluarga saya.

Bila saya dan Ali sampai ke rumah Pah saya dan bila Pah saya tanya sama ada keluarga saya tahu saya nak tidor di rumahnya, saya akan menipu Pah saya menyatakan yang mereka membenarkan saya tidor di rumahnya. Kalau saya cakap benar sudah tentu Pah saya suruh saya balik (Itulah dalam fikiran saya. Sabenarnya Pah saya boleh hantar “message” melalui orang kampung, kepada keluarga saya yang saya berada bersamanya dan akan tidor di rumahnya).

Yang peliknya pula, ayah dan mak saya tak marahkan saya bila saya pulang ke rumah keesokannya. Pah saya pula akan berikan saya beberapa puluh sen sebagai belanja (lima sen pun pada masa itu boleh beli kacang goreng untuk dimakan sepanjang jalan dua batu di antara rumah Pah saya dan rumah saya).

Di masa yang lain saya merayau ke kampong Langkor mengikuti Jamil sebaik sahaja kami selesai sekolah. Jamil mengikuti ayahnya yang ada urusan di Langkor. Saya ikut mereka tanpa memberi tahu keluarga saya atau berpesan kepada sesiapa pun yang saya nak ikut Jamil ke Langkor (2 batu jauhnya dari sekolah kami). Bapa Jamil, Yang Jambu pula tak menghalang saya mengikutinya.

Sekali lagi keluarga saya cuba mengesan di mana saya telah merayau selepas sekolah tanpa balik ke rumah. Sampai ke kedai kampung saya rahsia saya pergi ke Langkor dengan Jamil dan ayahnya dapat ayah saya kesan. Ayah saya tak ikut kami ke Langkor tapi hanya balik ke rumah, mungkin kerana dah tahu yang saya selamat bersama Jamil dan ayahnya.

Petangnya saya balik dan yang peliknya orang tua saya tak memarahi saya pun kerana tak memberitahu mereka di mana saya pergi selepas tamat sekolah hari itu.

Itulah hobi saya. Kaki rayau.

Sekarang juga saya masih merayau tetapi di kawasan perumahan saya dan sekitarnya dengan berjalan kaki. Dulu saya ada basikal tetapi sejak dicuri orang saya tak pun membeli yang baru. Berjalan kaki lebih baik kerana saya dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan badan.

Kalau ada peluang dan ada member saya tak akan lepaskan peluang merayau disekitar bandar2 di Semenanjung. Saya dan Yusuf Kampung Baru ada membuat rancangan merayau tapi dah dua tahun pun kami belum bertindak mengotakan rancangan tersebut.

TAMAT . . . . . . .

********************************************************

Sunday, June 6, 2010

KHENDURI LAGI

BALIK KAMPUNG


Hari Sabtu lepas (100605) saya balik kampung lagi. Pergi khenduri Din menyambut menantu. Namanya “Din” rengkas sahaja kerana menurut cerita dari abangnya Zamri, datuknya (Tok Menjah) menamakannya hanya “Din bin Itam Manas”.

Sekali lagi saya balik kampung dengan Yusuf Kampung Baru, menaiki keretanya. Bertolak jam 8 pagi dan sampai di Lubuk jam 12 lebih sedikit.

Rumah Din terletak bersebelahan jejantas Highway di pekan Lubuk sebelah dengan rumah Jala Chegu Anjang (Jalal Yunus) yang kami hadir khendurinya pada November dua tahun lepas. Lihat "TERSESAT JALAN"

Khendurinya meriah dan kami terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan sebab ramai yang hadir masa itu. Dan saya dan Yusuf terpaksa duduk dekat rumah abang Din, Ali dan tidak di bawah khemah. Rumah tersebut asalnya ialah rumah arwah Pak Isa/Wan Midah mertua Ali. Saya pernah tinggal dirumah arwah Pak Isa/Wan Midah di Taiping semasa saya belajar di St Georges Taiping pada tahun 1968.

Tetapi di situ lebih elok bagi kami kerana semua sedara yang kebanyakan saya tahu tapi saya dah tak kenal berada di situ. Di antaranya ialah Hajar Wandak (kami selalu jumpa semasa kecil dahulu kerana Hajar selalu pergi ke Changkat Petai ke kampung dusunnyanya disebelah kampung rumah saya. Semasa saya balik ke Changkat petai pula saya melalui rumahnya dan bertegur sapa jika berjumpa. Emaknya, Wandak pernah menolong saya memadamkan api yang membakar rumah padi kami semasa saya budak2 dulu. Kalaulah Wandak tak tolong tentulah habis rumah padi kami terbakar hangus. Yang terbakar hanya sebahagian atap rumah sahaja (atap rumbia). Yang bersalah ialah saya dan adik saya yang main mancis tatkala itu. Masa itu mak saya tak ada di rumah. Nasib baik saya tak kena hampuk apabila mak saya pulang. Ini ialah salah satu kelebihan mak saya, penyabar agaknya).

Sekarang Hajar dah pun bercucu.

(Rumah padi digunakan untuk menyimpan stok setahun padi untuk kami makan sekeluarga. Kalau hasil padi melebihi keperluan setahun kami akan menjual lebihannya. Ini bermakna kami tak perlu beli beras untuk makanan kami tatkala padi kami tanam sekali setahun. Kemudian padi ditanam dua kali setahun dan stok padi kami pula kami simpan untuk bekalan setengah tahun. Macam Mat Salleh juga nampaknya. Tetapi mereka menyimpan gandum dalam bangunan yang dinamakan "Silos" kalau tak salah. Dan kalau tak salah juga kami namakan rumah padi kami "beremban". Mat Salleh, ladang tanaman mereka sangatlah luas tak macam kami yang lebih kurang satu ekar sahaja, tetapi memadai untuk menyuap makan keluarga kami seramai dua belas orang).

Diantara saudara lain yang saya temui ialah Teh, Ali dan Zamri (adik dan abang Din), Chegu Zubir, Tek (Zahari yang pernah duduk dengan saya di Kota Bharu Dulu), Brahim Mak Mat Di, dll. Teh tinggal di Balakong dan beliaulah yang menjadi ajen Din bagi menjemput semua saudara mara kami yang tinggal di KL untuk datang menghadiri khenduri Din abangnya itu. Termasuklah saya yang kena colek. (Colek adalah istilah setempat yang kami gunakan jika kami dijemput datang khenduri. Kalau tak dijemput kami akan kata yang kami tak kena colek. Perkataan ini mungkin asalnya dari perkataan "colek" (disentuh-tangkap) dalam mainan "colek2" yang kami main semasa kecil2 dulu.*

Kami tak lama di rumah Din kerana Yusuf terpaksa ke Ipoh ada urusan di sana. Saya pun berjalan kaki ke rumah adik saya di seberang jalan (lebih kurang 400 meter jauhnya) untuk berehat.

Kami bercadang untuk balik ke KL pada pagi Ahad selepas Yusuf selesai membersihkan kawasan kampungnya (yang tertiggal) di Tanah Merah. Tetapi terpaksa kami tunda jadual tersebut apabila mendapat berita di awal pagi yang Pak Yusup telah meninggal kena langgar motor. Dapatlah kami menziarah keluarga arwah di Tanah Merah. Pada jam 1.30 tengah hari barulah kami bertolak balik ke KL dan sampai KL jam 4.30 petang. Tolnya RM60 pergi balik. Minyak masuk RM50 di Hentian Simpang Pulai dan RM46.70 lagi di Hentian Sungai Perak.

Bagus juga saya dapat pergi ke rumah arwah Pak Yusup kerana boleh berjumpa banyak lagi saudara mara yang lama tak jumpa dan yang saya tak kenal lagi. Di antaranya yang saya bertemu ialah Kak Maznum (anak sulung arwah) yang dah lebih 40 tahun saya tak jumpa. Kali akhir saya bertemunya ialah pada tahun 1965 sebelum beliau memasuki kursus kejururawatan. Sampailah beliau pencen kami tak berjumpa. Dahulu kami naik bas sekolah bersama semasa saya Form One (1963) dan beliau Tingkatan Empat. Sekarang dah bercucu pun.

Yang saya tak dapat berjumpa pada hari itu ialah Wan Peah (mak saudara saya dan seorang lagi kawan rapat mak saya) yang tiada di rumahnya (jiran arwah Pak Yusup) semasa saya sampai di situ. Cucunya yang berada di rumahnya pun tak tau di mana beliau pergi.

Malang juga saya pada hari itu kerana kamera saya tak dapat berfungsi kerana kadnya saya tertinggal dalam komputer saya di rumah. Bercakaplah kamera saya, katanya: “out of memory”. Saya mendengarnya menggunakan mata saya. Ini entah kali keberapa kamera saya berkata demikian kerana saya dah banyak kali terlupa memulangkan kadnya balik ke slot kamera saya. Maklumlah ini, kata doktor ialah satu dari proses penuaan. Atau adakah saya tak berhati-hati?

TAMAT.

************************************************************************************************
Changkat Petai dilihat dari jalan raya Lubuk-Beluru. Sawahnya baru lepas dituai padinya.









Main colek2
Main kejar mengejar. Seorang mengejar sesiapa yang dipilihnya untuk dikejarnya, yang lain berlari menjauhi diri dari orang yang mengejar. Jika orang yang mengejar berjaya menyentuh (mencoleknya dengan tangan) kawannya yang dikejarnya itu maka orang yang kena colek itu akan menggantinya mengejar kawan2 yang lain. Siapa yang kena colek akan mengejar dan mencolek kawan2 yang lain. Ini berlaku berterusan sehingga kami penat atau cukup masa untuk berehat.

Siapa yang hendak berehat atau berhenti sementara akan perlu menjerit "chop" bermaksud ia nak berhenti bermain atau ia "keluar padang" tetapi orang lain akan meneruskan permainan tersebut. Bila ia nak masuk main semula, ia perlu bagi tahu dengan berkata "masuk balik" atau perkataan seumpamanya.

Colek = sentuh. Main Colek2 = main sentuh2, yang kena sentuh akan mengejar dan mencolek.

Colek untuk khenduri ialah jemputan atau dijemput untuk datang ke khenduri yang akan diadakan. Tak kena colek maksudnya tak dijemput untuk khenduri tersebut.

Saya suka juga gunakan perkataan "tak kena colek" bila diajak kawan2 untuk pergi makan khenduri sekarang ini pun. Kalau saya tak dijemput oleh mereka yang mengadakan khenduri itu saya akan berkata "Saya tak kena colek" dan yang mendengarnya sudah tentu tak faham apa yang saya katakan. Kemudian saya akan jelaskan maksudnya yang saya tidak dijemput.

Dan kalau saya dijemput, saya akan berkata pula yang "kita ini semua kena colek. Bolehlah kita pergi bersama2".

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI