GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Saturday, December 12, 2009

BALIK KAMPONG LUBUK (MERBAU)

DAH DEKAT NAK SAMPAI DAH . . . . . .

BALIK KAMPONG LUBUK 091212
(KodDigitalTahunBulanHari)


Baru balik dari kampong lama saya, Lubuk. Nama sebenar kampong tu ialah Lubuk Merbau. Yang tinggal di kampong tu dari keluarga saya ialah dua orang adik saya. Seorang bekerja menjual laksa dan cendol dengan nama Laksa Pak Su dan cendol Pak Teh. Seorang lagi adik saya membuat perusahaan makanan rengan atas genama Fiidar Enterprise di bawah bimbingan KPW Perak.

Adik beradik saya yang lain tinggal bertaburan mencari rezeki masing2. Seorang di Kajang (polis) , seorang di Bukit Belimbing (Separa kerajaan), seorang di Sungai Buluh (swasta) dan seorang lagi di Kampong Melayu Subang (berniaga). Itu yang mencari rezeki di Lembah Klang.

Seorang lagi berada di Sungai Siput (pesara) dan seorang lagi di Kuala Kangsar (pembekal laksa).

Satu keluarga yang besar dan tinggal bertaburan merata2. Kadang2 bertahun2 tak dapat berjumpa. Anak cucu pula saling tidak mengenali saudara masing2 kerana tak pernah berjumpa dan tak akan berjumpa.

Itulah kehidupan zaman yang dikatakan moden ini.



Pada mulanya saya bercadang untuk balik kampong seorang diri kerana anak bujang saya ada tugasan syarikatnya. Dua lagi anak saya belum pulang dari Saudi bersama ibu mereka.

Jadi saya bercadang untuk balik dengan kereta Kancil yang agak dah berumur itu. Walau pun kereta itu dah lama tapi injinnya baru diganti dengan injin Daihatsu. Juga gear dan klacnya pun baru ditukar. Timing beltnya dan pendawa dingannya juga sudah tukar pada yang baru. Kalau saya gunakannya untuk balik kampong agak selamat rasanya, tak mungkin meragam di tengah jalan nanti.

Saya dah set untuk balik kampong pada 12 Disember bertolak pada kira2 jam tujuh pagi untuk menghadiri khenduri perkahwinan anak kepada adik saya, Nan.

Tapi pada jam 9.00 malam sebelumnya saya mendapat panggilan telefon yang anak saya dah sampai ke Lapangan Terbang Sepang, KLIA. Dan salah seorang dari mereka bersetuju untuk mengikut saya balik kampong esoknya. Dan dengan menggunakan kereta Proton Malaysia Merdekanya. Saya namakan kereta itu Malaysia Merdeka kerana nombor pletnya 6357 (63 = tertubuhnya Malaysia dan 57 = Tahun negara kita mencapai kemerdekaan). Nak tepat lagi saya gelar kereta itu "Kenapa Malaysia Merdeka", WHY6357.

Saya ada kawan, Hj Yaacob Musa, yang motorsikalnya (ada) dua puluh empat tuan. Beliau terkejut bila saya katakan kepadanya yang motornya (ada) dua puluh empat tuan. Kerana motor tersebut baru dibelinya dari kedai motor dan beliau adalah tuan motor tersebut yang pertama.

Sebenarnya plet motornya dua puluh empat tuan. Maksudnya pletnya = 2421 = 24 Two one = 24 tuan.

Seorang sahabat saya, Hj Ramly Abd Rahman, pula ada motor yang saya namakan (kepadanya) Wak Bota. Kerana no pletnya WLK8074. Bila kita eja ialah wakbota. Yang faham bolehlah faham tetapi yang tak faham kena fikirlah untuk faham. WKL = Wak. 8074 = BOTA.

Ada sebuah kereta yang pletnya DATO. Proton saga DA70. Yang ini saya nampak di Bandar Baru Ampang pletnya dimodify sikit untuk dibaca sebagai DATO.

Satu lagi saya lihat di Kompleks Jalan Duta pada tahun 1980an dulu, no pletnya KRISIS (KR1515).


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan.

Saya bercadang nak balik kampong seorang diri tetapi akhirnya balik bersama anak saya. Saya bercadang nak naik kancil tapi beralih menggunakan Proton.

Saya bercadang nak bertolak dari rumah mulai jam 7.00 pagi tapi terpaksa ditunda kerana anak saya nak ikut, katanya mula 8.00 pagi yang mana saya bersetuju, kerana elok juga anak saya ikut kerana di kampong nanti ramai saudara yang tak pernah dikenalinya dapat berjumpa.

Bila nak bertolak pagi itu kereta buat hal pula kerana power windownya meragam dan cermin tingkap tak boleh dinaikkan. Nak tukar balik menggunakan kancil tak sedap rasanya sebab kami dah set menggunakan Proton. Lagi pun Proton boleh bawa lebih laju dari Kancil. Saya dah test had laju kancil yang selesa ialah 100km/jam. Jadi kenalah tunggu kedai baiki kereta buka untuk baiki power window tersebut.

Pada pukul 11.00 pagi barulah kami bertolak dari rumah untuk ke kampong. Sampai kampong jam 1.30 tengah hari.

Ramai juga anak saudara saya yang saya tak kenal kerana tak pernah menjumpa atau dah pun “beso” lebih dewasa dan matang. Anak saya lagi “pening” kerana 90 peratus dari mereka dia tak kenal pun. Ditambah pula dengan loghat Kuala yang ada sedikit pelik baginya walaupun dapat faham. Kalau tak faham buat2 fahamlah atau kalau perlu boleh suruh "bakukan".

Nasib baik ia dapat datang bersama saya. Sekurangnya dia dapat berkenalan dengan saudara satu datuknya. Sempat juga berkenalan dengan pengantin dan keluarganya. Dan sekurangnya dapat memeriahkan suasana ketika itu kerana ada modal baru nak bercerita lain dari modal cerita biasa. Anak saya pula agak ramah orangnya dan mereka bersaudara mara dapatlah bercerita dan berborak2 untuk mengetahui hal masing2.

Juga beliau yang membawa kereta. Saya relax sahaja. Baliknya saya pandu keretanya hanya dari Geliong sampai Tapah sahaja. Lepas rehat makan di Tapah (makan lagi!) anak saya pula yang pandu sampai esoknya (00.40 pagi 13/12/09)

Masa khendurilah masa yang sangat sesuai untuk berkenalan dengan saudara mara yang tak pernah kita jumpa. Masa lainnya ialah pada cuti hari raya. Tak kurang dari 100 muka baru saudara kita dapat kita jumpa dan kenal jika kita datang menghadiri khenduri saudara kita di kampong. Di masa lain jangan harap sangatlah untuk berjumpa mereka kerana masing2 ada urusan masing2.

Saudara mara saya seibu sebapa ada sembilan orang. Kalau purata seorang ada 6 anak maka akan terdapat 54 anak saudara. Dan bila anak2 saudara kita ini berkahwinn kita akan dapat beratus cucu saudara. Kalau buat khenduri tak payahlah panggil orang lain untuk memakan keekor lembu atau kerbau agaknya!.


Emak saya ada seorang adik dan seorang kakak. Kalau dijemput semua anak cucu mereka berapa ratus orang agaknya?


Jadi jika dijemput menghadiri khenduri di kampong, janganlah diuzurkan jika kita nak berkenalan dengan saudara mara kita. Dan janganlah pergi untuk makan sahaja. Kenalah tunggu lama sedikit untuk berkenalan semaksima bilangan saudara kita yang datang pada hari itu.


Selepas selesai kami berada bersama pengantin dan keluarganya dan makan lauk pengantin, kami berehat di rumah adik bongsu saya di rumah pusaka kami (terletak di sebelah rumah pengantin). Selepas itu saya dan adik saya Yeop pergi melawat kebun getah di Rasau. Pokoknya dah pun besar dan layak ditoreh. Penorehnya pun sudah dikenal pasti dan akan mula menoreh selepas musim gugur daun nanti (Mac 2010). Pengurusnya kami lantik Talib, ipar kami.

Kemudian melawat dusun saya di Jiah. Tidak terdapat apa2 hasil yang boleh diambil bawa balik, hanya sebiji limau bali yang boleh diperam-masak. Jadilah.

Tamanan di dusun itu nampakya mejadi dan terjaga. Ada durian, mempelam, rambutan, limau, nangka, cempedak, salak dan asam gelugur.

Dulu saya bercadang untuk menanam semua jenis pokok yang terdaya. Tetapi tak terdaya kerana tiada pengurusnya. Sebab mereka ada tugas masing2 mencari rezeki Allah. Luas tanah dusun lebih dari satu ekar jadi kalau rajin banyak boleh ditanam. Terletak pula di tepi jalan bertar dan ada sungai di hadapannya. Memang sangat stratejik, kata orang.

Pada jam lima petang kami ke Beluru pula melihat mereka buat persediaan khenduri bersunat anak saudara saya yang tinggal di Kampung Geliong (jiran Beluru). Sempat borak2 dan makan lemang dimasak menggunakan gas, bukan secara biasa menggunakan kayu api.

Ini teknoliji baru nampaknya ciptaan guru sekolah vokasional. Mengikut ceritanya harganya RM300.00 sebuah, lebih kurang.

Lemang dimasak menggunakan buluh dan daun pisang macam biasa. Tapi dimasak dalam bekas aluminium tebal tertutup. Api menggunakan gas dinyalakan di bawah bekas aliminium tersebut. Dalam jangka masa satu setengah jam dah masak lemangnya. Sedap lemangnya dan masaknya rata.

Dapat bawa balik dua batang pula, lemang ubi dan lemang tepong. Lemang pulut (berjagung) dah habis. Kalau tidak mungkin dapat juga sebab kami tetamu penghujung. Nasib baik dapat banyak. Kalau nasib kurang baik melepas, kerana semuanya dah habis dimakan tetamu yang datang sebelumnya. Inilah yang dinamakan rezeki makan. Tapi kalau tak dapat pun tak apa, bukannya itu tujuan kita datang menemui mereka.

Pada hari itu kami pulang pada jam 8.00 malam sampai ke rumah pada esoknya jam 12.40 malam. Bertolak pada jam 11.00 pagi (12/12) dan sampai balik ke rumah esoknya (13/12) pada jam 00.40 pagi.


PENAT TAPI SERONOK DAN BERBALOI.

Kos minyak = RM60.00. Kos Tol RM60.00

Bagusnya: Tak perlu lagi bayar Tol di Ipoh macam dulu. Bayar hanya sekali di Kuala. Balik dari Kuala hanya bayar Tol sekali juga apabila sampai di Jalan Duta. Tak bagusnya: Tol terpaksa juga kena bayar dan naik kadarnya sampai bila2?


Pekan kecil Lubuk (Merbau) memang senang nak jumpa. Jumpa Jejatas jumpalah Pekan Lubuk. Tapi sekanng pekannya dah kurang aktif kerana dekat sangat dengan Kuala (Kangsar). Orang Lubuk dan sekitarnya banyak berbelanja di Kuala kerana merekan banyak kemudahan pengangkutan. Kos minyak motor tak sampai 50sen tapi tambang bas RM1.00.

Masa saya kecil dulu tambang basnya ialah 25 sen sahaja.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Manusia hanya merancang, Ilahi yang menentukan.

Banyak yang saya rancang sebelum balik ke kampong tapi tak dapat saya penuhi.

Saya merancang untuk ke rumah kakak saya di Sungai Siput dalam perjalanan pulang ke KL tetapi tak jadi kerana dah pun berjumpa dengannya bersama anak2nya dan cucu2nya di rumah khenduri tersebut. Jadi keutamaannya (singgah di rumahnya) menurun, pada taraf "kalau tak pergi pun dah tak apa". Lagi pun tak buat temu janji dengannya takut2 bila sampai ke rumahnya, berkunci pula, orangnya tiada. Lagi pun saya dah malas nak balik KL ikut S. Siput kerana banyak sangat lampu isyarat di jalan antara S Siput-Ipoh. Kalau ikut Tol Kuala, saya perlu hanya naik bukit ke terowong (Manora?) dan turun bukit untuk sampai ke Ipoh, lebih kurang 20 minit masa perjalanannya.

Naik bukit turun bukit, naik bukit turun bukit. Jumpa orang tua. Apa dia?

Jawapannya: Pacat

Inilah mainan menduga akal kami semasa kanak2 dulu ketika lepas makan malam sebelum tidor. Masa itu mana ada TV dan sebagainya. Kena banyak aktiviti bercakap dan berborak dan duga menduga. Inilah kerja kanak2 ketika itu terutamanya jika ada saudara dari tempat lain datang melawat dan tidor di rumah kita.

Bila terdengar istilah "naik bukit turun bukit" ini saya sentiasa akan teringat cara kami menduga akal sebegini dahulu kala, 50 tahun lepas. OK Sambung cerita . . .

Juga merancang ke Changkat Petai, kebun dusun lama kami untuk mengambil anak pisang berangan (untuk ditanam di surau kami) tak terhasil kerana kesuntukan masa dan ianya bukanlah keutamaan saya.

Juga untuk merayau di pekan Kuala. Tak ada masa jadi tak jadi. Dengar kata ada pesta Radio Klassik Nasional pada penghujung minggu sebelumnya. Mengikut iklan di Radio Klassik sangat meriah pestanya. Sampai ada sewa bas dari KL untuk menurut serta.

Juga untuk bermalam, tidor di Masjid Ridzuaniah, Kuala. Juga tak jadi kerana kami tak pergi pun ke situ. Masjid itu ada kemudahan tempat tidur dengan bayaran yang berpatutan. No telefonnya saya dah tak ada. Kalau ada bolehlah saya booking dari KL.

Kalau saya balik sorang saya boleh lepak tidor di mana2. Anak saya tak suka kerana tak biasa. Jadi malam itu kami balik dan tidor di rumah sendiri. Saya tak kesah sangat kerana dia yang memandu. Inilah kemudahan pengangkutan dan jalan raya yang baik. Tapi taklah percuma! Tol kena juga bayar.

Saya bercadang juga mulanya untuk bersama menghadiri khenduri bersunat anak saudara saya di Beluru/Geliong. Tapi sampai petang itu tukar rancangan untuk balik pada malamnya.

Kita hanya merancang kerana merancang itu adalah wajib. Kalau tak merancang tanah dan harta kita akan kepunyaan orang dan kita akan berhutang keliling pinggang. Tuhan yang menentukan. Kita merancang dan tawakkal dengan harapan segalanya berjalan dengan baik.

Itulah yang berlaku apabila saya balik kampong kali ini. Segalanya berjalan dengan baiknya. Alhamdulillah.

Rancangan balik kampong akan datang? Akan saya rancang bila sampai ketikanya. . .

.

Gambar kenangan tempat saya main

layang2 dengan Lon tahun 1963 dulu.

No comments:

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI