GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Sunday, August 15, 2010

BULAN PUASA

BERBUKA BERPUASA

Di bulan puasa ini bertambah aktiflah suasana di surau kami. Terutamanya sebelum maghrib sehinggalah jam 11.00 malam.

Keadaan di surau atau masjid lain pun begitu juga malah ada yang lebih aktif dari surau kami.

Dulu beberapa tahun lepas, kami ada gang rayau yang bergerak ke merata surau dan masjid untuk sembahyang tarawikh dan makan morey jika ada. Mungkin ini satu cara kami mengkaji suasana setiap surau dan masjid dan mengenal kawan seIslam kita di merata2.

Tapi sekarangni saya dah malas berbuat demikian kerana kurang gangnya dan mungkin dah mula bosan-penat berbuat demikian. Dulunya penat tapi seronok. Sekarang bila dah berumur dah menjadi malas saya untuk berbuat demikian. Mungkin juga dulunya kami suka meluaskan net working kami, maklumlah orang muda suka banyak kawan dan kenalan (kenal tetapi tak pernah berborak2?). Mungkin kami juga mahu menjadi terkenal sebagai kaki rayau tatkala itu.

--------------------------------------------------------------------

Kegiatan bulan puasa surau kami pada tahun ini adalah sama seperti di tahun2 lepas. Majlis berbuka puasa diadakan setiap hari. Kalau tak ada sponsernya makanan akan sediakan oleh pehak surau. Kalau ada sponsernya maka ramailah yang hadir kerana dijemput. Juga biasanya makanannya agak istemewa. Kalau tak ada sponser ada juga jemaah yang datang berbuka tetapi hanyalah yang regular.

Setiap hujung minggu kami ada menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada sesiapa yang datang mengambilnya sendiri. Juga disponser ole mereka yang berminat pada kadar RM250.00 se petang. Pasti habis kerana sedap masakan Pah Hashan Tapah dan kumpulannya itu.

Semalam (kelmarin – Ahad) pehak kumpulan wanita sponser majlis berbuka puasa kami. Saperti biasa mereka mengagihkan tugas penyediaan makanan sesama mereka untuk dihantar ke surau sebelum maghrib.

Tetapi semalam mereka lupa untuk memastikan ada ahli mereka yang menyediakan nasi, maka bila tiba masa nak berbuka didapati nasinya tiada dan mereka kenalah tunggu selepas maghrib untuk berjamu supaya nasi boleh dimasak.

Nasib tak baik pula resepi air teh pula termasuk bahan “garam” bukannya “gula”. Tersilap kerana pehak yang menyediakan minuman tak perasan, lagi pun mana boleh rasa air yang disediakan kerana mereka juga berpuasa.

Nasib baik saya tak pergi makan berbuka puasa di surau semalam.

____________________________

Bulan puasani juga menjadi bulan bernasib baik bagi Halwi (sahabat saya Hj Alwi).

Semalam semasa saya meronda di belakang surau kami, saya dapati pokok Halwi yang ditanamnya dan yang dimusnahkan oleh pehak yang kami tak ketahui hidup semula dan mula menjalar.

Dulu kami sangat keciwa apabila pokok tersebut dimunahkan. Tetapi semalan kami gumbira kerana ianya hidup semula selepas “mati” selama lapan bulan. Kami namakan pokok tersebut pokok Halwi kerana kami tak tahu nama sebenar pokok tersebut.


Kesah POKOK HALWI



Gambar pokok Halwi sebelum termusnah:



Wednesday, August 11, 2010

AMBILLAH SEDIKIT SAHAJA

=====================================

BELILAH DUA KALAU NAK LIMA.

BELILAH EMPAT KALAU NAK SEPULUH


Dah pun kita mula berpuasa. Cepat rasanya kita mula berpuasa tahun ini. Tahu2 dah setahun kita tak berpuasa, seronok makan minum tanpa hadnya bagi kebanyakan kita manusia. Tapi mungkin masih ada yang taat dengan ibadah puasanya dengan berpuasa Isnin Khamis dan lain2 hari tertentu. Gulungan ini tak akan menyesal berbuat demikian malah mereka seronok dan tenteram selesa berbuat demikian.

Sekarang di bulan Ramadhan ini kebanyakan kita kenalah mula menghadkan makan minum kita. Yang berbuat demikian secara iklas kerana Allah akan mendapat pahala dari puasanya, InshaAllah. Yang berpuasa kerana sebab2 lain tengoklah apa faedahnya di masa yang ditentukan nanti.

Dan mulalah muncul berbagai jenis makanan terjual di merata2 terutamanya di waktu sebelum waktu berbuka. Duit menjadi cair dan mula mengalir dengan cepatnya. Alhamdulillah, mungkin ramai yang akan untung dari kecairan ini.

Tapi awas!

"Belilah dua kalau kita nak lima dan belilah empat kalau kita nak sepuluh."

Maksudnya belilah dua set makanan kalau kita terasa nak beli lima set makanan dan belilah empat set makanan jika kita rasa nak beli sepuluh set. Maksudlah janganlah kita beli makanan mengikut rasa dan selera dan nafsu kita. Atau belilah hanya 20% daripada jumlah yang kita nak beli. Dengan berbuat demikian maka sudah pasti kesemua makanan yang kita beli bawa pulang itu akan habis licin sebelum tengah malamnya. Dapat pahala pula bagi mereka yang menghabiskan makanan mereka.

Tambah pula jika keluarga di rumah kita ramai pula yang bekerja. Jika terdapat sekeluarga lima orang dan tiga daripadanya bekerja maka besar kemungkinan akan terhidang di atas meja kita sebelum berbuka puasa makanan untuk lima belas orang. Kenapa?

Kerana setiap ahli keluarga yang membeli makanan akan membelinya untuk lima orang. Jadi kalau ada tiga pembeli makanan maka akan terhidanglah makanan untuk lima belas orang. Bolehkah dihabis makan oleh lima orang? Itu tak termasuk anak2 kita yang membeli makanan kegemaran mereka secara sendiri.

Kalau nak disedekahkan kepada orang lain masa “sedekahnya” dah luput, lagi pun semua orang dah kenyang tatkala itu. Maka untunglah tong sampah (awas ini kerja yang “salah”, silap2 berdosa membazir membuang bahan makanan ke tempat tiada manfaat. Jika terpaksa berilah binatang atau pokok memakannya. Mereka akan sayang kepada kita, walau pun kita tak dapat mengesan perasan mereka).

Kalau tak ikut petua ini mungkin makanan yang kita beli akan dimakan (diberi makan) kucing, anjing atau pokok tanaman kita. Atau masuk lori sampah bagi yang ada perkhidmatannya atau masuk sungai, parit longkang bagi mereka yang suka membuang segala sisa di parit-longkang-sungai.

Mungkin bagi kita yang berminat memasak sendiri, adalah lebih baik jika kita masak sendiri supaya dapat mengawal dengan baik pemakanan kita. Selain apa yang kita masak itu adalah bersih suci ianya dapat kita perbagaikan jenis dan khasiatnya, Juga menjimatkan belanja dan kalau berminat boleh diberikan kepada orang lain yang berpuasa, besar pahalanya.

Dan kalau kira bernasib baik pula kita akan dapat balasan mee goreng atau bariani atau capati atau lain makanan yang kita tak buat atau beli, kerana orang lain akan memberinya kepada kita untuk berbuka puasa.

Atau bila kita "Beri satu kita akan dapat empat”, walau pun ianya bukan niat kita berbuat demikian. Kalau tak hari ini akan kita dapat balasan itu besuknya atau di lain masa jika dipanjang umur. Dan yang pasti akan kita dapat balasannya di sana diistilah sebagai "di waktu yang ditentukan" nanti, InshaAllah.


Rengkasnya:

1. Beli dua kalau nak lima dan beli empat kalau nak sepuluh. Kita mengelak rugi.

2. Berilah kepada orang lain apa yang kita ada. Kita tak akan rugi, malah kita akan untung.

Sunday, August 8, 2010

MERAYAU LAGI

MERAYAU LAGI – DI NEW CASTLE PULA


Minggu lepas saya merayau lagi, kali ini di New Castle. Tetapi sebelum saya bertolak ke New Castle saya singgah di kampong saya dulu, Lubuk (Merbau) dan Geliong.

New Castle yang saya pergini taklah jauh sangat dan bukannya di luar negara. Bandar ini digelarkan oleh adik saya ketika beliau belajar di sana pada tahun 1973 dahulu. Bila nak balik belajar ke sekolahnya selepas bercuti beliau akan berkata kepada kawan2 dan saudara maranya yang ianya nak balik ke New Castle. Saya pada mulanya pun tak perasaan apa maksudnya. Yang beliau maksudkan ialah New (Baru) Castle (Kota).

Sayalah yang menyarankannya supaya beliau berpindah belajar di New Castle memandangkan di situ beliau boleh belajar dengan lebih sempurna kerana keadaan bandarnya sangat sesuai untuk belajar. Kebanyakan pemuda di situ sangat beminat dan tekun belajar. Dan jika perlu saya boleh menolongnya. Di kampong tahulah, suasananya kurang memberansangkan untuk berjaya dalam pelajaran kecuali jika kita sangat tekat dan tekun.

Beliau kemudiannya telah menguruskan perpindahannya belajar di Kota Bharu (KB) sendiri dan saya tahu2 beliau telah dibenarkan berpindah dan di terima oleh Jabatan Pelajaran Kelantan belajar di negeri itu. Saya pun diberitahunya kerana beliau bercadang tinggal bersama saya. Semasa itu saya bekerja dan tinggal di KB. Beliau belajar di Sekolah Menegah Pasir Pekan, dengan menaiki basikal yang dipinjamkan oleh Chegu Mokhtar kawan saya.

Dari situ timbullah perkataan New Castle untuk nama gelaran KB. Tapi sekarang ini tak siapa yang pakainya. Saya hanya teringat peristiwa penjenamaan yang dibuat oleh adik saya ini.

_______________________

Minggu lepas saya bertolak ke KB untuk berjumpa anak saya yang bekerja di Kubang Kerian, baru pindah bekerja di situ sejak empat bulan lepas. Sebelum itu beliau bertugas di Pulai Pinang.

Jadi sambil melawatnya, saya ambil peluanglah untuk merayau di KB.

Sebagai “risk taker” saya tak beritahunya yang saya nak ke KB sehinggalah saya berada dalam perjalanan bas ke Kuala Kangsar untuk singgah sebentar di kampong saya sebelum meneruskan perjalanan saya ke KB.

Cadangan saya ialah untuk singgah di K Kangsar dan berada di situ sehingga saya bertolak ke KB jam 11.00 malamnya.

Saya bertolak pada hari Khamis dari KL kerana pada hari Jumaat dan Sabtu anak saya cuti hujung minggu. Tetapi rancangan saya ini tak menjadi kerana anak saya tak dapat cuti pada hujung minggu tersebut kerana ada seminar seminggu mulai hari Khamis. Tapi katanya keretanya saya boleh guna untuk bergerak di sekitar KB nanti. Ini sudah baik, fikir saya, kerana saya akan ada kenderaan nanti semasa di KB.

Inilah kesan jika kita menjadi “risk taker”. Tapi ianya ada seronoknya. Orang kata hidup kita sebagai risk taker sentiasa “tercabar” dengan keadaan “tak menentu” yang perlu kita uruskan. Ianya merupakan cabaran bagi kita mengurus perubahan yang tak kita sangka2. Saya pernah pergi kursus “Managemant of People and Change” jadi masaalah keadaan luar jangka sebegini sangat2 saya tunggu kerana ada hasil keseronokannya. Sini ceritanya: Anak Pandak 88 HongKong

Inilah yang dikatakan orang “Challenge” atau Cabaran. Dan ianya menyeronokkan dan boleh menjadikan hidup kita menjadi lebih matang, Inshaallah.

Tatkala sampai di Kuala (Kangsar) saya telah dicabar. Kerana bila saya telefon adik saya Jamnah, tidak dijawabnya. Dan bila saya telefon adik saya Mazidah, beliau pula tak ada di rumahnya kerana berkursus di Labu Kubung. Beliau suruh saya tunggu di rumahnya saja sehingga beliau balik. Kemudiannya, bila saya cuba untuk menunggu bas ke rumahnya bas pula tak ada.

Jadi saya buat keputusan sementara untuk berada di pekan Kuala sajalah sehingga jam 11.00 malam untuk bertolak ke KB. Boleh juga ronda2 sekitar pekan Kuala.

Tiba2 terjumpa Ehsan A Rahman, anak saudara saya hendak ke rumah maknya di Tanah Merah dan beliau menyarankan supaya saya mengikutnya ke Lubuk dan saya setuju.

Tatkala sampai di Lubuk adik saya Jamnah, menelefon saya dan kami kemudiannya ke rumahnya di Geliong hingga jam 10 malam sebelum kami ke stesen bas untuk saya bertolak ke KB. Sempat juga saya melawat dusun saya yang ada sedikit buah rambutan dan durian, pekenalah sedikit! Dan sempat juga Ke Changkat Petai mengambil durian dan rambutan juga langsat. Ada juga rambutan yang saya bawa ke KB.

Segalanya tak dirancang. Atau apa yang dirancang tak menjadi, digantikan pula dengan apa yang tak dirancang.

Inilah keseronokan bagi seorang risk taker macam saya. Sebenarnya bukan risk taker 100%. Mungkin istilah yang lebih tepat ialah bersikap “Tawakkal” yaitu, apa yang terjadi, jadilah untuk diterima dan diuruskan sebaiknya.

Urusan balik kampong atau merayau sebegini tak perlukan rancangan yang teliti. Kita hanya perlu buat perancangan dan persediaan asas dan bersedialah untuk ikut nasib apa nak jadi atau bertawakkal. Tetapi persediaan asas mestilah ada terutamanya persediaan mental menghadapi segala yang mungkin berlaku. Menurut pengalaman perancangan yang teliti sangat susah untuk kita praktikkan.



Saya kemudiannya bertolak dari Kuala pada jam 11.00 malam untuk ke KB dan sampai di KB jam 5.00 pagi Jumaat. Terus ke Masjid Muhammadiah kira2 seperempat kilometer dari stesen bas KB. Sempat membersihkan badan sebelum sembahyang subuh di masjid tersebut.

Kemudian saya relaks mendengar kuliah subuh sebelum melangkah ke hotel Indah bagi membuat booking bilik penginapan.

Hotel Indah ialah hotel yang ditubuhkan pada tahun 70an dan saya dulunya selalu makan nasi goreng di situ kerana nasinya sedap dan tempatnya selesa. Sewa bilik yang mereka kenakan kepada saya ialah hanya RM40.00 satu malam.

Lepas itu anak saya tiba untuk kami makan pagi dekat pejabatnya dan untuk saya meminjam keretanya sehingga petang apabila seminarnya tamat. Dan sepanjang hari saya meronda kawasan sekitar KB dengan keretanya.

Petangnya kami pergi pula ke rumah Yan (anak saudara saya) yang menjadi guru di KB. Lepak di rumah Yan sampai kami mengantuk. Yan juga baru berpindah mengajar di KB mengikut suaminya yang bertugas di bandar tersebut.

Pagi esoknya selepas makan pagi saya pinjam kereta anak saya lagi untuk bersiar2 di bandar tersebut. Malamnya jam 10.00 malam baru saya menaiki bas balik ke KL melalui Kuala Kangsar.

Sampai Kuala jam 4.00 pagi dan terus ke Masjid Bandar Kuala Kangsar untuk berehat. Tatkala saya sampai (4.30 pagi) ustaz yang akan mengajar kuliah subuh pada hari dah pun sampai dan sedang berehat dalam keretanya (beliau datang dari Setiawan). Ini saya perasan bila seorang kakitangan masjid memberitahu kami yang ustaz sampai dan berehat dalam kereta awal pagi tersebut.

Masjid Kuala ini ada kemudahan sewa bilik penginapan yang sangat murah kadar sewanya dari RM35.00 sebilik. Mungkin akan datang saya akan cuba menggunakan kemudahan ini.

Selepas solat subuh saya duduk mendengar pengajian buat beberapa ketika. Dan bila saya beredar untuk keluar dari masjid beberapa kakitangan masjid tersebut telah menjemput saya makan dulu sebelum beredar. Saya menjadi serba salah untuk menolak pelawaan mereka kerana inilah satu can untuk saya beramah mesra dengan mereka. Jadi saya tunggu untuk makan pagi dengan mereka.

Dan kami buka cerita masing2. Saya diberitahu yang ada di antara mereka yang kenal adik saya, Nan dan abang saya, Din, juga beberapa kawan saya termasuk Abdul Murad Khalid, kawan serumah saya ketika saya tinggal di Petaling Jaya dulu.

Lepas makan saya beredar untuk pulang ke KL. Saya malas untuk kembali ke kampong pagi itu kerana dah pun ke sana dua hari sebelumnya dan saya takut ketiadaan bas untuk balik ke KL jika lambat memandangkan hari itu hari Ahad dan ramai akan balik ke KL masa itu.

Jadi saya ambil tiket bas jam 9.00 pagi dan terus balik ke KL. Sampai KL (Bukit Jalil) jam 12.30 tengah hari. Terus naik LRT ke Ampang dan balik rumah.

Motor kapcai saya yang saya tinggalkan di Stesyen LRT Ampang masih dalam keadaan selamat. Alhamdulillah.

Tapi saya tertinggal kamera saya dalam kereta anak saya. Hanya akan saya dapatkan balik bila beliau balik berhari raya sebulan lagi.

Tapi saya beruntung juga kerana saya dapat diskaun Warga Mas bila naik bas Transnasional. Pada mulanya saya tak perasaan ada diskaun tersebut jadi saya beli tiket biasa semasa perjalanan KL-KK saya. Lepas itu saya hanya tunjuk Kad Pengenalan saya untuk mendapatkan diskaunnya. Inilah bezanya orang yang tahu dengan orang yang tak tahu. Beruntunglah orang yang tahu dan rugilah orang yang tak tahu. Jadi pilihlah untuk menjadi orang yang tahu. Kerana tak tahu akan melibatkan kos dan kalau kita tahu dapat kita menjimatkan kos selain faedah lainnya.




_______ Fikirlah Kejadian Alam ________________________________




________________________________

Kota Bharu - Dulu dan Sekarang:

Kota Bharu telah banyak berubah. Ianya bukan lagi sebuah bandar yang semasa dahulu "semua orang kenal semua orang". Sekarang ialah bandar yang "ramai orang yang tak lagi kenal ramai orang". Dulunya semua orang yang tinggal di bandar itu mengenali sekurangnya 95% penduduk KB yang lain.

Sekarangni dah tak lagi. Masing2 mungkin membawa diri sendiri kecuali yang lama tinggal di bandar tersebut. Ini adalah kerana penduduknya dak bertambah dengan banyaknya dan terdapat ramai orang luar yang berhijrah tinggal di bandar tersebut.

Dulunya pada tahun 1971 semasa saya mula bertugas dan tinggal di bandar tersebut terdapat hanya satu lampu isyarat jalan raya, ya itu yang terletak berhampiran bilik bacaan Jabatan Penerangan berhampiran Taman Sekebun Bunga. Sekarangni dah mungkin ada lebih seratus lampu isyarat jalan raya, setiap simpang empat terdapat satu. Ini mengakibatkan perjalanan 10 minit akan mengambil masa lebih setengah jam agaknya, kerana terpaksa berhenti menunggu di persimpangan lampu isyarat ketika ianya merah. Dan kesabaran pula perlu kita tingkatkan kerana kita terpaksa berkongsi laluan.

Bandingkanlah dulu hanya ada satu lampu isyarat jalan raya dan sekaranag ada lebih seratus!

Bangunan dan jalan rayanya pun dah bertambah dengan banyaknya dan di merata tempat termasuk di kawasan luar bandar KB.

Dulunya saya tak pernah sesat di bandar tersebut. Tetapi kali ini saya hilang panduan arah jalan.

Saya nak mencari Sekolah Menengah Kota (sekolah saya mengajar tahun 1971 dulu) di Wakaf Che Yeh pun tak jumpa kerana sesat semasa mencarinya. Yang nampak hanya menara pemancar Radio Malaysia (Jiran sekolah tersebut). Bila saya mencarinya tak juga jumpa sampai saya tersasar ke kawasan lain. Mungkin kerana saya memandu seorang diri. Nampaknya kenalah saya gunakan khidmat pemandu pelancung kalau tak nak sesat.

Di Kampong Sirih tempat kami lepak dulu pun saya tersesat. Kubur Kuda pun dah banyah bangunan tinggi.

Saya mencari rumah tempat saya tinggal dahulu berhampiran Dewan Perniagaan Cina Jalan Kebun Sultan pun tak jumpa kerana rumah Pak Kob tersebut dah dirobohkan bagi digantikan dengan bangunan tinggi.

Apabila masa berubah, perangai manusia juga berubah. Dulunya jika ada orang memotong kenderaan kita di jalan raya mereka akan angkat tangan atau hon kita bagi menunjukkan tanda hormat atau minta izin untuk "saya jalan dulu". Sekarangni dah tak ada, ini menurut apa yang saya dengar dari penduduk KB yang saya tanya.

Inilah perubahan ke arah zaman moden.

Tapi yang baiknya terdapat banyak ceramah agama di merata2 dan setiap malam. Suara penceramah boleh kita dengari walaupun kita berada di tepi jalan (ada speaker di tepi jalan). Atau kita boleh rehat di rumah masing2 dan dengar ceramah yang diadakan di surau atau masjid berhampiran. Tetapi kenalah tahu sedikit loghat Kelantan kerana itulah bahasa yang biasanya mereka gunakan. Kalau tidak orang tempatan pula tak faham.

____________________________________________________________


Yang Tahu dan Yang Tak Tahu

Banyak ruginya bagi mereka yang tak tahu atau kurang ilmu tentang sesuatu.

Semasa saya berada di KB banyak yang saya tak tahu dan akibatnya saya kerugian. Tetapi ada juga baiknya kerana saya bertambah pengalaman.

Berikut adalah dua pengalaman yang saya alami kerana saya tak tahu:

1. Saya mencari sendiri Terminal Langgar, tempat yang sepatutnya saya menaiki bas express untuk ke Kuala Kangsar. Bila saya tanya pekerja hotel beliau kata dekat dengan KB mall di lawasan Jalan Bayam. Oleh kerana saya ada kereta saya ronda mencari Terminal bas tersebut pada paginya tetapi tak jumpa. Mungkin saya salah panduan atau saya tak faham cara pekerja hotel itu bercakap. Akhirnya saya tanya anak saya yang pada mulanya beliau kata tak tahu tetapi berkata beliau pernah melalui satu terminal bas ekspress dekat Jalan Kuala Kerai. Jadi petang itu kami cari tempat tersebut, yang sebenarnya terletak di Wakaf Siku di antara Jalan Kuala Kerai dan Jalan Pasir Putih. Kalaulah saya tahu terminalnya berada tersepit antara dua jalan tersebut tak payahlah saya mencari2nya atau saya terus riki di situ saja. Saya tersalah tempat mencari terminal tersebut di kawasan Jalan Langgar kerana di sebut pada tiket bas express tempat menaiki bas ialah "Terminal Langgar".

2. Di Masjid Kubang Kerian pula terdapat satu pintu yang tak boleh dilalui oleh kereta kerana paras jalan di luar masjid tersebut lebih rendah dari paras pintu pagar masjid tersebut, kalau dilalui juga kereta pasti akan rosak (suspensinya). Saya telah melalui pintu pagar tersebut dan ketika hendak masuk ke jalan raya saya perasan yang kereta saya tak boleh melaluinya. Seorang jemaah juga telah memberitahu saya supaya jangan melaluinya kerana bahu jalan sangat curam/tinggi dan kereta saya tak boleh melintasnya. Terpaksa saya undur kereta saya dan keluar melalui pintu lain.

Beruntunglah siapa yang tahu atau siapa yang tak tahu tetapi ambil tahu untuk tahu.

Oleh kerana ada sifat ambil tahu maka Boon Siew (Honda Cup) dan Lim Goh Tong (Hutan Genting) dan ramai lagi, menjadi kaya raya. Orang yang menolak menjadi wakil Honda di Malaya "kerugian" kerana ia tak tahu potensi Honda Cup itu dan menolak pelawaan Jepun memasarkan jenama Honda di Malaya (Malaysia).

Tetapi kalau kita rajin kita tak akan melarat di negara bertuah ini, walau bagaimana pun.

=================================================

Awas bagi yang menggunakan kemudahan telefon prepaid atau prabayar:

Bagi yang meggunakan kemudahan telefon prabayar mungkin anda akan terkejut apabila baki kredit anda akan mengurang dengan cepatnya.

Ini adalah kerana anda telah dikenakan bayaran dua kali, oleh pengendali telefon di Malaysia dan pengendalinya di Thailand.

Semasa di Kota Bharu saya terkena. Sebabnya?

Bila kita membuat panggilan di kawasan dekat sempadan Thailand, panggilan kita akan terpaksa dihantar oleh sistem telefon untuk melalui Thailand sebelum ianya dihantar semula ke kawasan yang kita mahu bercakap. Dengan sebab itu pengendali di Thailan akan mengenakan bayaran kepada kita disamping kita membuat bayaran biasa di Malaysia.

Perkara ini pernah saya baca di akbar dan beberapa blog dulu tetapi saya tak kesah sangat kesannya kepada saya. Bila prepaid saya mengurang dengan cepatnya semasa di Kota Bharu barulah saya perasan keadaan ini. Lepas itu kalau saya nak telefon saya gunakan hanfon anak saya (dulunya saya yang bayar, sekarang dibayar sendiri atas pilihannya) yang tak dikenakan bayaran sedemikian. Sebabnya saya tak tahu. Mungkin beliau menggunakan post paid atau syarikat pengendali yang lain yang transmitternya kuat atau sebagainya, tak perlu panggilan yang dibuat disalurkan melalui Thailand.

Yang baiknya, telefon prepaid saya akan memberitahu (catat) pada skrinnya baki prepaid sejurus tamat saya membuat panggilan. Bila balik ke KL baki selepas membuat panggilan tak ditunjukkan.
_________________________________________________________________

Wednesday, August 4, 2010

HIDUP BERBAKTI

KEBAHAGIAN HIDUP


Saya terdengar satu kaedah yang sangat mudah untuk kita mendapat kebahagian hidup. Kaedah ini saya dengar dari TV2 beberapa hari dahulu. Ianya bukannya satu kaedah yang terbaru tetapi ramai manusia yang tak tahu atau tak ambil indah. tentangnya. Kesannya mungkin inilah sebabnya mereka menjadi kelam kabut dan tak hidup sebahagia yang sepatutnya.

Saya dah lama tahu tentang kaedah ini dan apabila dibincangkan dalam rancangan TV2 baru2 ini teringat saya yang ramai dah melupakannya agaknya memandangkan keadaan suasana kelam kabut sekarang ini.

Siaran TV dan radio tempatan sekarang ini banyak menyiarkan rancangan yang berfaedah, terutamanya di waktu pagi. Banyak rancangan yang boleh membantu kita mendapatkan ilham dan panduan hidup seharian kita. Malangnya ramai yang tak kesempatan mendengarnya kerana kesibukan diri. (TV tak perlu kita tonton memadai dengan mendengarnya kalau kita ada perkara lain nak kita buat – bak kata orang dahulu: “sambil menyelam meminum air”.

Tips yang dinyatakan oleh seorang penceranah bagi mendapat kebahagia hidup ialah dengan kita menyenaraikan apa yang kita suka orang lain berbuat kepada kita dan juga senaraikan apa yang kita tak suka orang lain berbuat kepada kita.

Lepas itu kita buat pada orang lain apa yang kita senaraikan (yang kita suka orang lain berbuat kepada kita) dan jauhkan kita dari berbuat apa yang kita senaraikan itu (perkara yang kita tak suka orang lain berbuat kepada kita). Sangggat mudah. Tapi kesannya amatlah menakjubkan.

Lojiknya ialah bahawa bila kita berbuat apa yang kita suka (orang lain berbuat kepada kita) maka orang lain akan berbuat sedemikian kepada kita. Kalau tak 100% akan berbuat demikian mungkin 90% dah pun cukup. Dan bila kita tak buat perkara yang kita tak suka orang lain berbuat kepada kita, maka orang lain pun akan tak berbuat demikian, kecualilah segelintir yang tak waras.

Ini adalah lebih baik dari kita berbuat perkara yang kita tak suka orang lain berbuat kepada kita. Kerana bila kita berbuat demikian akan timbul "cermin ajaib" yang akan melantunkan balik perbuatan tersebut kepada kita.

Contohnya: Kalau kita marah orang, maka orang tersebut akan marah kita pula. Kalaulah tak secara amali, mungkin dalam hatinya dia akan marah dan geram. Tetapi kalau kita berbuat baik kepadanya maka ia akan berbuat baik kepada kita, kalau tak dibuatnya sekarang ini mungkin di masa akan datang. Atau hatinya merasa bahagia. Dan dia akan menyukai kita sekurang2nya. Dan akan menjadi sahabat kita pula. Ini baru “pahala” dunia. Pahala akhirat pula lain kiraannya.

Jadi berbuat baiklah kepada semua orang. Juga kepada semua binatang dan makluk Allah lainnya. Ianya pasti akan menguntungkan kita.

Satu lagi tips yang dinyatakan ialah bahawa kita perlulah memberi khidmat kepada manusia dan lain2 makluk. Menurut ceritanya memberi minuman kepada anjing yang dahaga pun akan menguntungkan kita, walaupun kita tak nampak keuntungannya.

Menurut cerita orang Roman dahulu kala, seorang tawanan yang dilemparkan kepada singa untuk dimakan oleh singa tersebut tidak larat dimamah oleh singa tersebut kerana pada satu ketika dahulu orang tersebut pernah menolong membuangkan duri yang terpacak pada kaki singa tersebut. Ini kerana singa tersebut masih ingat jasanya membuang duri tersebut.

Satu perkara yang sangat indah apabila kita menolong orang lain ialah ianya akan mendatangkan perasaan ketenteraman kepada kita. Hanya orang yang biasa membantu orang lain akan merasai perasaan tenteram jiwa ini.

Ianya merupakan macam suatu kepuasan. Bila kita tolong orang lain kita akan merasa puas dan “seronok”.

Bandingkanlah jika kita marah atau enggan menolong orang yang meminta pertolongan kita. Orang yang ada hati dan perasaan akan menyesal tidak menolong. Orang yang keras hatinga lainlah. Tapi lambat laun dia akan menyesal juga, kalau tidak di sini ia akan menyesal juga nanti di sana.

Rengkasnya: Kita akan merasa selesa, puas dan bahagia tenteram jika kita dapat menolong orang lain dan kita tak akan dapat perasaan selesa, puas dan bahagia tenteram tersebut jika kita gagal menolong orang lain. Ini belum lagi kita menerima pujian atau sanjungan atau perkataan “terima kasih” dan sebagainya (walau pun ianya taklah penting kepada manusia yang minat menolong orang lain).

Buatlah kepada orang lain apa yang kita nak orang lain berbuat kepada kita. Jangan buat kepada orang lain apa yang kita tak suka orang lain berbuat kepada kita. Ini adalah kerana kita dan orang lain mempunyai perasaan yang sama, kecualilah pada yang tak waras.

Menolong orang lain merupakan pertolongan kepada diri kita sendiri kerana bila kita tolong orang maka orang lain akan tolong kita. Dan jika kita menyakiti hati orang lain maka hati kita juga akan disakiti. Kerana perasaan geram (marah) kita akan berpanjangan menguris hati kita. Silap2 payah nak tidur malam pula.

Berbeza dengan jika kita menolong orang lain atau memberi nasihat kepada orang lain, di mana kepuasan hati kita akan berpanjangan walaupun kita tak perasaan ianya berlaku kepada kita. Seronoknya akan berterusan.

Itulah yang akan membuat kita terus bahagia. Walaupun kurangnya harta.

Itu belum diceritakan tindak balas orang lain apabila kita menolong mereka. Menurut kiraan ghaibnya jika kita beri satu kita akan dapat balik sepuluh atau berganda lagi hingga tujuh ratus kali ganda. Yang peliknya bukan orang yang kita tolong tersebut yang perlu membalas balik pertolongan kita. Ianya ibarat rezeki yang mendatang yang sumbernya kita tak tahu.

Katanya:

Berbaktilah kepada orang lain dan jangan harapkan orang lain berbakti kepada kita. Tapi kalau orang lain nak tolong persilakanlah supaya dapat berusaha sama.


Sunday, August 1, 2010

KHENDURI DI BATU CAVES

KHENDURI PIAN


Saya baru sahaja balik dari khenduri Pian.

Sebelum balik ke rumah, saya pergi singgah pula di Masjid Wilayah Kuala Lumpur Jalan Duta dengan dua tujuan; pertama untuk sembahyang Zohor dan keduanya untuk makan jemputan khenduri anak Pak Yaacob Musa, Jef.

Pian ni ialah kawan senior saya di kampong dahulu. Kami berpisah dan tak berjumpa sejak tahun 1962 ia itu, setahun sebelum Malaysia ditubuhkan oleh Tengku Abdul Rahman. Beliau masuk menjadi askar dan terus kami tak berjumpa.

Saya dah lama juga nak berjumpa dengannya kerana persahabatan kami amatlah erat semasa kami bersekolah dahulu, walau pun kami berbeza umur dan bersekolah di sekolah yang berlainan. Beliau belajar di Kuala Kangsar (7 batu jauhnya) dan saya di Padang Assam (6 batu jauhnya).

Peristiwa yang saya tak pernah lupa semasa mengenalinya ialah ketika kami bersama2 bertemu di Simpang Lawin ketika kami nak balik dari sekolah.

Beliau balik menaiki basikal dari Kuala (Kangsar) ke rumahnya di Tamah Merah. Saya pula naik dua bas dari Padang Assam ke Changkat Petai; bas pertama dari Padang Assam ke Simpang Lawin untuk saya menunggu untuk menaiki bas kedua ke Lubuk, sebelum saya mengayuh basikal untuk balik ke Changkat Petai. Basikal saya saya letakkan di bawah brenda rumah Wan Nani di Lubuk (atas persetujuannya dengan ibu saya).

Ketika di Simpang Lawinlah saya bertembung Pian sedang mengayuh basikalnya untuk pulang dari sekolah. Bila dia jemput saya naik basikalnya, saya pun menumpang naik sepanjang dua batu hingga ke Lubuk (Merbau).

Itulah persahabatan kami yang saya tak akan lupakan. Beliau sanggup dan seronok menumpangkan saya menaiki basikalnya. Penat tapi bahagia agaknya. Dan seronok saya menceritakan peristiwa tersebut kepadanya ketika saya menemuinya pada hari khendurinya tadi.

Dimasa lain kami jarang berjumpa, maklumlah dia bersekolah di Kuala dan saya di Padang Assam.

___________________________

Ramai juga saudara mara Pian dan isterinya yang datang ke khendurinya tadi. Saudara mara Pian adalah juga saudara mara saya kerana kami sekampong semuanya ada hubungan keluarga. Rumah keluarga isteri Pian, Asiah terletak di seberang rumah saya, dijarakkan oleh sawah di depan rumah masing2.

Sempat juga saya bertemu dengan Pak Dolah (mertua Pian), Pak Wali, Isa Wantun, Nain (ipar pian), Yusuf Pak Alang, dll. Tak lupa juga Chegu Su yang tak sempat mengajar saya semasa di Sekolah Tanah Merah kerana saya masuk SMC1 di Padang Assam. Tapi Che Gu Su masih ingat yang dia ada mengajar adik saya, Nan.

Oleh kerana saya ada urusan lain di Masjid Wilayah KL, maka saya tepaksa beredar dari rumah Pian pada jam 12.30 tengah hari. Itu pun oleh kerana saya mendapat panggilan dari Osman Omar untuk bertemunya di Masjid tersebut dalam masa setengah jam.

Kalau boleh sehari suntuk pun saya sanggup berada di rumah Pian tadi. Ini adalah kerana ramai lagi saudara mara kami yang belum tiba ke rumah Pian. Satu bas masih lagi dalam perjalanan dari kampong untuk ke rumahnya.

Itulah sebabnya awal2 lagi saya dah sampai ke rumah Pian tadi supaya saya ada masa yang banyak untuk berborak dengan saudara mara yang datang. Jam sepuluh pagi saya dah berada di rumah Pian setelah menelepon Naim untuk mendapatkan pandu arah ke rumah Pian. Saya menaiki motor kapcai saya untuk ke rumahnya.

Memang senang mencari rumahnya. Mengikut kata Pian tadi: “Lepas melintasi sungai di mana penganut Hindu mandi (berhampiran kuil Batu Caves) masuk kiri sebelum traffik light”. Itulah Kampong Melayu Batu Caves.

Memang tak sesat saya tadi. Tapi jalan depan Kuil dah hilang, diganti dengan jalan berselekoh besar. Saya beranikan diri untuk terus meredah dengan motor saya melalui jalan baru ini dan tahu2 sampai di depan Kampong Melayu. Sungai yang disebutkan pun dah tak jumpa tapi Alhamdulillah, saya selamat juga sampai tanpa sesat. Tapi untuk merasa yakin lagi saya tanya penjual minuman di tepi jalan dan katanya: “Itu seberang jalan ialah Kampong Melayu”.

Saya tanya untuk kepastian kerana sekarang ini banyak tempat yang mempunyai nama yang sama. Kalau tengok Google Map pasti kita akan dapat lihat banyak tempat yang namanya Kampong Melayu.

----------------------------------------------

Tetapi saya tersesat pula tadi bila dalam perjalanan ke Masjid Wilayah, terbabas di Jalan Duta hingga terpaksa memasuki Jalan Kucing melalui bulatan Jalan Ipoh-Kepong untuk patah balik melalui Tol lama Jalan Kucing. Saya nak masuk melalui Bangunan Lembaga Peperiksaan tapi tak ada jalannya, terpaksa terus sehingga mendekati Tol Jalan Duta terus ikut (panduan) arah Jalan Kucing. Tapi sebenarnya bukan Jalan Kucing (bulatan) Segambut tetapi penghunjung Jalan Kucing dekat bulatan Jalan Ipoh Kepong (Tol lama Jalan Kucing yang popular di panjangkan tempohnya dulu, kaya lagi manusia nampaknya!).

Lepas itu saya masuk sekali lagi ke Jalan Duta melalui bulatan Segambut dan dengan berhati2 berjaya masuk ke simpang menuju Masjid Wilayah, sampai tatkala pehak masjid sedang bersedia untuk melaungkan azan zohor.

Lepas itu saya makan khenduri lagilah. Tadi di rumah Pian. Lepas itu Khenduri Pak Kob.

Anak Pak Kob, Jef yang menjadi pengantin ialah peguam lepasan UIA setelah gagal menamatkan pengajiannya di Jordan kerana terpaksa balik Malaysia setelah terlibat dan terlantar akibat kemalangan jalan raya di Jordan. Manusia ni kalau nak berjaya di mana saja boleh berjaya asalkan dia berusaha untuknya. Syabas Jef!


"Usaha tanda Jaya".
Yang berusaha pasti berjaya, InshaAllah!


Kos minyak kapcai = RM3.00 lebih kurang.
Kos hulur khenduri (Rahsia)

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI