GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Monday, December 13, 2010

MENANG, MENANG, MENANG DAN MENANG

MENANG

DAN MENANG

DAN MENANG



SEMUANYA MENANG TIADA YANG KERUGIAN


Semua manusia mau menang dan tak mau kalah.

Tapi jangan salah sangka. Setengah manusia yang bijak membenarkan dirinya kalah tak menang dengan tujuan mahu kalah sekarang tapi akan menang pada masa akan datang. Ini mungkin stratejinya untuk menang dalam masa jangka panjang. Biarlah kalah pada awalnya tetapi pasti akan menang pada kesudahannya.

Inilah salah satu strateji peperangan, itulah yang saya dengar dari kawan2. Itulah juga muslihat setengah ahli perniagaan, biarlah pesaingnya menang dulu tetapi akan dikalahkan pada masa akan datang.

Manusia pada zaman dahulu, juga masih diamalkan oleh setengah kita sekarang ini ialah kita mesti menang dan pesaing kita mesti dikalahkan. Kejayaan diukur apabila kita menang dan musuh atau pesaing kita ditewaskan dan mati atau cacat fisikalnya atau jiwanya atau semangatnya. Kita mahu jadi hero dan tak mahu kalah.

Kesannya setiap kita bertarung untuk menang mengalahkan musuh atau lawan kita. Rugilah pehak yang kalah dan kalau di zaman dahulu segala harta benda mereka akan dijadikan harta rampasan. Di zaman sekarang mereka yang kalah ini tak akan dipedulikan, mungkin.

Tetapi zaman berubah dan peragai manusia pula turut berubah. Manusia mula menjadi jinak dan tidak berperasaan ganas atau tak bertimbang rasa.

Timbullah keadaan di mana kita tak mahu menang dan musuh kita kalah. Kita sekarang tukar polisi kita dengan berniat supaya kita pasti menang tetapi lawan atau musuh kita juga menang dan tiada siapa yang kalah atau rugi. Maksudnya kita tidak lagi bermusuhan menewaskan lawan kita tapi kita sekarang saling bantu membantu satu sama lain. Kesannya kita tak rugi dan lawan atau pesaing kita pun tak rugi.

Banyak perniagaan sekarang ini menggunakan strateji begini. Kita bersaing tetapi tak bunuh-membunuh pesaing kita.

Contohnya: Katakanlah Shell dan Esso dan Petronas berbuat demikian. Kesannya mereka boleh bersaing tetapi mereka juga boleh berpakat katakan, menaikan harga minyak keluaran mereka. Dengan tindakan bersama tersebut mereka semuanya mendapat untung dari kenaikan minyak tersebut.

Keadaan ini dinamakan keadaan "Menang-Menang" kerana mereka semuanya dapat untung dan tak ada yang rugi.

Dari keadaan “Menang-Kalah” dulunya tatkala mereka bersaing dan membunuh perniagaan lawannya, sekarang mereka adalah dalam keadaan “Menang-Menang” setiap pesaing mendapat untung yang berpanjangan dan yang lebih besar dari apabila mereka bersaing untuk membunuh perniagaan lawannya.

Kalaulah perniagaan warong makanan bersikap demikian, mereka semuanya bolehlah menikmati keuntungan yang berpanjangan. Jiwa pun menjadi tenang dan bahagia tanpa perasaan risau dan iri hati. Bandingkanlah jika mereka bersaing dengan menggunakan ilmu hitam (santau, sihir, dll) sapertimana diceritakan berlaku di zaman dahulu. Hidup pun tak tenang dibuatnya. Dengan bekerjasama semua mereka boleh mengaut untung.

Dari keadaan “Menang-Kalah” dahulunya, manusia telah berubah kepada suasana “Menang-Menang”, tiada siapa yang kalah atau rugi.

Nanti dulu!

Jangan kata lagi tiada siapa yang rugi.

Kalau ditelitikan betul2, pasti ada yang rugi.

Dalam contoh Shell-Esso-Petronas di atas mereka semuanya untung dan tiada yang rugi. Yang rugi ialah pengguna yang membeli minyak mereka. Persekutuan mereka membolehkan mereka menaikkan harga minyak untuk mendapatkan lebih untung. Tetapi pelanggan mereka rugi kerana terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan minyak. Kecuali jika kerajaan atau pehak berwajib saperti persatuan pengguna masuk campur.

Jadi, keadaan “Menang-Menang” ini pun ada buruknya kerana ianya menyusahkan pehak ketiga, dalam contoh di atas pehak ketiga ialah pembeli minyak mereka.

Jadi perlulah kita berubah dari keadaan “menang-Menang” kepada keadaan “Menang-Menang-Menang” yaitu pehak pertama dan kedua beruntung dan tak rugi dan pehak ketiga juga dapat faedahnya dan tak menanggung kerugian.

Ada pula mereka yang menjelajah lebih jauh lagi dengan mencadangkan keadaan “Menang-Menang-Menang-Menang” bermakna menjadikan semua makluk Allah tak rugi tetapi dapat faedah. Ini termasuklah alam sekitar, binatang dan tumbuhan. Juga jiwa kita sendiri mendapat faedahnya kerana dapat ketenteraman hidup.

Tak guna juga jika semua pehak mendapat faedah tetapi alam sekitar dan kehidupan makluk Allah diganggu gugat.

Inilah cerita perbincangan yang saya dengar di TV2 pagi tadi, dengan sedikit olahan. Ruj: 20101213@0800


Jagalah Alam Sekitar Kita

Friday, December 10, 2010

DUIT DUIT DUIT (Bhg 3)

PERDAGANGAN DUIT

DUIT MEMBELI DUIT



Bagi mereka yang mahir tentang perangai duit mereka dapat menggunakan perangai duit ini menghasilkan untung. Duit bagi mereka adalah barangan sama seperti durian atau kereta yang boleh dijual beli bagi mendapatkan untung. Sambil itu mereka bersedia untuk menghadapi risko rugi.

Tetapi kalau dah mahir mereka dapat menghidu bau kemungkinan mereka akan rugi dan bertindak lari dari bakal-rugi tersebut atau sekurangnya bertahan dari menghadapi kerugian yang lebih besar. Istilah yang mereka gunakan ialah “Cut loss” atau mengurangkan kerugian. Sekurangnya kerugian yang bakal berlaku dapat mereka kawal supaya tidak melebihi jumlah untung yang pernah mereka kumpulkan terdahulu.

Biasanya institusi yang menjalankan perdagangan duit ini ialah bank yang mempunyai banyak duit terbiar. Disebut terbiar kerana duit ini adalah duit lebihan yang tak digunakan dalam urusan biasa bank yang mana kalau duit ini tak diguna atau difaedahkan, ianya akan terbiar tanpa mendatangkan untung. Itulah teorinya pada masa dahulu. Duit terbiar perlu digunakan bagi menghasilkan untung.

Tetapi oleh kerana kegiatan menjual beli duit ini sangat menguntungkan, maka bank sekarang ini telah menyediakan dana tertentu untuk kegiatan jual beli duit ini. Sehingga mereka telah menubuhkan jabatan yang dinamakan Jabatan Forex (tukaran wang asing) khas untuk mengendalikan aktiviti jual beli duit ini. Kepakaran kakitangannya Jabatan ini mengendalikan kegiatan jual beli duit ini biasanya menghasilkan untung yang banyak.

Tapi kadangkala rugi juga saperti mana yang berlaku kepada kegiatan jual beli duit (Forex) Bank Negara pada tahun 90an dahulu. Sebelum itu BanK Negara banyak menghasilkan untung dari kegiatan Forex mereka.

Polisi mereka yang menjalankan perniagaan duit ini ialah membeli duit dengan harga yang rendah dan menjualkannya pada harga yang tinggi. Sesiapa yang boleh berbuat demikian bolehlah bekerja dengan Jabatan ini.

Akibatnya hanya mereka yang betul2 pakar dan “risk taker” yang berpengalaman berani atau yang selalunya bernasib baik, menjalankan tugas ini.

Tugas harian mereka ialah memerhatikan pergerakan harga jual beli setiap matawang dunia dan memilih-beli mata wang tertentu pada harga yang rendah untuk dijual pada harga yang melebihi harga belian tersebut. Dari situlah datangnya untung Forex (foreign exchange).

Perlulah diingat bahawa harga satu2 matawang itu dikawal oleh pasaran bebas dan tiada siapa lain yang dapat mempengaruhinya. Ini adalah kerana pasaran matawang ini adalah terbuka dan mereka yang terlibat sangatlah ramai sehingga tiada sesiapa yang dapat mempengaruhi harga jual belinya. Pasarannya adalah terlalu bebas untuk dapat dipengaruhi oleh mana2 pehak.

Keadaan pasarannya: Jika permintaan sesuatu matawang itu meningkat harganya akan naik. Jika permintaannya menurun maka harganya akan turun.

Juga, jika penawarannya naik harganya akan turun dan jika penawaran matawang tersebut turun, harga akan naik.

Dengan dana yang disediakan, pakar Forex ini akan mengawasi pergerakan turun naik satu2 matawang dan bertindak membelinya apabila harga matawang tersebut "rendah" untuk dijual apabila harganya "tinggi". Atau menjual stok matawangnya jika harga matawang tersebut adalah munasabah bagi mendapatkan untung. Mereka akan membeli matawang tersebut jika ianya dijangka akan menguntungkan mereka apabila menjualnya pada masa akan datang. Maksudnya, mereka menjangkakan harga matawang tersebut akan naik.

Kami semasa menjadi juruaudit dahulu ada juga menjalankan kegiatan menjual beli matawang ini. Pada satu ketika apabila menjalankan audit di London kami membeli matawang USD untuk digunakan semasa di London. Tatkala membelinya harga USD rendah. Sampai ke London harganya naik dan apabila kami tukarkan kepada British Pound kami mendapat untung Forex. Kalaulah kami beli British Pound kami tak akan memperolihi untung tersebut. Itulah permainan Forex yang menguntungkan.

Tapi kalau harga USD ketika kami berada di London itu turun, kami akan rugi. Tapi taklah rugi sangat kerana duitnya adalah wang pendahuluan yang kami terima dari majikan kami, bukannya duit gaji kami. Lagi pun elaun harian kami mungkin dapat menyerap kerugian tersebut.

Itulah. Duit membuat duit. Tetapi kita perlulah ada ilmu mengenai duit.

Kalau tidak kita akan melaburkan duit kita dengan Pak Man Telor saperti dalam cerita berikut:


http://www.radiniz.com/blog/?p=472

http://jurublog.blogspot.com/2008/12/americas-own-pak-man-telo-to-cost.html

http://rm1juta.wordpress.com/2008/12/25/pelaburan-haram-terbesar-di-dunia-skim-cepat-kaya-ala-pak-man-telo/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Pak_Man_Telo




TUNTUTLAH ILMU KERANA ILMU DAPAT MENOLONG
Awasilah pelaburan anda supaya ianya sentiasa Halal

Tuesday, December 7, 2010

DUIT DUIT DUIT (2)



DUIT DUIT DUIT
(Bhg 2)

KAMI SUKA BUAT DUIT


Kalau kita ada duit kita bolih buat duit, dengan cara memberanak-pinakkan duit yang kita ada menjadikan jumlahnya bertambah banyak saban hari.

Cara yang paling mudah kita membuat duit ialah dengan mendepositkan duit kita di Tabung Haji bagi mendapatkan dividennya. Atau di instutusi lain yang membayar dividen. Atau kalau nak yang haram kita boleh depositkan ke akaun simpanan bank yang membayar faedah atau bunga atau riba. Atau kalau nak yang halal boleh kita simpan di bank atau institusi yang menggunakan kaedah Islam yang membayar dividen berdasarkan perkongsian untung-ruginya atau memberi apa yang mereka namakan “hibah”.

Cara ini tidaklah banyak hasilnya tetapi sangat selamat.

Kalau nak cepat hasil dan banyak jumlahnya gunakan duit kita itu untuk berjudi. Tapi riskonya sangat tinggi kerana kita mungkin jadi muflis kerana rugi kalah judi. Di akhirat pula kita sudah tentu muflis kerana kerja main judi ini adalah haram dan berdosa, kecuali sempat taubat dengan betul cara taubatnya.

Bagi mereka yang lebih bijak, mereka menjalankan kerja membeli duit dengan duit. Yang ini tak ramai membuatnya kerana perlu menggunakan duit dalam jumlah yang besar, yang hanya mampu dibuat oleh institusi kewangan. Individu yang terlibat hanya mampu menjalankan urusannya sahaja bagi pehak institusi tersebut dengan mendapat upah atau gaji.

Kita sebagai individu hanya mampu membeli duit apabila kita nak pergi ke Mekah atau hendak keluar negeri. Ini adalah kerana duit ringgit kita tak laku di sana, dan perlulah kita membeli duit mereka untuk berurusan di sana nanti. Untuk itu kita beli duit dari mengurup wang atau bank perdagangan.

Bila balik dari Mekah atau luar negeri kita mungkin ada baki duit luar negeri itu yang mana kita boleh jualkan duit tersebut kepada pengurup wang atau bank.

Hanya institusi yang banyak modal tunainya boleh menjalankan urusan jual beli duit. Dan mereka pula perlu mandapatkan lesen untuk menjalankan urusan tersebut. Mereka juga memerlukan individu yang pakar menjalankan urusan jual beli yang sangat besar riskonya ini.

Duit membeli duit.

Dulu kita boleh beli 100 Rial Saudi dengan harga RM72.00. Sekarang ini harga 100 Rial mungkin RM124.00 kerana nilai RM kita dah turun. Dulu kita boleh beli HK$100 dengan harga RM30.00. Sekarang mana boleh kerana nilai RM kita dah turun. Turun naik harga duit bergantung kepada jumlah permintaan dan penawaran duit tersebut. Kalau ramai nakkan duit tersebut harganya akan naik dan jika kurang yang mahu membelinya harganya akan turun. Ini sama dengan tabiat turun naiknya harga barangan lain saperti durian atau cili.

Kenapa kita beli duit?

Kebiasaannya kita membeli duit kerana kita perlu menggunakannya. Tetapi kenapa kita memerlukannya pula? Sebab kita nak beli barangan dari luar negeri untuk diimpot atau hendak membeli barangan atau perkhidmatan mereka semasa kita berada di luar negeri.

Kalau membeli barang di Mekah atau Madinah kenalah kita ada duit Rial. Oleh itu kita kena bawa ke sana duit Rial yang kita beli di Malaysia. Pergilah kita ke bank atau pengurup wang untuk membelinya. Lainlah kalau kita ada Kad Kredit yang mana kita boleh gunakan tanpa mengunakan duit. Atau kita beli Cek Pengembara bernilai duit mereka.

Kalau kita mengimpot barangan dari luar negeri kita perlu membeli duit mereka dulu sebelum dapat membayar harga barangan tersebut. Ini kerana bayaran perlu dibuat dalam nilai duit mereka. Barangan dari Amerika mesti dibayar dengan USD (duit US). Barangan British pula dengan Euro. Kecuali jika penjual dan pembeli bersetuju berurusan dengan menggunakan duit tertentu, misalnya menggunakan RM atau USD.

Satu cara membuat bayarannya ialah dengan kita pergi ke bank untuk membayar harga barangan tersebut, sebelum barangan itu dapat kita miliki. Bank akan membayar harga barangan tersebut kepada pembekal di luar negara pada harga duit mereka dan meminta kita bayar dengan nilai duit RM.

Secara tak langsung kita beli duit mereka dulu dan membayar harga barangan yang kita import melalui bank yang menguruskan bayarannya. Bank pula menjual duit asing tersebut kepada kita tapi tak memberi wangnya kepada kita, sebaliknya membayar terus harga barangan yang kita impot itu.

Kita boleh juga beli duit asing tersebut dari bank dengan bank tersebut menjual duit asing yang kita ingini kepada kita dalam bentuk bank draf. Bank draft tersebut kita boleh gunakan untuk membayar belian import kita.

Terdapat banyak cara lain kita membeli duit asing, termasuklah Cek Pengembara dan beberapa jenis bil atau dokumen perdagangan.

Kegiatan menjual beli duit ini di istilahkan sebagai FOREX (Foreign Exchange) atau Pertukaran Wang Asing.


bersambung . . . (bhg 3)



Sunday, December 5, 2010

DUIT


DUIT DUIT DUIT (Bhg 1)

KAMI TAK PERLUKAN DUIT





Siapa yang tak suka duit? Siapa yang tak perlukan duit?

Kami. Kami tak perlukan duit

Kami semasa di kampong dulu tak perlukan duit. Kerana kami cukup segalanya untuk terus hidup. Mana taknya. Beras kami tanam sendiri padinya. Ayam itik kami pelihara sendiri. Ikan kami dapat dari sawah, parit atau sungai berdekatan. Sayur dan ulam kutip sahaja dikawasan keliling rumah. Buah2an melana (banyak) di waktu musimnya.

Panggillah saudara yang ada berok jika nakkan buah kelapa supaya beroknya dapat memanjat pokok kelapa kita bagi menambah stok buah kelapa di bawah rumah. Bapa saudara saya kalau nak makan daging kijang atau pelanduk atau landak perlu hanya ke hutan berhampiran “memungut”nya.

Kalau pun perlukan duit juallah itik ayam yang ada. Atau kerbau peliharaan.

Apa nak lagi. Kami tak perlukan duit. Kami hidup bebas dan bahagia tanpa duit. Seronoknya.

Tapi itu dahulu.

Sekarang kami juga perlukan duit.

Kerana suasana menukarkan keadaan dan keperluan. Tanah kebun dan bendang yang dahulunya luas dan banyak terpaksa kami anak cucu cicit berkongsi beratus2 orang, dapatlah mungkin satu ekar seorang dan tak lama lagi mungkin sekangkang kera seorang bila zuriat semakin bertambah.

Bukannya ini kerana salah sistem faraid, tetapi kami yang tak pandai. Menurut seorang pakar Mr P Balan, beliau pernah menulis yang sistem faraid adalah terbaik.

Terpaksalah kami merantau mencari rezeki. Dan rezekinya ialah dengan cara mencari duit. Kenalah cari duit. Terhapuslah cara hidup kami yang tak memerlukan duit.

Mana yang bersedia awal dengan pelajaran dan ilmu untuk anak cucunya nampaknya berjaya dengan mudah mendapat duit. Yang menjadi askar atau polis juga demikian nasib mereka.

Dan yang merantau keluar ramai juga berjaya dapat banyak duit. Mereka melabur memajukan pelajaran anak2 mereka dan berjaya menghasilkan ahli professional yang banyak mendapat duit. Dan sekarang mereka melihat duit mengalir memasuki kocek mereka setiap bulan hasil pelaburan ke atas anak2 mereka itu. Alhamdulillah.

Walau bagaimana pun, yang tinggal di kampong masih ramai lagi yang tak perlu adanya duit. Kerana mereka boleh sekarang terus berusaha saperti dahulu. Padi tanam sendiri (kecuali jika kocek mereka tak pernah kosong sekarang kerana dipenuhkan oleh anak cucu yang bekerja diperantauan), itik ayam boleh mereka bela sendiri, dan lain aktiviti nenek moyang mereka terdahulu boleh mereka teruskan jika mahu. Tanah terbiar sangat banyak jika mereka mahu usahakan. Rajin atau tidak sahaja. Sejak harga getah meningkat naik harganyani ramai pula yang jadi pengurus kebun getah saudara mara yang berada di bandar. Pasti ada perjanjian gaji dan elaunnya.

Mereka masih boleh tidak memerlukan duit tetapi bila duit datang menjalar ke riba mereka kenapa pula tidak diambil faedahnya.

Mereka tak perlukan duit tetapi mereka dihujani oleh duit. Alhamdulillah.

Eloklah banyak menderma dan banyak bersedekah. Itulah yang akan menjadi duit di akhirat nanti.

Dan bersyukurlah dan tunjukkan kesyukuran tersebut dengan taat kepadaNya dan menjauhi segala laranganNYa.










Bersambung. . . . (Bhg 2 nanti)



Friday, December 3, 2010

KLASIFIKASI SAHABAT

MEMILIH SAHABAT

atau

BERSAHABAT DENGAN SEMUA



Semasa kami di bangku sekolah dahulu kami telah dinasihatkan untuk memilih kawan atau sahabat kami.

Orang tua (Penasihat) kami membahagikan manusia kepada tiga kumpulan, yaitu kumpulan pertama, mereka yang kita perlukan dan banyak memberi faedah apabila kita berkawan dengan mereka, dan kumpulan inilah yang sepatutnya kita bersahabat dengannya.

Kumpulan kedua ialah mereka yang tak menguntungkan kita, juga tak merugikan kita bersahabah dengannya, dan kumpulan ini kita boleh juga menjadikan mereka sahabat kita.

Kumpulan ketiga ialah mereka yang akan merosakkan dan membawa pengaruh tak baik kepada kita, dan kumpulan ini perlu kita elak dari berkawan dengannya.

Nasihat ini amatlah baik.

Kita perlu bersahabat dengan mereka yang menguntungkan kita dalam perjalanan kita merancang dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan selesa ketika dewasa nanti. Ini adalah kerana sahabat yang kita berkawan dengannya sangat besar pengaruhnya kepada kita.

Kalau kita bersahabat dengan penjual minyak wangi misalnya, maka wangilah bau kita ke mana sahaja kita pergi. Kalau berkawan dengan tukang besi pula maka bau besilah kita sepanjang hari. Inilah perbandingannya.

Kami dinasihatkan untuk memilih sahabat yang perlu kami berkawan dengannya kerana mengikut penasihat kami, kuasa memilih adalah kami sendiri. Dan risko membuat pilihan tersebut adalah juga kami.


_____________________


Tetapi terdapat satu cara yang lebih baik bagi kita mengkelafikasikan sahabat yang kita berkawan dengannya.

Caranya ialah:

Kita bahagikan mereka kepada tiga kumpulah, yaitu kumpulan yang lebih baik dari kita, kumpulan yang sama baik dengan kita dan kumpulan yang kurang baik dari kita. Dan ketiga2 kumpulan ini boleh mendatangkan faedah kepada kita jika kita tahu cara mengendalikan kumpulan tersebut. Dengan membahagikan mereka secara ini kita menjadi makluk yang proaktif (membuka jalan) dan bukan makluk yang reaktif (mengikut jalan).

Dengan kumpulan yang lebih baik dari kita dari segi ilmunya atau sebagainya itu, kita bersahabat dengannya dan belajarlah darinya. Banyak ilmu kita boleh pelajari darinya. Dengan demikian kita akan menjadi makluk yang lebih baik keadaannya.

Bagi mereka yang setaraf (ilmu dan sebagainya) dengan kita, bersahabatlah kita dengannya supaya apabila kita lupa atau leka ia dapat memperingatkan kita. Kita bolehlah saling bantu membantu.

Dan bagi mereka yang kurang baik daripada kita, bersahabatlah dengannya dan bimbinglah dia setakat kemampuan kita supaya ia menjadi manusia yang lebih berguna.

Jika kita bersifat sedemikian, maka bertambah ramailah sahabat kita dan bertambah majulah masyarakat kita. Yang berilmu membantu yang kurang berilmu dan yang kurang berilmu dapat menambahkan ilmu mereka. Insha Allah, aman bahagialah masyarakat. Dan Insha Allah, akan hilanglah perasaan hasad dengki antara kita kerana semua manusia adalah sahabat kita yang saling bantu membantu.

Inilah mungkin cara kaum Yahudi hidup dan tak salah kita mengikutnya walau pun ramai yang getik kepada kaum tersebut.

-----------------------------------------------


Seorang sahabat tak mungkin menjadi ahli dalam semua bidang. Ini adalah cara anugrah Allah kepada makluknya. Inilah asas rezeki, dengannya kita memperolihi rezeki kita. Dan usaha kitalah yang akan menentukan kuantiti dan kualitinya.

Yang pandai dalam bidang kedoktoran tak tahu atau kurang tahu tentang pertanian. Atau pakar ekonomi mungkin tak pandai bertukang dan sebagainya.

Masing2 diberikan kepandaian masing2. Kerana itu kita perlu bekerjasama membantu antara satu sama lain dalam bidang yang kita pakar. Dan kita sepatutnya menjadi pakar dalam sekurang2nya satu bidang bagi membantu orang lain dalam bidang yang mereka kurang tahu.

Masyarakat yang ramai ahlinya mempunyai kepakaran dalam berbagai bidang akan menjadi masyarakat yang maju. Yang kurang ahlinya dalam berbagai bidang adalah masyarakat yang mundur dan mudah diperbudakkan dan dijajah.

Semoga kita semua menghasilkan zuriat yang menjadi pakar supaya masyarakat kita maju berdikari. Segalanya adalah hasil usaha kita, Insha Allah.


Sahabat sumber ilmu dan bantuan bekerjasama.

Sunday, November 28, 2010

INTERAKSI ANTARA MAKLUK


KERJASAMA YANG
MENGUNTUNGKAN



Kerjasama antara makluk sangat menguntungkan.

Saya teringat apa yang berlaku dalam beberpa bulan ini kesan dari kerjasama tersebut. Saya rasa tak ada siapa yang rugi, semuanya dapat habuan masing2. Mungkin ceritanya remeh tetapi ianya memberi kesan kepada saya.

Ianya bersikar kepada peristiwa sebatang pokok mangga yang isteri saya tanam diluar rumah kami. Dah lama ditanam tetapi buahnya yang keluar taklah banyak menjadi habuan monyet yang datang memakannya saban hari. Tatkala itu, saya pun tak kesah sangat kerana itulah rezekinya.

Tetapi keadaan mula berubah apabila pembaca meter letrik yang datang membuat kiraan kegunaan letrik rumah saya menyarankan saya supaya menaburkan garam kasar (garam jantan) di keliling pokok tersebut. Saya pun ikut nasihatnya dan menaburkan satu kilo garam.

Selang beberapa bulan pokok mangga tersebut mengeluarkan bunga dan berbuah dengan banyaknya. Saya kira buahnya yang saya balut berjumlah 120 biji, dan yang jauh di hujung dahan saya tinggalkan tak berbalut.

Monyet datang juga mengambil buah yang hampir masak. Tapi tak mudah baginya membuka balutan buah mangga yang saya gunakan plastik tebal dijerut dengan tali rafia. Tali rafia pula saya ikatkan kepada dahan atau ranting berhampiran bagi mengelak buah yang masak jatuh ke tanah.

Jadi monyet tersebut hanya dapat mengambil buah yang tak dibalut dengan kemas.

Tapi saya tak menghampakannya kerana saya sediakan beberapa buah yang “buruk” di tepi pokok tersebut untuknya. Itulah yang biasa diambilnya sebelum beredar mencari rezekinya di tempat lain.

Kadangkala kalau saya nampak ia datang saya akan membalingkan buah tersebut ke arahnya dan diambilnya sebelum beredar. Saya kesihan juga kerana ia mencari rezeki dan saya tak sanggup menghampakannya.

Anjing jiran saya pula selalunya menyalak apabila monyet tersebut datang. Jadi sempatlah saya memberikan habuannya sebelum ia sempat memanjat pokok mangga saya.

Bagus juga monyet tersebut kerana bekerjasama dengan beredar selepas mendapat habuannya, Alhamdulillah. Bagi membalasnya, saya sediakan buah yang selayaknya untuknya. Ini mengalakkannnya beredar dan tidak memanjat pokok mangga saya. Tahulah perangai monyet yang suka membinasakan buah yang ada jika tak dikawal. Dan itulah sebabnya kadangkala, saya atau jiran saya menghalaunya selepas ia mendapat habuannya.

Bagi jiran saya yang anjingnya membantu saya sebagai “jaga” itu saya pula berikan habuannya beberapa biji mangga yang dah elok masaknya. Beberapa orang jiran saya lain yang menolong saya menghalau monyet yang datang juga saya berikan habuan masing2. Juga bagi mereka yang bertugas membersih kawasan jalan di hadapan rumah saya, saya berikan beberapa biji.

Inilah kesan baik kerjasama antara makluk. Pembaca meter letrik memberi nasihat, anjing yang memberi amaran datangnya monyet, monyet beredar selepas mendapat habuannya, jiran yang menolong menghalaunya jika perlu.

Dan guru tiusen yang menunggu di bawah pokok tersebut yang memberitahu nama pokok mangga tersebut ialah “Water Lily” berasal dari Thailand. Dengan memberitahu nama pokok tersebut saya berikannya dua biji mangga. Dan kemudiannya dibalasnya dengan memberi saya beberapa biji buah plum. Sebenarnya kami tak mengenali antara satu sama lain sebelumnya tetapi nilai persahabatan kami ujud ketika itu.

Mereka yang bekerjasama mendapatlah habuan masing2. Tak lupa juga kawan2 saya yang saya teringat nak beri. Maklumlah buahnya banyak lebih elok dikongsi berasama.

Secara purata hasil buahnya saya anggar dikongsikan saperti berikut:

Monyet dapat 40%, yang rosak 10%, yang diambil orang lalu lalang 10%, 15% untuk jiran dan baki 25% rezeki kami termasuk kawan2, ini lebih dari memadai. Pembaca meter letrik tak mengambil habuannya kerana katanya di dusunnya memang banyak buah mangga. Berikanlah orang lain, katanya.

Kalaulah tak ada kerjasama tersebut tak tahulah kesannya, tentu banyak yang rugi. Dan mungkin rezeki monyet yang banyak kerana mereka tak makan semua yang diambilnya, hanya banyak dilemparkannya ke tanah mungkin untuk dijadikan baja.



Tak siapa yang rugi jika semuanya bekerjasama
Akibatnya ialah Menang-Menang

Wednesday, November 10, 2010

SUSAH TAPI SENANG


PILIHLAH YANG SENANG
SENANGKAN YANG SUSAH


Semua orang jika membuat sesuatu suka memilih pekerjaan atau perbuatan yang senang mereka melakukannya. Mereka tak suka memilih untuk membuat pekerjaan yang susah dan yang rumit.

Bagi mereka yang kurang bijak mereka ini hanya memilih yang mudah dilakukan dan meninggalkan langsung untuk cuba membuat pekerjaan atau memikirkan cara untuk mengatasi yang susah. Kecualilah jika mereka dicabar dan dipaksa. Mereka ini yang selalunya ketinggalan dan sentiasa berada di takuk yang sama dan yang lama.

Bagi mereka yang bijak pula mereka pandai memilih untuk membuat sesuatu yang mudah dan senang tetapi tidak pula gagal untuk menyelesaikan perkara yang rumit dan susah dilakukan. Kebanyakan mereka ini tidak membuat pekerjaan yang rumit atau susah itu tetapi tidak juga meninggalkannya langsung. Mereka ada tatacara tersendiri mengatasi yang susah dan rumit itu.

Caranya: Mereka memecahkan perkara atau pekerjaan yang rumit ini kepada beberapa bahagian yang senang dilakukan dan mereka bertindak melakukan perkara yang mereka “mudahkan” ini. Jika perlu mereka mendapatkan wakil membuatnya.

Akibatnya mereka berjaya melakukan pekerjaan yang senang pilihan mereka itu. dan dengan secara tak langsung menyelesaikan pekerjaan atau perkara yang rumit tadi.

Prinsipnya: Mereka pecahkan pekerjaan atau perkara yang rumit dan susah itu kepada beberapa bahagian yang senang dilakukan. Dan melakukannya!

Kepada yang lebih bijak lagi mereka menggunakan teknik "PERT" (Programme Evaluation Review Technique) dimana pecahan kerja yang dianggap mudah ini dirancangkan masa mula dan akhirnya supaya kegiatan mereka tak bercanggah dan bahagian yang dah siap tidak menunggu lama untuk digunakan untuk kegiatan berikutnya.

Misalnya bagi mereka yang membuat rumah, mereka mungkin membuat atapnya dulu supaya kerja lainnya boleh dibuat dengan mudah kerana ada teduh dari panas dan hujan.

Kalau membuat jalan raya asasnya siap dulu baru bahan tar dan batu kecilnya sampai supaya tak perlu tunggu lama untuk diteruskan kerja atau bahannya tak sampai terlalu awal bagi mengelak ianya rosak atau hilang dicuri. Tar panas atau semen cair sampai sebaik sahaja ianya hendak digunakan supaya ianya tak "beku" menjadikannya tak boleh digunakan.

------------------------------------------

Kata Mat Salleh:

“A long journey starts with the first step” atau lain2 kata seumpamanya.

Kalau tak melangkah manakah kita dapat menjelajah beribu batu (sekarang kilometer).

Pagi tadi TV2 ada menyatakan bahawa tak susah untuk berjaya. Hanya perlukan menentukan objektifnya, menentukan tempoh masa untuk dicapainya, mendapatkan caranya dan melakukannya tanpa berpatah balik.


---------------------------------------------------------------

Semua pekerjaan adalah mudah jika dicuba dan dirancang urus dengan baik. Mulakanlah dengan perkara yang mudah dan senang dibuat dahulu. Perkara yang mudah dan senang apabila dapat digabungkan dengan perkara yang mudah dan senang lainnya boleh menghasilkan gergasi yang besar, kuat dan kukuh, yang pada mulanya dianggap susah dapat dibuat.

Ada orang yang berjaya menjadi kaya raya dengan hanya menghasilkan skrew yang mudah dibuatnya untuk dijual. Ada yang membuat lapik getah kereta saja. Ada yang membuat kipasnya. Ada yang membuat cerminnya. Dan lain2 bahagian (kereta). Mereka semuanya membuat kerja yang mudah dan senang.

Tetapi apabila digabungkan usaha dan keluaran mereka, akibatnya mereka semua nya secara bekerjasama telah dapat menghasilkan misalnya, kereta buatan Malaysia yang changgih. Setiap mereka membuat yang mudah tetapi hasil gabungan yang mudah ini boleh menghasilkan mana2 gergasi yang rumit.

Bangunan gergasi Petronas (KLCC) mudah sahaja dibena dengan gabungan usaha tukang bancuh semen (kilang semen cair), tukang paip, tukang besi dan lain2 tukang. Mereka membuat hanya kerja yang mudah tetapi mereka dapat membena bangunan tertinggi dunia tatkala itu.

Cara Mark Zuckerberg berjaya pula (agaknya) ialah ia membuat beberapa perkara atau pekerjaan yang senang dan mudah (senang baginya kerana ia ada ilmu kepandaiannya), dan gabungkannya menjadi satu sistem yang dinamakan Facebook yang setakat Julai 2010 mempunyai 500 juta pengguna berdaftar dan lebih dari seribu kakitangan sokongannya.

Kita pun pernah berbuat seumpamanya tetapi kita membuatnya secara kecilan atau secara yang sederhana, walhal beliau telah membuatnya secara besar gabungannya.

Lihatlah Facebooknya: ada gambar, ada vedio, ada laman sembang, ada SMS, MMS, ada e-mail, dll. Semuanya beliau berjaya menghubungkaitkan menjadi satu sistem yang laku dan berguna kepada manusia berbagai peringkat umur, berbagai jenis pekerjaan dan statusnya dan di merata perusuk dunia. Dan sistemnya terus hidup kerana ianya sentiasa dikemaskini dan dibaiki kemudahannya.

Beliau membuat yang mudah2 dan mengabungkannya untuk menjadi satu sistem yang agak kompleks dan banyak hubung kaitnya ibaratkan saperti "semua dalam satu".

Orang lain pun boleh berbuat demikian, tetapi mungkin dah terlambat kerana pasarannya dah bertumpu kepadanya. Beliau berjaya kerana membuat perkara yang mudah yang tidak pernah dibuat oleh orang lain sebelumnya.

Syabaslah! Mungkin pada satu hari nanti akan ada rakyat kita yang berjaya berbuat sedemikian, InshaAllah.

==============================================


Rengkasan:

Perkara yang mudah jika digabung kaitkan boleh menghasilkan sesuatu yang rumit dan susah. Dan perkara yang rumit dan susah, jika dipecahkan kepada beberapa bahagian yang mudah dapat diusahakan dengan senangnya.

Jadi tak perlulah kita takut membuat sesuatu yang susah kerana yang susah itu menjadi mudah jika ianya diasingkan kepada yunit2 yang mudah untuk diusahakan.

Dahulunya masyarakat kita menggunakan sistem gotong royong bagi menjayakan yang susah dibuat secara sendirian. Setiap seorang dari mereka membuat perkara yang mudah untuk sama2 menghasilkan satu gergasi yang rumit dan susah.

Di zaman dulu dinyatakan dalam buku bahawa rakyat bekerjasama menjayakan arahan membantu raja secara lebih kurang bunyinya: "Yang capik datang bertongkat, yang gatal membawa buluh, yang pekak membakar meriam, dan lain2 yang mana saya pun dah lupa rangkapnya. Masing2 membuat kerja yang senang dalam bidang masing2 bagi menjayakan tugas yang besar! Kerja yang susah menjadi senang. Yang penting ialah kerjasama, koordinasi dan teamwork. Tampanya, ditambah pula dengan perasaan hasad dengki dan irihati menghasilkan negeri Melaka, Perak, Selangor dan sebagainya terjajah.

Di kampong saya dulu, mereka berjaya membena ampangan di sungai Chempias mengalirkan air ke sawah. Kami manakan ampangan tersebut jojoi dan menjadikannya sebagai kolam renang dan kawasan memancing. Terdapat empat jojoi tersebut, tapi sekarang dah pupus disebabkan oleh teknoloji moden. Sawah pun dah dipajak untuk diusahakan oleh orang luar dari kampung tersebut. Dan anak cucu cicit mereka dah merantau keluar kampong mencari rezeki masing2.




Rumah kampong yang ditinggalkan




Jadi buatlah yang senang2 dan senangkanlah yang susah dan payah itu.

Sunday, November 7, 2010

SISTEM SESAWANG


FACE BOOK



Sayani agaknya selalu menjadi late starter di dalam banyak perkara. Tetapi elok jadi late starter dari tak start langsung. Mungkin saya lebih berminat kepada polisi tunggu dan lihat dan tak minat mencuba perkara yang baru dengan serta merta. Lagi pun ianya tak begitu penting untuk saya segera memulagunakannya, mungkin.

Salah satu hal yang mana saya adalah late starter ialah dalam menggunakan facebook. Menurut sejarahnya, facebook mula beroperasi pada Bulan April tahun 2004, tetapi hanya sekarang ini saya berdaftar untuk menggunakannya. Itupun kerana saya nak baca rencana tulisan Dr Muhaya Muhammad, yang saya selalu mengikuti perbincangannya di TV2 dan Radio IKIM Fm. Beliau meyarankan supaya penonton/pendengarnya melayari Facebooknya, (http://www.facebook.com/pages/Prof-Dr-Muhaya/137166729646372) dan saya pun berbuat demikian. Dan di situlah saya mendaftar sebagai pengguna Facebook.

Pendaftaran saya dikesan oleh sahabat saya Zain Joothazai dan dengan jemputannya untuk berintraksi melalui Facebook, bermulalah saya menggunakan Facebook untuk bersosial dan bertanya khabar. Rupanya Internet ini telah menjadi alat mendapatkan networking.

Terlalu banyak faedahnya jika kita menggunakan Facebook. Selain kita boleh memasukkan gambar dan vedio yang kita ada, kita boleh memberi pandangan dan menerima pandangan orang lain. Juga kalau rajin kita boleh bersembang kerana ia ada menyediakan laman sembangnya. Atau menghantar pesanan dan ucap selamat. Dan lain2 lagi. Mendaftarlah sebagai pengguna Facebook untuk mengetahuinya. Tak rugi kerana ianya percuma.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Facebook layarilah http://ms.wikipedia.org/wiki/Facebook

Semoga kita dapat banyak faedah dari menggunakan Facebook dan kemudahan Internet yang lainnya.

Dan adalah lebih berfaedah jika kita dapat memberi ransangan dan galakkan kepada anak cucu, saudara mara dan sahabat handai muda kita untuk mereka menjadi pengasas dan pencipta kepada apa2 sistem yang baru di dunia ini. Bukankah kita dah ramai pakar IT dan lain2 pakar yang sangat changgih sekarang ini? Dan mereka ini pun dah ramai berani mencuba perkara baru yang belum dicuba oleh manusia lainnya.

Ini dapat kita buat dengan kita semuanya berilmu dan menjadi johan mengatasi kaum lain termasuk Yahudi yang banyak dari kita getik tetapi kita tanpa segan silu menggunakan segala apa yang mereka sediakan. Termasuk Internet dan Facebook yang mereka rekakan itu. Tak perlu kita memusuhi mereka tetapi kita mesti tandingi menjadi pesaing mereka dan Inshaallah kita akan menerajui segalanya nanti. Bertambah kaya dan angkuhlah mereka mengawal kegiatan dunia jika kita hanya menggunakan hasil ciptaan mereka.

Kaum Jepun dan Korea dah pun berjaya berbuat demikian. Kita bila lagi!












=====================================

Mungkin saya pun tak perlu menjadi late starter lagi.

Sunday, October 31, 2010

REENGINEERING


KAJIAN BERKALA


Di dalam mengurus atau mengendalikan sesuatu projek atau kegiatan kita perlu secara sedar, membuat kajian berkala tentang proses dan kemajuan urusan atau projek tersebut. Ini adalah bagi menentukan kegiatan atau projek tersebut mengikut perancangan dan berjalan dengan lancar dan mengikut jadual dan matalamatnya. Semasa kajian berkala inilah apa2 keperluan bagi menjayakan urusan atau projek dibuat. Kajian ini akan dapat menghasilkan projek atau urusan terbaik, InshaAllah.

Istilah lama dan yang tak “gelamor” bagi kegiatan sebegini ialah “pantau”.

Jika kajian berkala secara sedar ini tidak dibuat, maka berlakulah apa yang banyak berlaku sekarang ini saperti siling runtuh, masjid runtuh, stadium runtuh, jambatan patah, bangunan bocor dll. Termasuklah tirisan yang disengajakan atau “aliran keluar sumber”.

Kajian berkala ini sangat perlu bagi semua projek dan kegiatan termasuklah kegiatan manusia itu sendiri.

Di dalam hal diri manusia ianya dinamakan “muhasabah diri”. Dan kita disarankan muhasabah diri setiap hari atau kalau boleh setiap masa, terutamanya sebelum kita tidur. Ini adalah kerana kehidupan kita adalah satu kegiatan atau satu projek yang berterusan tanpa henti. Kecuali apabila kita padam yang mana akan disambung pula pulaktu. . . . . .

Istilah moden dan changgih dan yang hanya digunakan oleh mereka yang “moden” dan changgih bagi muhasabah diri ialah “reengineering”. Maksud rengkasnya ialah mengkaji dan mengusahakan cara yang terbaik bagi tujuan menghasilkan keluaran yang terbaik lagi menguntungkan.

Dalam kehidupan manusia banyak perkara yang tersalah buat dan yang tak cekap perjalanannya. Jika tak dibuat muhasabah diri atau reengineering ini maka ianya akan terus tersalah dan tak cekap perjalanannya.

Kesannya ialah masa hadapan dan pusaka harta dan ilmu, yang malap dan usang. Dengan muhasabah diri atau reengineering ini berhasillah masa hadapan cemerlang dunia akhirat, InshaAllah.


=================================

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI