GELANG GETAH

GELANG GETAH
Alat untuk kita sentiasa bersikap dan berfikiran positif.

PEJABATKUcing

PEJABATKUcing
Sahabatku, Gemok. (te)Tikus di hadapannya

Thursday, April 23, 2009

DUSUN

NOSTALGIA "DUSUNKU"

Masa kecilku aku sangat rapat dengan pertanian. Dan memang cita-cita ku semasa kecil dulu untuk menjadi pakar dalam pertanian, tapi ianya tak menjadi, ini semua urusan Allah. Masa itu aku dah nekat masuk Maktab Pertanian (sekarangnya Universiti Putra Malaysia, sebelum itu Universiti Pertanian dan sebelum itu Maktab Pertanian).

Sekarang aku masih minat dengan pertanian. Kadang-kadang bila ada masa tanamlah sikit pokok buah-buahan. Hasilnya baik juga hanya untuk makan dan beri kawan2.

Posting kali ini nak cerita tentang zaman kanak-kanak dulu dimana hidupku sebati dengan pokok tumbuhan dusun.

Tanah sebelah rumah kami di kampung ada dusun lebih kurang dua ekar kepunyaan opah kami Nama aje dia punya tapi yang mengambil hasilnya ialah keluarga saya, terutamanya saya sendiri
(guna istilah saya pula sebab tak sedap nak guna perkataan aku, entah macam tak selesa eje menggunakannya, mungkin didikan saya terima atau dah tak biasa menggunakan "aku"). Dusun itu menjadi rumah kedua saya kerana saban hari saya berada di dusun itu. Sebab apa? Sebab hasilnya "banyak".

Opah saya ada tiga anak termasuk ibu saya. Selain dari ibu saya anaknya yang lain jarang sangat ke dusun tersebut sebab rumah mereka jauh dari dusun tersebut dan mereka kurang minat pergi ke situ.

Kalau musim buah saya sentiasa berada di situ bila ada peluang. Sebelum matahari terbit saya dah merayau mencari dan mengutip durian yang gugur pada malamnya, Masa itu saya ada body guard yaitu tiga ekor anjing. Kalau saya ke dusun tersebut sudah tentu pengawal saya itu ikut saya. Ular, biawak dan lain-lain binatang melatar sangat takut kepada anjing dan dengan itu saya merasa lebih selamat.

Pengawal saya itu sangat berdikari kerana mereka mencari makanan sendiri dan kami hanya berikan sisa makanan kami untuknya.

Selalu juga saya berada di atas pokok manggis atau langsat berehat sambil memakan buahnya. Bila fikirkan bukan sedap sangat makan buah yang di atas pokok sebab ianya belum begitu masak lagi. Yang dibawa balik lebih sedap kerana dah elok masaknya selepas beberapa jam/hari disimpan. Tapi seronok punya pasal, panjat dan makan di atas pokoklah. Dan kalau ada banyak maka saya bawa balik ke rumah sebahagian dari buahnya.

Masa itu kami tak berminat menjual hasil dusun tersebut. Kalau dijual sudah tentu banyak untungnya. Apataknya, kerana kosnya sifar, ambil dan jual sahaja. Tapi dah rasmi orang kampong ketika itu bahawa semua hasil dimakan sendiri bersama adik beradik anak cucu. Inilah niat sebenar opah dan nenek/pan saya ketika menanam pokok buah-buahan atau lain-lain pokok.

Ini pernah saya dengar sendiri ketika saya menolong opah saya menanam pokok (kalau tak silap pada tahun 1960). Niatnya ialah, Selepas baca bismillah ia menyebut "semoga pokok ini cepat berbuah mengeluarkan hasil untuk anak cucu aku"

Atau kalau banyak hasilnya mereka buat jam, lempok, tempoyak dan sebagainya juga untuk anak cucu mereka.

Ini juga polisi emak saya. Musim durian beliau simpan durian yang gugur dan bila anak cucunya datang makanlah mereka durian tersebut dan bawa pulang bakinya. Kalau banyak sangat dan tiada yang memakannya maka dibuat tempoyak atau buat lempok. Kalau beliau pajak durian sebelah rumah kepunyaan saudara kami (Kak Niah) beliau akan jual dulu durian tersebut sampai dapat balik modalnya, selepas itu ikut keadaan, kalau ada peraih durian datang beliau jualkan atau jika dijangka anak cucu ramai nak datang beliau tak menjualnya.

Kami yang tinggal di kampong hidup berdikari. Padi kami taman sendiri, lauk kami cari sendiri di parit, sawah atau di sungai. Sayur dan ulam kami tanam sendiri atau kami dapatkan di sekitar kampung atau dusun kami. Ayam itek dan ternakan lain dipelihara juga.

Duit taklah diperlukan sangat tapi jika mahu boleh kami perolehi dari usaha menoreh getah di kebun kami sendiri. Atau yang tiada kebun mereka boleh menoreh kebun orang lain secara kongsi hasil atau orang sekarang namakan kongsi untung 50-50.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Catatan saya berikutnya ini adadlah berdasar gambar rajah di atas:

1. Pokok langsat - Pokoknya rendah dan buahnya senang nak ambil. Pokok ini yang saya panjat dan makan buahnya di atas pokok. Pokok yang lain tak boleh berbuat demikian kerana pokoknya tinggi dan tak ada tempat nak relex-makan.

2. Pokok manggis. Sama dengan pokok langsat tadi. Yang seronoknya bila panjat saja sudah pasti ada buah yang masak untuk dimakan. Pokok lain ada yang masak tapi susah sedikit untuk mendapatkannya. Pokok ini jenis panjat-mudah capai buahnya. Pokok ini juga saya gunakan untuk menjerat menangkap tupai menggunakan sangkar raga berumpankan buah nangka (bau nangka masak akan menarik tupai datang).

3. Pokok langsat. Sangat tinggi pokoknya. Hanya akan mengambil buahnya jika pokok lain dah habis buahnya atau bila hendakkan buah yang masak ranum.

4. Pokok durian buah terbaik di kawasan itu. Kalau gugur tak bagi can terus buka dan makan.

5. Pokok kundang (kami panggil menia). Batangnya di dusun kami tapi dahannya di tanah sebelah kepunyaan Ngah Resa (saudara juga). Kami panjat ambil buahnya dengan memanjat pokok langsat sebelahnya untuk meniti ke dahan kundang tersebut. Nak panjat terus batang kundang tersebut sangat besar.

6. Pokok rumbia atau dipanggil juga pokok sagu. Pokok yang besar matang kami tebang untuk dibuat makanan itik dan ayam kami. Batang sagunya kami akan cincang dan jemurkan (keringkan) untuk disimpan dan beri makan itik atau ayam. Jika dicampur dengan sejenis siput yang didapati di tepi parit (kami panggil kelemuai) anak itik yang memakannya boleh membesar dengan cepat.

Semasa dulu kami gunakan cecair pada batang pelepah rumbia yang baru/kecil untuk menghasilkan gam untuk melekatkan kertas layang2. Daunya pula kami ayamkan menjadi atap rumbia untuk rumah dan dangau.

7. Sawah. Terdapat kawasan kecil yang pernah kami taman padi.

8. Pokok buluh. Ada dua kawasan buluh lemang di situ. Saudara mara suka mengambilnya untuk membuat lemang sebab di tempat lain susah nak dapat pokoknya. Biasanya mereka booking dulu dengan mengikatkan kain (tanda) pada batang buluh itu. Kalau dah ada tanda orang lain tak boleh tebang buluh tersebut. Selalunya pula mereka akan beritahu emak saya yang mereka dah (atau nak minta kebenaran) booking buluh tersebut kerana rumah kami terdekat di situ. Nak pergi ke rumah opah saya kena jalan dua batu jauhnya. Kami juga gunakan buluh tersebut untuk membuat galah atau kayu ampai kain. Ada satu lagi perdu kelompuk buluh lemang terletak disempadan dengan tanah Pak Mad Di dan Tanah Pak Imam Din.

9. Pokok durian. Diceritakan bahawa Mak Cor saya pernah ditimpa buah durian di bawah pokok ini semasa beliau kecil dahulu. Nak mewawancaranya untuk mendapat pengesahan cerita sebenarnya dah terlambat kerana beliau dah pun meninggal.

10. Pokok kopi. Banyak terdapat tumbuh di dusun tersebut. Kami selalu mengutip buahnya yang masak untuk dikeringkan, digoreng dan ditumbuk untuk buat minuman kopi. (Campurannya : 50% biji kopi dengan 50% gula). Kalau buah kopi di situ tiada kami (beramai-ramai) pergi ke tanah wakaf (dua tempat) mendapatkan buah kopi. Kalau kami tak ambil buahnya (di tanah wakaf tersebut) siapa pula nak ambil. Membazir pula. Yang baiknya itu mereka (kami) beramai-ramai pergi mangutip buah kopi tersebut.

11. Kawasan lapang dan terdapat burung puyuh di situ. Kulup Latib selalu buat perangkap puyuh di situ. Saya tak pernah nampak burungnya tapi perangkapnya selalu saya jumpa.

12. Pokok getah. Terdapat satu kumpulan 4 atau 5 pokok getah di situ. Saya pernah main-main menorehnya dan menjual hasilya di kedai Pak Abu, kalau tak silap dapatlah 30sen (masa itu tahun 1950an nilainya besar).

13. Parit sempadan. Pada masa dahulu parit dikorek untuk dijadikan sempadan kawasan kampung atau dusun. Pada masa itu sistem batu sempadan dan geran tanah belum ada lagi. Di parit inilah kami mencari batu peluru lastik sebab bentuk batunya sesuai dijadikan peluru lastik. Parit ini terletak di tanah dusun kepunyaan Ngah Resa dan berbentuk hampir satu bulatan.

14. Dangau Ngah Resa/Pak Mad Di. Saya selalu lepak di situ masa kanak2 dulu.

15. Pokok buluh. Di tanah Pak Mad Di. Buluhnya jenis boleh dibuat sumpit. Kami pernah cuba buat sumpit darinya tapi tak berjaya menggunakan dengan baik mungkin kerana ruasnya tak begitu panjang atau kami tak dapat nasihat dari pakar membuat sumpit. Kami juga takut merayau di situ kerana dikatakan ada sarang nanin (tebuan tanah) di situ.

16. Dangau/Rumah. Dulunya Wak Kasan (yang buta) tinggal di situ dengan isteri dan anaknya Umi. Di sinilah tempat saya main seremban dengan abang saya ketika kami menjaga kerbau makan di kawasan tersebut.

17. Busut kami jadikan tempat mariam tanah untuk kami mainkan tatkala bulan puasa. Berada disebelah rumah Wak Etok dan anaknya Salleh.

18. Kawasan kebun tempat orang kampong pergi berjudi. Saya pernah pergi tenguk mereka berjudi di situ tetapi sekali sahaja. Mereka main pakau.

19. Parit dan batas bendang. Terdapat banyak tumbuhan pengaga di situ. Kalau Mak Cor saya datang ke rumah di sinilah kami dapatkan pengaga kegemarannya.

20. Pokok petai Jawa. Kalau kami lalu di situ sudah tentu kami akan ambil buahnya untuk dimakan. Pokoknya terletak di kampong Pak Kassim/Wan Dak.

21. Saluran ke parit di mana kami gunakan untuk laluan kerbau naik dari atau turun ke sawah. Kawasan lain tebing parit tinggi dan kerbau tak boleh melaluinya. Di sinilah juga tempat kami bawa kerbau kami minum (dan berkubang sekejap).

22. Parit dimana kami buat ampangan untuk mengeringkan kawasan di hilir parit tersebut. Tujuannya supaya kami dapat menangkap ikan apabila airnya surut. Sepanjang hilir parit itu kami ronda untuk menangkap ikan, sampailah ampangan menjadi "penuh" dan airnya melempah mengalir saperti biasa. Tatkala itu ampangan tersebut kami "buka" kembali (robohkan) dan tamatlah sessi menangkap ikan kami.

23. Sawah yang kami selalu menyerkap ikan. Kerkap kami gunakan untuk menangkap ikan sepanjang sawah tersebut. Selalunya kami mendapat ikan puyu, berocat (haruan), keli, dan ikan sepat.

24. Kawasan kebun getah dimana pehak kerajaan pernah mengugurkan risalah memberitahu kominis untuk menyerah diri dan keluar dari hutan. Dulu kami semasa kanak-kanak berkejar ke kawasan tersebut ketika melihat kapal terbang terbang rendah menggugurkan risalah tersebut.

25. Kawasan stor dawai tembaga. Digunakan oleh Jepun semasa mereka memerentah Malaya dulu untuk menyimpan dawai letrik. Sebelum Jepun menyerah diri pada tahun 1944 Jepun telah bercadang untuk membekalkan tenaga letrik ke seluruh Tanah Melayu. Di sinilah salah satu tempat mereka menyimpan dawai letrik yang dibuat dari tembaga.

Apabila Jepun menyerah kalah dawai tersebut ditinggalkan di situ kerana projek mereka terbengkalai begitu saja. Apa lagi orang kampung pun mengambil dawai untuk dijadikan ampai kain di kawasan rumah masing2. Pada tahun 40an dan 50an kebanyakan ampai kain kami diperbuat daripada dawai tersebut. Sekarang semuanya dah luput pupus dan tiada lagi.



No comments:

. KENANGANKU DITULIS SUPAYA KU TAK TERLUPA . . . 067:003 "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah. Jka engkau ragu, maka ulangilah pandanganmu – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"[Al Mulk:003]

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

ASAL NAMA CHANGKAT PETAI

NEGERI ASALKU

NEGERI ASALKU

YANG DIMINATI

YANG DIMINATI
Petikan Dari Buku Keluaran MARDI

About Me

My photo
Ase dari Kuala. Lahir di Changkat Pete. Besor di Kuala, sekolah Tanah Merah, Lubuk, Padang Assam, Clifford, St Georges (Taiping), STAR (Ipoh), MPPP (Penang). Meranto pula ke K Bharu dan KL/Pj/Selangor. Sekarang dah pencen tapi masih belajor. Rindukan duduk di kampong tapi ini hanya menjadi angan2

PANDAK CHANGKAT PETAI