GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Saturday, June 19, 2010

YANG KU KENAL


Akan ku senaraikan mereka yang ku kenali sehingga kini. Kerana mereka telah berjasa dan mempengaruhi kehidupanku. Inilah kenanganku.

___________________________________________
Changkat Petai:

Tumin

Pertama yang saya ingat ialah Tumin. Nama penuhnya saya tak ingat. Isterinya bernama Munah dan mempunyai dua orang anak, seorang bernama Ibrahim dan seorang lagi perempuan saya tak ingat namanya. Tumin mempunyai seorang anak angkat yang tinggal bersamanya, juga bernana Ibrahim.

Rumah mereka berhampiran dengan rumah saya, menumpang di tanah pusaka nenek saya yang diturunkan kepada ibu saya.

Rumah mereka sangat simple dibuat dari kayu dan buluh berdindingkan bertam berbumbungkan atap rumbia. Semuanya Tumin dirikan sendiri.

Tumin dan isterinya berasal dari tanah Jawa tetapi anaknya dilahirkan di sini. Kerja mereka ialah menoreh getah kepunyaan orang kampong dan lain2 kerja kampong.

Yang istimewa tentang Tumin ialah di telinganya sentiasa ada wang siling 10 sen diletakkan dilubang telinganya untuk digunakan membeli rokok daun jika ke kedai.

Walaupun bekerja menoreh getah dan kerja kampong kehidupan mereka senang juga kerana makanan di kampong adalah mewah. Sayur dan ikan tak perlu dibeli, mereka perlu menanam atau mencarinya sahaja. Beras pun ketika itu murah harganya, tetapi kebanyakan orang kampong menanam padi sendiri. Hanya mereka yang merantau dan tinggal di kampong perlu membeli beras, itu pun kalau mereka tiada tanah untuk dipajak memanan padi.

Setahu saya Tumin tidak bekerja keras untuk kehidupannya dan dengan itu beliau taklah begitu mewah dan berusaha menambahkan hartanya.

Keluarga Tumin berpindah dari kampong saya pada tahun lima puluhan. Sebab dan di mana mereka berpindah saya pun tak tahu kerana semasa itu saya budak2 lagi.

Kesan yang tinggal ialah pokok durian kami yang merengkeh (terbantut hidupnya) kerana berada di halaman rumah Tumin dan anaknya selalu menakuk batangnya dengan golok atau candung untuk bermain2. Mak saya pula tak pandai nak marahkan mereka, hanya berkata2 kepada kami anak2nya.

Tapi kami tak kesah sangat kerana banyak pokok durian lain di kampong tersebut. Tak larat nak makan pun banyaknya buahnya tatkala musim durian. Kalau dijual lima puluh sen sebiji kepada peraih durian Pak Usup, yang datang mengambil-belinya.


Wak Etok

Wak Etok juga tinggal menumpang di kawasan kampong saya. Beliau mempunyai seorang anak bujang Salleh namanya. Mereka juga berasal dari Jawa dan merantau mencari rezeki di kampong saya bekerja menoreh getah orang kampong dan menjalankan kerja kampong.

Mereka tinggal di belakang rumah kami di rumah yang dibena oleh ibu kami. Rumah tersebut adalah rumah kayu berlantaikan dan berdindingkan papan dan beratapkan rumbia.

Wak Etok rapat juga dengan ibu saya dan kalau ibu saya pergi ke pekan atau meninggalkan rumah lama sedikit (balik ke rumah di hari yang sama) ibu saya akan meninggalkan kakak sulung saya untuk tinggal bersama Wak Etok.

Kesannya, kakak saya kemudiannya tak boleh makan ikan keli. Sebabnya? Tatkala di rumah Wak Etok kakak saya telah melihat Wak Etok membunuh ikan keli untuk dijadikan lauk. Mungkin sebab kesihan atau takut melihat ikan tersebut dipukul bunuh kakak saya sejak itu terus menolak untuk memakan ikan keli.

Kehidupan Wak Etok tidaklah mewah kerana beliau sebatang kara bersama anaknya Salleh dan mungkin kederatnya dah kurang kerana beliau bukan muda lagi.

Tapi mereka tak kebuluran kerana makanan banyak di kampong kami. Hasil menoreh beliau dapat membeli beras dan untuk lauk beliau saban setiap petang akan mengail di kawasan berhampiran sawah kami. Berbagai ikan, terutamanya puyu dan berocat dan keli banyak di sawah tersebut. Berbagai jenis pucuk pula banyak di keliling kawasan rumah dan paya berhampiran. Kadang2 beliau mengail di telaga ikan orang kampong.

Keistemewaan Wak Etok ialah ia sangat ramah. Oleh sebab beliau juga pelatah maka ramai orang suka mencuitnya supaya beliau melatah.

Kehadirannya akan membuat mereka yang bersamanya ketawa berdekah2 melihat telatahnya bila beliau “diganggu”.

Di belakang rumah kediaman Wak Etok ada sebuah busut yang kami gunakan untuk bermain meriam tanah. Salleh lah hero bagi bermain meriam tanah bersama abang saya. Mereka berlawan main meriam dengan orang kampong lain sahut menyahut sehingga dekat masa untuk berbuka puasa (mereka bermain di bulan puasa sahaja).

Wak Etok dan Salleh juga berpindah keluar dari kampong kami pada tahun lima puluhan, dengar katanya ke kawasan Trong, Taiping.


Wak Kassan

Wak Kassan juga adalah dari kumpulan orang Jawa yang merantau meninggalkan Tanah Jawa untuk mencari rezeki di Malaya.

Wak Kassan tinggal bersama isteri dan anak perempuannya Mi, di tanah kebun getah Pak Imam Din, bersempadankan tanah kampong kami di Changkat Petai.

Wak Kassan tak boleh bekerja kerana matanya buta. Jadi isterinya yang bekerja menoreh di tanah orang kampong. Anaknya Mi, pernah berkahwin dengan Kassim yang tinggal di Kampong Langkor, tetapi berpisah kemudiannya.

Walau pun Wak Kassan buta beliau boleh pergi ke telaga kamii untuk mandi bersendirian. Tetapi ada kalanya beliau sesat dan apabila beliau sesat beliau akan berteriak memanggil nama saya atau saudara saya yang berada di rumah kami.

Selalunya beliau pergi mandi di perigi kami pada kira2 jam 3 petang. Jadi sejak itu kami stand-by untuk menolongnya jika ia sesat lagi. Entah kenapa mungkin kami kesihan dengannya dan tak mahu beliau sesat lagi. Jarak di antara rumahnya dan telaga kami ialah lebih kurang suku kilometer.

Walau pun Wak Kassim buta beliau saya rasa boleh melihat (walau pun kabur) warna. Saya berkata demikian kerana pada satu hari beliau telah bertanya kepada saya, tatkala berada di kawasan telaga kami, samaada saya memakai baju baru warna merah. Dan memang betul saya tatkala itu memakai baju warna merah.

Pak Kassan dan keluarganya juga berpindah ke Trong pada tahun lima puluhan.

Tetapi isterinya pernah bertandang ke rumah kami di Changkat Petai beberapa tahun selepas itu berjumpa dengan ibu saya. Ibu saya dan isterinya juga Mi anaknya memang berkawan rapat.

Selepas mereka berpindah, rumah yang mereka tinggalkan telah menjadi kem tempat saya dan abang saya menjaga kerbau.

Semasa padi sedang ditanam, kami terpaksa menambat kerbau supaya tak masuk ke sawah. Masa inilah kami akan membawa kerbau kami ke kebun Pak Imam Din untuk membiarnya makan rumput di sekitai rumah Pak Kassan. Sambil menjaga kerbau saya dan abang saya akan bermain batu seremban di atas rumah yang ditinggaklan oleh keluarga Pak Kassan.

Bersambung . . . . Likun.


No comments:

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI