DUIT DUIT DUIT (Bhg 1)
KAMI TAK PERLUKAN DUIT
Siapa yang tak suka duit? Siapa yang tak perlukan duit?
Kami. Kami tak perlukan duit
Kami semasa di kampong dulu tak perlukan duit. Kerana kami cukup segalanya untuk terus hidup. Mana taknya. Beras kami tanam sendiri padinya. Ayam itik kami pelihara sendiri. Ikan kami dapat dari sawah, parit atau sungai berdekatan. Sayur dan ulam kutip sahaja dikawasan keliling rumah. Buah2an melana (banyak) di waktu musimnya.
Panggillah saudara yang ada berok jika nakkan buah kelapa supaya beroknya dapat memanjat pokok kelapa kita bagi menambah stok buah kelapa di bawah rumah. Bapa saudara saya kalau nak makan daging kijang atau pelanduk atau landak perlu hanya ke hutan berhampiran “memungut”nya.
Kalau pun perlukan duit juallah itik ayam yang ada. Atau kerbau peliharaan.
Apa nak lagi. Kami tak perlukan duit. Kami hidup bebas dan bahagia tanpa duit. Seronoknya.
Tapi itu dahulu.
Sekarang kami juga perlukan duit.
Kerana suasana menukarkan keadaan dan keperluan. Tanah kebun dan bendang yang dahulunya luas dan banyak terpaksa kami anak cucu cicit berkongsi beratus2 orang, dapatlah mungkin satu ekar seorang dan tak lama lagi mungkin sekangkang kera seorang bila zuriat semakin bertambah.
Bukannya ini kerana salah sistem faraid, tetapi kami yang tak pandai. Menurut seorang pakar Mr P Balan, beliau pernah menulis yang sistem faraid adalah terbaik.
Terpaksalah kami merantau mencari rezeki. Dan rezekinya ialah dengan cara mencari duit. Kenalah cari duit. Terhapuslah cara hidup kami yang tak memerlukan duit.
Mana yang bersedia awal dengan pelajaran dan ilmu untuk anak cucunya nampaknya berjaya dengan mudah mendapat duit. Yang menjadi askar atau polis juga demikian nasib mereka.
Dan yang merantau keluar ramai juga berjaya dapat banyak duit. Mereka melabur memajukan pelajaran anak2 mereka dan berjaya menghasilkan ahli professional yang banyak mendapat duit. Dan sekarang mereka melihat duit mengalir memasuki kocek mereka setiap bulan hasil pelaburan ke atas anak2 mereka itu. Alhamdulillah.
Walau bagaimana pun, yang tinggal di kampong masih ramai lagi yang tak perlu adanya duit. Kerana mereka boleh sekarang terus berusaha saperti dahulu. Padi tanam sendiri (kecuali jika kocek mereka tak pernah kosong sekarang kerana dipenuhkan oleh anak cucu yang bekerja diperantauan), itik ayam boleh mereka bela sendiri, dan lain aktiviti nenek moyang mereka terdahulu boleh mereka teruskan jika mahu. Tanah terbiar sangat banyak jika mereka mahu usahakan. Rajin atau tidak sahaja. Sejak harga getah meningkat naik harganyani ramai pula yang jadi pengurus kebun getah saudara mara yang berada di bandar. Pasti ada perjanjian gaji dan elaunnya.
Mereka masih boleh tidak memerlukan duit tetapi bila duit datang menjalar ke riba mereka kenapa pula tidak diambil faedahnya.
Mereka tak perlukan duit tetapi mereka dihujani oleh duit. Alhamdulillah.
Eloklah banyak menderma dan banyak bersedekah. Itulah yang akan menjadi duit di akhirat nanti.
Dan bersyukurlah dan tunjukkan kesyukuran tersebut dengan taat kepadaNya dan menjauhi segala laranganNYa.
Bersambung. . . . (Bhg 2 nanti)
No comments:
Post a Comment